BUAH PAHIT PR 13 & RAMADHAN 2013

0 comments


BUAH PAHIT PR 13 & RAMADHAN 2013

Tun Sheikh menerima banyak maklum balas menerusi e-mel dan sms bertanyakan aktiviti Tun Sheikh yang tidak berkarya sejak mengetahui keputusan PR 13 iaitu 5 Mei 2013. Tun Sheikh berasa bertangungjawab untuk memberitahu bahawa terlalu banyak bahan dan topik untuk ditulis tetapi merasakan dunia intelek penguasa yang berkuasa dalam politik negara ini masih dangkal dan terlalu jauh berbanding dengan pemikiran manusia yang dapat memahami dan mengenal pasti maksud yang tersirat dan hakikat sesuatu objektif dan misi persoalan miskipun mereka bukan Islam.

Tun Sheikh pernah menulis mengenai arahan kerajaan AmnoBN  mengawal maklumat di media alam maya yang berat sebelah dan banyak pembaca dari kedua belah pihak yang pro kerajaan dan pembangkang   menyangka Tun Sheikh adalah penulis atau bloger upahan. Penyokong AmnoBN mengesyaki pro PR dan penyokong fanatik PR yang tidak merujuk kitab suci menyangka Tun Sheikh adalah AmnoBn.  Tetapi Alhammdulillah, saudara mara yang berada di kedua kelompok itu tiada yang berfikiran negatif sebaliknya memberi galakan dan terus memberi ‘first hand news’ kerana mereka mengenali dekat Tun Sheikh sejak kecil dan mengetahui sikap dan pegangan prinsip Tun Sheikh yang neutral. Saudara mara tahu Tun Sheikh berpendikan skular dan juga agama dan sentiasa berusaha menerapkan nilai skular  yang tidak bercanggah dengan syariat Islam dengan merujuk Al Quran, Hadis dan Ijtihad ulamak muktabar.

Setelah menerima maklumat dan nasihat mereka dan benar-benar berlaku beberapa kezaliman, penangkapan dan penganiayaan oleh AmnoBn terhadap rakyat yang menyokong PR beberapa minggu setelah menang PR 13, Tun Sheikh berehat dari menulis dan sibuk memberi fokus membuat program membuka minda kepada anak-anak muda yang berpotensi menjadi pemimpin masyarakat. Mereka terdiri dari pelbagai fahaman politik termasuk yang baru berjinak dengan Amno, Pas, PR mahupun yang tidak berpersatuan atau berpartian. Kalau ada yang mengatakan aktiviti tersebut adalah eskapism sebab kecewa PR 13 dimenangi AmnoBN, Tun Sheikh tidak menafikannya.

 Matlamat dan perjuangan Tun Sheikh ialah untuk menjadikan kefahaman isi Al Quran dan penjelasan Hadis menjadi rujukan utama kepada setiap insan. Tujuan murninya agar setiap insan itu dapat petunjuk atau berupaya merujuk, membuat perbandingan dan memilih yang hak dengan yang batil. Setiap insan bermaksud kepada semua termasuk AmnoBN, PR atau sesiapa saja yang sempat berinteraksi dengan Tun Sheikh sama ada melalui pertemuan atau pembacaan buah tulisan dan sebagainya.

AmnoBn bagi Tun Sheikh memanglah hebat kerana mewarisi budaya keilmuan yang dikatakan skular dan profesional itu. Mereka sentiasa memandang nilai terbaik sejagat sebagai nilai tertinggi. Sayang sekali disebabkan pemikiran mereka turut memfokus kehendak dan tuntutan nilai budaya semua kaum yang tidak bernilai universal kerana kepentingan politik kampung dan politik kesukuan serta mengabaikan petunjuk yang telah disediakan oleh Allah SWT, menyebabkan mereka telah tergelincir dari landasan tidak berhijab kepada landasan yang bengkang bengkok yang tidak lurus dan kukuh. Mereka juga tidak terlepas dengan dugaan dan kecenderungan bersikap sombong dan tamak haloba kerana berkuasa. 

Kerajaan yang diterajui AmnoBN sebenarnya adalah sebuah kerajaan yang akan punah atau sebuah kerajaan yang terus tergambar dengan pelbagai kemenangan dan kecemerlangan  yang disenangi syaitan. Ciri-ciri sikap negative yang terpapar  pada mereka amat jelas kelihatan. Sikap pembohong, bijak memutar belit maklumat, fakta dan kenyataan sehingga terselamat dari tindakan undang-undang, bijak merancang dan memakan rasuah sehingga terlibat dengan kumpulan gangsterism dan berlaku pembunuhan saksi-saksi, bijak memecah amanah dan mencipta kroni kejahatan sehingga terlihat pada imej kepolisan dan badan perundangan, bijak menipu rakyat dengan sistem dan prosedur yang diamalkan sehingga pendatang asing tanpa izin dan warganegara asing mudah mendapat kerakyatan dan turut mengundi memilih ketua dan pemerintah, bijak mengeksploit jentera kerajaan sehingga berupaya mengumpul harta dan kepentingan diri sehingga pecah amanah yang diamalkan kelihatan seperti mengikut garis peraturan dan perundangan dan pelbagai amalan buruk tidak bermoral yang sengaja ditutup kerana hubungan kroni, semua itu adalah tanda-tanda dan bukti mengikut rekod sejarah kemusnahan sesuatu bangsa dan negara yang maju dahulu.

Kerajaan negara ini telah diperingatkan oleh Allah dengan pelbagai teggoran, nasihat dan bantahan melalui penentangan PR, NGO dan rakyat. Tetapi mereka berjaya mengekalkan kuasa dalam pilihanraya kerana salah menggunakan kuasa dan bijak merancang penyelewengan dan penipuan. Pada kenyataan zahir AmnoBN telah menang dan kelihatan bersih mengikut undang-undang dalam sistem demokrasi. Pada hakikatnya perancang penipuan dan kejahatan ini memang ketawa besar kerana berjaya menipu rakyat dan perlakuan jahat mereka terpelihara dan terbela pula oleh undang-undang.

 Kepada rakyat yang yakin dengan kekuasaan Allah hendaklah terus berusaha dan bertawakal disamping berpegang kepada petunjuk Allah. Setidak-tidaknya kita yakin bahawa mereka yang jahat itu telah menang dalam perancangan buruk mereka tetapi Allah juga Maha Perancang dan perancangan Allah adalah sebaik-baik rancangan.

Ingatlah..bahawa tidak ada salahnya kita menyokong AmnoBN jika mereka menjunjung syariat Allah. Tetapi adalah sungguh malang jika kita melihat dan mengetahui kemungkaran yang diamalkan mereka tetapi tidak menolaknya di hati setelah tidak berupaya dengan lisan dan perbuatan. Untuk mengetahui sama ada AmnoBN menyeleweng dan pecah amanah, maka selalu malah sentiasalah merujuk, membaca petunjuk Allah berupa Al Quran dan Hadis, insyaallah kekusutan dan kesesatan fikiran akan jelas diterangi dengan cahaya kefahaman  yang dapat membeda antara yang hak dengan yang batil. Jangan terkejut jika dengan petunjuk yang disediakan oleh Tuhan Pencipta alam ini, kita mendapati AmnoBN seolah-olah sedang berjalan dan bermegah dalam dunia kegelapan. Marilah kita mendengar dan taat kepada Allah yang memberi cahaya kehidupan dari alam gelap pemikiran dan dunia kepada alam cahaya terang benderang dengan rahmatNYA. Amin... dan Selamat mengerjakan ibadah puasa 2013.

Tun Sheikh Engku Bendahara
Masjid Polis Bukit Aman KL
3 Ramadhan 12.7.2013

Debaran Menunggu Pembubaran Parlimen Malaysia 2013

0 comments


Debaran Menunggu Pembubaran Parlimen Malaysia 2013
Hari ini 18 April 2013, lebih kurang sebulan Tun Sheikh tidak menulis. Bukan tidak dapat maklumat atau berita malah bahan terlalu banyak. Masa pula bukan tidak ada tetapi terpaksa menghadkan diri walau pun secara kebetulan jatuh demam selama seminggu di awal April tempuh hari. Doktor mengesyaki kena demam denggi sebaik sahaja balik dari Kota Kinabalu dan Sandakan semasa musim cuti sekolah dan Alhamdulillah kerana sudah sihat kembali kecuali masih batuk-batuk dan ‘tune’ suara masih belum pulih normal. Seminggu Tun Sheikh di sana beriadah dengan keluarga besar sambil menfaatkannya dengan menggali berita dan isu semasa khususnya mengenai Peristiwa Lahad Datu. Alhamdulillah dapat banyak berita ‘first hand’. 

Sebab lain ialah nasihat dari teman-teman para bloger dan juga kawan-kawan dari PDRM dan juga dari saudara mara kerabat istana. Maklum sajalah,  mereka ini seperti orang peliharaan AMNOBN. Mereka disuap dengan pelbagai keistimewaan dan dengan pelbagai tujuan serta objektif.  Kerabat istana pula jika dibiar dan tidak dipedulikan oleh AMNOBN, sudah lama mereka melarat atau menjadi rakyat biasa. Nasib akan seperti untung sabut timbul dan untung batu tenggelam. Mereka di pupuk sebaik mungkin dan aura mereka diguna bagi memperdaya orang Melayu.

 Aura daulat dan derhaka masih laku dalam budaya Melayu kontemporari. Otak feudal masih tebal dan AMNO sengaja menjumudkan pemikiran ini demi kepentingan mereka. AMNOBN sebenarnya bulat-bulat mengambil tempat mentor mereka iaitu penjajah Inggeris dahulu. Mereka cepat mengambil peluang dan kesempatan . Mereka meneruskan legasi penjajah persis sebagaimana pelajaran dan didikan yang diberi. Dengan memelihara kerabat istana untuk kepentingan diri, pengaruh AMNOBN memperbodoh orang Melayu mengikut acuan ciptaan mereka terus dikatakan efektif dan mampan.

 Tokoh-tokoh aktif sama ada saudara atau kenalan dari pembangkang atau AMNOBN sendiri  juga menasihatkan Tun Sheikh supaya ‘slow down’ sedikit kerana mereka melihat para pemimpin tertinggi dan para pengampu serta para kroni sedang kalut dan mata akal sedang kalap. Para bloger yang membuka pekong dan kehodohan mereka dipantau rapi dan arahan kepada PDRM telah keluar supaya mencipta pendakwaan berbentuk apa saja termasuk fitnah untuk menangkap dan mendakwa mereka.

Perkara ini telapun diarah dan objektif utama ialah untuk mendiam dan menghalang mereka menyebar maklumat yang merugikan AMNOBN. Mereka diugut akan didakwa dan sekurang-kurangnya membuat mereka berasa susah dan dipersulitkan dengan pelbagai tekanan. Kalau hendak menulis juga diperingatkan supaya dalam bentuk sindiran demi untuk menyampaikan maklumat dan pengajaran kepada pembaca dan rakyat. Apa pun Tun Sheikh mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana mereka juga berperanan sebagai sumber maklumat 'first hand'.

 Tun Sheikh juga bersyukur sebab dari mereka Tun Sheikh dapat tahu  kritikan dan komen Tun Sheikh terhadap kebiadapan dan kesamsengan Pegawai Tertinggi PDRM yang salah tempatnya ketika membuat penyataan, makluman dan laporan kepada rakyat atau awam, rupa-rupanya didengar juga dan mereka telah mula berhati-hati dan tidak melaporkan seperti perangai atau karekter polis yang jahat. Tun Sheikh memang yakin dalam PDRM bukan semuanya polis jahat.

 Kelalapan akal fikiran AMNOBN adalah disebabkan keadaan sekeliling pada realitinya memang tidak menyebelahi mereka. Dari segi peratusan, pengaruh AMNOBN sedang merosot teruk. Itulah sebabnya mereka mengeksploit media perdana semaksimum mungkin bagi menggambarkan mereka seolah-olah masih menjadi favorit rakyat majority. Itu juga adalah sebab keputusan membubarkan parlimen tidak dapat dibuat dan terpaksa ditangguh .
Mereka sedaya upaya terpaksa mengambil pendekatan tidak popular seperti memberi  wang tunai kepada rakyat dengan pelbagai istilah seperti BRIM dan sebagainya untuk melembut atau mempengaruhi rakyat. 

Pada waktu yang sama mereka menggunakan sepenuhnya saluran dan media perdana untuk menunjukkan keburukan barisan pembangkang sehingga tidak mempedulikan nilai etika dan peraturan kewartawan yang telah ditetapkan. Mereka pada hakikatnya telah berasa hayat pengaruh politik mereka  seperti nafas berbaki yang sesak dan air pelemas pula telah sampai tercecah-cecah di lubang hidung. Akhirnya parlimen terpaksa dibubarkan juga di hujung nyawa-nyawa ikan kerana pelbagai persediaan sering sahaja tersia kerana ada sahaja pelbagai isu baru yang memburuk dan merosakkan imej AMNOBN.

Pada 20 April ini akan diadakan penamaan calon. Apabila nama-nama calun diumumkan SPR maka berakhirlah segala penipuan, strategi dan taktik meletak perangkap dan umpan politik buat sementara yang   akan diikuti pula dengan hari-hari berkempen dengan pelbagai penipuan dan janji bohong dan sebagainya. Banyak-banyaklah kita berdoa agar terselamat dari fitnah dalam sistem politik demokrasi ini. Ingatlah bahawa para ulamak sering memperingatkan kita bahawa musuh Allah atau orang yang kafir dan fasik itu sentiasa membuat perancangan dan Allah juga membuat perancangan dan perangan Allah adalah terbaik.

Sepanjang dilemma mencari tarikh pembubaran parlimen sejak awal tahun 2012 sehingga tamat mandat usia memerintah penggal PR12 dan sehingga ketika tulisan ini ditulis, pelbagai maklumat yang sampai kepada Tun Sheikh termasuk desas-desus dan perancangan retorik AMNOBN semuanya benar dan betul belaka. Cerita Lahad Datu yang terbabas dari skrip, termasuk cerita Bala dan Deepak dan calon-calon AMNO PR13 mengikut  favorit Mama Emelda Malaysia adalah tepat seolah-olah mereka melaksanakan program dan aktiviti mengikut tarikh-tarikh yang telah lama dirancang.

Mama terasa beliau cuba diikat atau dikongkong peranan yang dimainkannya oleh Dr M. Sehubungan itu Mama telah menggerakkan buah catur soldadunya bagi menyinggkir macai-macai Dr M disekeliling suaminya. Mama berasa bahawa mereka adalah virus yang boleh menggugat agenda suami dan agenda dirinya sendiri. Musuh Dr M telah diangkat dan didekatkan ke sisi suaminya manakala pencacai dan macai Dr M disingkir dan yang mana anak bapak Dr M seperti puteranya sendiri diletak di kawasan maut. Kalau berjaya akan dipuji seolah-olah hebat. Tetapi jika dikalahkan oleh pembangkang maka berakhirlah sekurang-kurangnya politik sepengkal mereka. Cobaan untuk bangun semula ketika itu memang perit. Keadaan sekarang pun kelihatan begitu getir.  Setiap langkah seperti tidak kena dan tidak menjadi dan terus kelihatan sumbang atau songsang. Yang tidak sempat dipulihkan cepat-cepat digantikan dengan pelan B.

Ini semua adalah gara-gara keterlanjuran dan kesombongan mereka ketika mabuk merembat duit dan kekayaan Negara menjadi milik dan untuk kepentingan diri sendiri. Apabila rakyat mula membuka mata dan yakin dengan berita berfakta yang dibawa pembangkang, mereka terus memperlekehkannya dan menghina teguran dan tuntutan amanah yang diuar-uarkan oleh barisan pembangkang. Mereka mencipta pelbagai fitnah dan mengupah pakar-pakar propaganda sehingga pakar penyerupaan atau pengklonan watak dan rupa para pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan moral dan intergriti  malah tidak putus asa berusaha membunuh karier politik tokoh-tokoh pembangkang bagi memastikan agenda dan kepentingan mereka dapat terus ditutup dan berterusan merompak khazanah Negara bersama-sama kroni .

Satu yang belum sahih atau belum menjadi kenyataan ialah ura-ura Mama Emelda yang materialistic itu  sedang menyusun dan mengukuhkan pencacai beliau sebagai persediaan bahawa Mama sendiri akan aktif menunutut bela kekalahan PMajaib. Kalau ini berlaku maka tidak mustahil beliau akan berpeluang menjadi PM wanita pertama Malaysia jika usaha beliau berjalan lancar dan berjaya. Calon wanita akan dibekukan oleh PMajaib untuk memberi laluan Mama Emelda berlagak herion. Tetapi hal ini belum menjadi kenyataan kerana waktunya belum tiba. Apapun kita tunggu sahaja apabila masanya sampai nanti tetapi adalah lebih baik kita merubah dan mencipta sejarah dan menimba pengalaman baru dengan membina kerajaan baru. 

Kita merubah cara dan bentuk pentadbiran dan pemerintahan yang selama ini telah direka oleh AMNOBN. Kita memang terpaksa dan mesti berani merubahnya kerana dasar dan system dan yang terpenting sekali kerana budaya rasuah, kroni dan nepotisma ini tidak mahu mereka merubahnya malah terang-terang mereka memang tidak akan merubahnya. Sesiapa sahaja tokoh dan pemimpin yang mempunyai intergeriti dan amanah dari kalangan mereka yang bercita-cita memperbetulkannya telah disingkir oleh mereka sendiri kerana mereka telah terlalu manja dan mesra serta telah sebati mengamalkan budaya rasuah yang telah mendarah daging selaku cara hidup. 

Apa yang sedang berlaku dan telah berlaku di hadapan mata ketika ini, Tun Sheikh dapati serupa seperti skrip yang telah didesas-desuskan. Inilah yang meyakinkan Tun Sheikh bahawa masih ada antara mereka sama ada jujur dan amanah atau menjadi pengkhianat atau pembelot tetapi terpaksa mengangguk-angguk demi survival kedudukan politik mereka. Masih ramai yang dapat meletakkan nilai kemanusian universal atau sejagat pada tempatnya. Tetapi mereka mengaku terpaksa berlakun seperti bersetuju apa sahaja sementara menunggu perubahan besar dalam kepimpinan. Mereka berasa mereka betul kerana mempunyai pelbagai alasan dan strateji kepentingan politik. Tetapi jika kita ukur dengan agama, jelas benar mereka sudah dalam kelompok hipokrit.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Damansara  KL 18.4.2013

KIBARAN BENDERA-BENDERA HARAM MENJELANG PILIHANRAYA 13 2013

0 comments


KIBARAN BENDERA-BENDERA HARAM MENJELANG PILIHANRAYA 13 2013

Minggu ini (22-26 Februari 2013) dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru, Tun Sheikh telah ikut jalan lama melalui Kajang, Bangi, Seremban, Pedas, Rembau, Tampin, Tangkak, Muar, Yong Peng, Air Hitam, Kulai dan Johor Bahru. Di tempat-tempat itu Tun Sheikh telah singgah sebentar di rumah saudara mara dan sahabat handai dan menginap satu malam di rumah kakak di Tangkak. Dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur, Tun Sheikh telah menggunakan jalan pantai melalui Pontian dan menginap di rumah mertua di Benut kemudian meneruskan perjalanan  melalui, Rengit, Sengarang, Bandar Batu Pahat, Bagan , Semerah, Parit Jawa Muar, Bandar Muar dan terus mengikut jalan lama iaitu jalan pantai ke Melaka.

 Di Bandar Melaka Tun Sheikh menginap selama dua malam kerana ada kerja-kerja penyelidikan dan penerbitan disamping bertemu kawan-kawan lama. Kami bercerita tentang politik Melaka. Kemudian pada petang Selasa 26 Februari Tun Sheikh meneruskan perjalanan ke Masjid Tanah, Linggi, Telok Kemang, Sepang, Dengkil, Bangi, Kajang dan Hulu Langat. Semua tempat-tempat yang disebutkan itu adalah tempat laluan dan perhentian Tun Sheikh kerana menziarah anak buah dan keluarga mereka. 

Topik yang Tun Sheikh bangkitkan kepada mereka adalah mengenai pandangan  terhadap perkembangan politik di tempat mereka sendiri. Boleh dikatakan pengaruh politik di kalangan mereka adalah bergantung kepada tahap pendidikan mereka dan anak-anak dalam jagaan mereka. Saudara-mara dan anak buah Tun Sheikh yang tidak berijazah tetapi mempunyai ramai anak di universiti atau pusat pengajian tinggi, kesemuanya sangat berminat kepada ideologi Pakatan Rakyat. Mereka sangat yakin bahawa Pakatan Rakyat adalah satu gabungan parti politik baru yang lebih baik daripada BN.

 Apabila ditanya apa yang lebihnya Pakatan Rakyat? Mereka mengatakan bahawa jika dilihat dari segi kemahiran atau golongan profesional dalam Pakatan Rakyat, mereka adalah lebih menonjol dari UMNOBN. Orang Melayu terutamanya yang berada dalam Pakatan Rakyat kelihatan meminati agama, jujur dan amanah dan terdiri dari penduduk tempatan atau kenalan yang dikenali yang memang berwatak atau berperangai baik dan dihormati di tempat mereka.

 Dalam keadaan politik sekarang mereka yang menyokong PAS adalah amat ketara sekali  kerana memang dikenali sebelum ini dan mereka adalah orang yang rajin ke masjid dan surau. Anak-anak muda yang berpendidikan dan professional  cenderung kepada PKR kerana dianggap aktif dan agresif. Mereka juga berminat kepada PAS. Mereka memberitahu bahawa sebelum ini mereka tidak terdedah dengan aktiviti atau perjuangan pemuda atau belia-belia bukan Melayu tetapi sejak menyertai aktiviti Pakatan Rakyat, mereka bergaul dengan baik dan bersetuju dengan idea yang sama iaitu menubuh dan mengamal nilai kehidupan sejagat yang berkebajikan. 

Tun Sheikh beberapa kali memprovokasi minda mereka dengan mengatakan UMNOBN telah mempeloporinya tetapi ditolak dan tidak dipersetujui oleh mereka. Mereka tidak menafikan bahawa UMNOBN pernah bersatupatu dan  menjalankan aktiviti perpaduan. Mereka mengakui banyak perkara yang baik telah dilakukan oleh UMNOBN tetapi mereka tidak dapat menerima budaya rasuah UMNOBN. Mereka tidak dapat menerima budaya penipuan dan memperbodohkan rakyat terutamanya kepada orang tua dan orang kampung oleh UMNOBN. Mereka mengatakan bahawa mereka pernah menegur tetapi dipandang serong oleh kepimpinan UMNOBN dari peringkat bawah hingga ke peringkat atasan. 

UMNOBN menerima cadangan pembangunan mereka tetapi apabila ditegur cara pelaksanaannya yang penuh rasuah, pilih bulu dan mementingkan diri sendiri, pandangan mereka diketepikan malah ada juga diherdik seolah-olah UMNOBN berkuasa dan patut melakukannya. Dalam perkataan lain,  orang bawahan atau rakyat banyak tidak perlu mempertikaikan amalan rasuah, kroni  dan sebarang proses penyelewengan yang telah membudaya asalkan projek dan kehendak yang diminta itu dilaksana atau dilakukan oleh kerajaan UMNOBN.

Kepada saudara mara Tun Sheikh yang yang tidak tinggi pendidikan,  yang biasanya hanya ada sijil SPM atau setakat bersekolah hingga tamat tingkatan 5 yang tiada anak-anak menuntut di pusat pengajian tinggi  dan pekerjaan mereka juga hanya cukup untuk menampung hidup yang sederhana, mereka masih terpengaruh atau sayang kepada UMNOBN. Bagi mereka, UMNO atau kerajaan memang selama ini telah mengutamakan orang Melayu dan membantu orang kampong dengan memberi pelbagai kemudahan dan insentif seperti jalanraya, air, elektrik, surau, benih, baja dan sebagainya. Mereka tidak kisah sangat siapa pemimpin UMNO di tempat mereka. Mereka tidak ambil kisah tentang penyelewengan dan kekayaan yang dinikmati oleh pemimpin  kerana  tiada kepentingan. Bagi mereka,  pemimpin yang kaya-raya itu adalah baik kerana dapat membantu mereka semasa terdesak. 

Bagaimana pemimpin UMNOBN menjadi kaya,  sama ada menerusi  pecah amanah atau penyelewengan bukanlah masalah mereka. Mereka tidak nampak jika pemimpin yang amanah dan jujur adalah lebih baik daripada pemimpin sedia ada walau perasuah. Ini adalah kerana yang kena bayar rasuah adalah bukan mereka.  Mereka memberi contoh, ketika ini iaitu menjelang hari PR13 kehangatannya sudah mula dirasakan. Mereka dapat duit sampingan bagi memasang dan mengibarkan bendera UMNOBN. Ada pula penjaganya yang diupah setelah bendera itu dipasang atau digantung dimana-mana tempat yang dikehendaki. Mereka tidak perlu berfikir panjang apabila diarah supaya jangan membenarkan bendera selain UMNOBN dikibarkan berdekatan atau di kawasan mereka. Mereka tidak faham apa erti keadilan dalam demokrasi. Yang ditekannya hanya UMNOBN sahaja yang baik dan selain itu jahat atau buruk.

 Sebenarnya mereka tidak sadar diri mereka ditipu oleh pemimpin UMNOBN dalam soal kebebasan berfahaman politik dan mereka tidak mengetahui bahawa suara mereka sebenarnya adalah suara yang menentukan corak pemerintahan negara.  Mereka tidak tahu atau tidak peduli larangan memasang dan mengibarkan bendera parti sebelum kelulusan rasmi. Atau mungkin mereka tahu bahawa larangan memasang dan mengibarkan bendera parti dari segi undang-undang tetapi mereka melakukannya juga,  kerana berasa ada kekebalan dan kebanggaan diri yang dipupuk oleh pemimpin mereka. Dalam keadaan yang sadar juga mereka tidak menerima bendera selain UMNOBN dikibarkan kerana diarahkan begitu.

 Sepanjang perjalanan Tun Sheikh tersebut, isu pengibaran bendera ini juga menjadi isu utama. Adalah disimpulkan bahawa  mereka melakukannya kerana di arah dan mereka sanggup merosakkan bendera lain kerana telah diarahkan begitu. Apa yang menarik kepada Tun Sheikh ialah mendapati banyak bendera UMNOBN yang dipasang tidak dijaga baik seperti bendera-bendera parti Pakatan Rakyat. Banyak bendera yang koyak, jatuh, patah tiang buluh dibiarkan sahaja. Manakala bendera-bendera Pakatan Rakyat di sepanjang jalan dari Kuala Lumpur ke Johor Baharu di jalan darat mahupun jalan pantai meski pun tidak dapat menandingi jumlah banyaknya dengan bendera UMNOBN tetapi berada dalam keadaan cantik, baik dan terjaga rapi.

 Apabila mempersoalkannya kepada keluarga yang menyokong UMNOBN, mereka mengatakan bahawa mereka tidak perlu ambil tahu atau mempedulikannya kerana ada orang telah diupah untuk menjaga bendera itu. Maka tergambarlah dibenak Tun Sheikh bahawa amalan rasuah dan penyelewengan ini telah juga membudaya hingga ke akar umbi. Yang diupah tidak beramanah kerana membiarkan bendera yang telah koyak atau tiang yang patah  boleh membahayakan pengguna jalan raya.  Hal ini tidak berlaku dalam PAS atau Pakatan Rakyat kerana kebanyakan bendera yang dipasang adalah hasil duit saku mereka sendiri. Mereka mengibarkan atau memacakkannya di hadapan rumah mereka dan mereka menjaganya dengan baik.

 Mereka tahu sepatutnya belum masanya lagi untuk mengibarkan bendera sempena PR13 tetapi memandangkan UMNOBN telah melakukannya maka adalah kelihatan adil dan tidak kelihatan ketinggalan jika mereka turut sama mengibarkan bendera Pakatan Rakyat. Banyak bendera Pakatan Rakyat dikhianati. Mereka patuh dengan arahan jangan bergaduh tetapi diminta berdoa mengadukan kepada Tuhan perihal kejahatan dan kezaliman serta perangai samseng UMNOBN, mudah-mudahan kezaliman UMNOBN menjadi penyebab kekalahan mereka atau setidak-tidaknya kehidupan mereka tidak diberkati Allah kerana penganiayaan yang dilakukan terhadap penyokong Pakatan Rakyat.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Hulu Langat Selangor 27.2.2013

MENUNGGU KERETA MURAH

0 comments

MENUNGGU KERETA MURAH

Ramai rakyat Malaysia tidak mengetahui atau menyedari bahawa terdapat banyak model kereta dalam kumpulan kereta kecil atau comel di luar negara hanya berharga RM10,000 ke bawah. Meskipun akseserinya adalah yang paling asas tetapi jika dibandingkan dengan kereta kancil, ia adalah sama kecuali Produa Kancil negara kita direka untuk muatan 5 atau 4 penumpang. Kereta comel 2 tempat duduk Malaysia yang unik dan dikhususkan untuk digunakan dalam kota sebenarnya tidak mesra rakyat kerana harganya sangat mahal berbanding dengan kereta biasa. Ia dijual dengan objektif menonjolkan gaya dan kemewahan,  bukan sebagai kenderaan rakyat yang praktis dan mudah digunakan di kota.

Tun Sheikh juga dapat maklumat dari sahabat handai dan saudara mara yang pernah tinggal seperti di Eropah, Kanada  dan Amerika Syarikat mengatakan bahawa harga kereta di sana adalah jauh lebih murah dari kereta di Malaysia. Mereka sangat kesal kerana sebuah kereta proton yang diimport dari Malaysia dikatakan berharga 1/3 dari harga pasarannya di Malaysia. Bayangkan jika harga Proton Waja misalnya berharga RM60,000.00 di sini, di Eropah harganya hanya RM20,000.00 atau lebih sedikit.  Paling tinggi adalah separuh harga berbanding harga pasarannya di Malaysia mengikut model-model tertentu yang digemari.

Ketika Tun Sheikh melawat Jakarta pada Oktober 2012, seorang sahabat Indon Tun Sheikh yang baru balik dari kursus sebulan di Kuala Lumpur bertanya kepada Tun Sheikh apa yang dapat dilihat mengenai kenderaan dan pengangkutan dalam kota Jakarta dan perbandingannya dulu dan sekarang. Sudah tujuh tahun Tun Sheikh tidak ke Jakarta walaupun ke daerah-daerah lain Indonesia setiap tahun. Tun Sheikh perasan kereta comel mereka sama seperti kita, tidak banyak. Apa yang ketara ialah kereta mewah di jalanraya mereka adalah lebih banyak daripada Kuala Lumpur. Sebelum tahun 2000 atau sebelum reformasi, kereta mewah dan kereta-kereta baru tidak begitu ketara. Tetapi jalan-jalan raya di Kota Jakarta ketika ini dipenuhi pelbagai model  baru kereta dan apabila diperhatikan, Tun Sheikh dapati model-model baru pelbagai jenama itu cantik-cantik belaka dan belum keluar lagi atau belum ada di Kuala Lumpur.

Sistem pengangkutan awam seperti bas dan teksi juga kelihatan begitu lancar. Jakarta telah memperkenalkan sistem kupon dan tambang murah dan lorong khusus untuk bas dan teksi bagi keselesaan rakyat. Ini semua dimaklumkan kepada Tun Sheikh adalah hasil reformasi. Pemerintah dituntut mengutamakan rakyat banyak dan mengawal tambang pada kadar yang wajar dan mampu kepada penduduk  kota berpendapatan rendah. Para reformis telah berjuang mengetengahkan kepentingan dan peranan rakyat berpendapatan rendah yang tidak boleh diabaikan kerana mereka juga mengisi dan memainkan peranan menyumbang tenaga dan perkhidmatan memajukan kota Jakarta.  Mereka juga mendesak pemerintah mengatasi masalah kesesakan lalulintas dalam kota yang dipercayai terjadi kerana masalah sistem dan dasar.  Gabenur atau Wali Kota Jakarta yang terpilih adalah tokoh yang dikenalpasti berjuang untuk rakyat dan anti rasuah. Jika calon memiliki trek rekod rasuah, kronism, nepotism mereka bukan saja tidak terpilih malah ditolak pada awal-awal lagi.

Apa yang sangat menarik mengenai kenderaan baru pelbagai model di Jakarta  ialah harga pasarannya yang murah,  bukan dasar melupus kerana usia atau bukan kerana nilai rupiah yang murah atau kecil berbanding nilai ringgit. Dipendikkan kata, sahabat Tun Sheikh itu amat setuju cadangan PR untuk menurunkan cukai kerajaan terhadap kereta dan itulah  yang telah dilakukan oleh pemerintah Indonesia. Cukai yang sangat rendah dan larangan meletakkan harga pasaran yang terlalu tinggi daripada kos menjadikan harga kereta di Indonesia seperti sangat mesra rakyat dan pada harga mampu beli. Bayangkan jika model Honda City berharga RM200,000 di Malaysia di sana hanya berharga diantara RM110,000 ke RM150,000 sahaja. Kenderaan biasa seperti Toyota Inova berharga RM105,000 di Malaysia, hanya berharga RM65,000 di Jakarta.

Tun Sheikh diberitahu pada awalnya memang dapat penentangan daripada saudagar kereta tetapi demi kepentingan rakyat banyak dan kerana kereta bukan lagi merupakan barang mewah kecuali keperluan pada zaman ini, pemerintah Indonesia berjaya mengubah dasar pemasaran dan harga kereta. Pemerintah juga telah menerangkan bahawa pengusaha atau penjual tidak mengalami kerugian kerana pihak kerajaan yang bertanggungjawab dan mengambil inisiatif mengawal dan mengurangkan cukai. Kini telah terbukti bertambah banyak kereta baru, bermutu dan baik di atas jalan,  berbanding sebelum reformasi di mana kenderaan model  1950-an yang kelihatan uzur juga masih digunakan.

Tun Sheikh sangat teruja apabila PR bercadang untuk menurunkan cukai kerajaan terhadap kenderaan dan sejak diuar-uarkan itu Tun Sheikh telah sempat mengumpul seramai seratus orang saudara mara dan sahabat handai yang telah menangguhkan cadangan untuk membeli kereta baru kerana menunggu janji-janji baik PR selepas dan apabila menang pilihanraya. Secara rambang dan menyeluruh cadangan untuk menurunkan harga kereta adalah sangat baik dan akan mengurangkan beban rakyat. Cadangan ini mestilah terus diuar-uarkan dan mesti dilaksanakan jika PR mengambilalih kerajaan bagi memastikan UMNOBN tidak berterusan memaksakan rakyat hidup dengan budaya rasuah atau dalam keadaan salah guna kuasa.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Bukit Beruang Melaka 9.12.2012

 
Copyright 2009 Blog Tun Sheikh
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere