Angin Perubahan dan Penguasaan Generasi Muda

0 comments
Perubahan Dan Penguasaan Generasi Muda

Merata Dari Selatan Ke Utara

Sejak pulang dari menziarahi Makam Wali 9 di Pulau Jawa pada bulan Jun lepas, sehingga kini Tun Sheikh rasa masih belum reda atau dapat berehat. Tun Sheikh baru pulang dari Langkawi kerana melancung atau berehat tetapi sebenarnya itu adalah istilahnya sahaja kerana pada hakikatnya Tun Sheikh tidak dapat mengelakkan diri dari melihat, meninjau atau menerima maklumat terutamanya mengenai isu-isu semasa, politik mahupun program kerajaan dan sebagainya. Selepas pulang dari Surabaya, teman Tun Sheikh menjemput Tun Sheikh ke Kedah untuk meninjau perubahan dan keadaan kebajikan yang dinikmati dibawah pemerintahan baru. Jemputan itu bukanlah jemputan rasmi tetapi hanya dari sekelompok sahabat handai dari pelbagai fahaman fikiran yang merupakan kenalan lama yang pernah bekerja sepejabat dengan Tun Sheikh semasa muda-muda dahulu.

Kemudian Tun Sheikh diundang oleh sahabat di Pulau Pinang dengan tujuan yang sama malah sempat Tun Sheikh diperlihatkan rasa bangga mereka terhadap kerajaan Pakatan Rakyat yang dianggap benar-benar mengkotakan janji mereka. Walaupun yang memegang tampuk kerajaan negeri ialah Parti DAP tetapi kepimpinan mereka berusaha mengimplimentasikan corak pemerintah Islam bukan kerana mereka ingin mengambil hati orang Melayu Pulau Pinang yang beragama Islam tetapi kerana mereka yakin terdapat banyak dasar, amalan dan pengajaran mahupun pelajaran yang bernilai tinggi dalam Islam itu sendiri adalah baik dan sesuai untuk dilaksanakan atau diamalkan. Apa yang sangat ketara adalah sikap telus mereka dan dasar menjaga kebersihan kota.

Di Kedah, Tun Sheikh dibawa ke Sungai Petani, Alor Star, Juru, Tikam Batu, Pantai Merdeka, Kuala Muda dan Pendang. Tidak sangka tujuan utama pada asalnya adalah untuk merisik sebuah keluarga di Kedah rupa-rupanya menjadi input melihat suasana penghidupan rakyat Kedah dari pelbagai bidang dan fahaman politik. Ini adalah kerana sejarah latar belakang Tun Sheikh sendiri yang pernah mengikuti atau menjadi ahli berbagai parti dan NGO samada yang berdaftar mahupun tidak berdaftar seperti ABIM dan Al Arqam. Pengalaman memondok dan berguru mempelajari kitab kuning tidak menjadikan Tun Sheikh merasa kekok bergaul dengan sahabat handai dari kumpulan itu. Begitu juga pengalaman bersekolah campur dengan bangsa lain seperti Cina dan India ketika di alam persekolahan itu tidak menjadikan Tun Sheikh berfikiran prejudis. Tetapi apa yang ingin Tun Sheikh perkatakan di sini ialah kelihatan suatu trend menyenangi keadaan politik kerajaan negeri bukan BN yang kelihatan dari pelbagai bangsa.

Di Perak, ketika Tun Sheikh bertandang di Parit, Tapah, Batu Gajah, Ipoh lain pula suasananya. Di Perak keadaan rakyatnya seperti menyimpan rahsia atau menyembunyikan sesuatu. Mereka malas bercerita mengenai politik tetapi sempat bersungut bahawa belum ada perubahan di Perak sejak pentadbiran negeri dirampas BN. Pembangunan seperti biasa dan tiada siapa boleh menafikannya tetapi apa yang dimaksudkan mereka ialah mengenai kebajikan dan ketelusan. Mereka bosan dengan budaya pentadbiran BN yang mementingkan kroni dan terlalu sering menusukkan ke telinga mereka dengan berita dan propaganda politik yang sama seperti dulu. Mereka seperti dipaksakan kerana pihak istana memihak BN dan pengikut fahaman politik lain didiskriminasi atau dilayan seperti mereka bukan rakyat Perak. Mereka menjalani hidup seharian dengan usaha dan ikhtiar sendiri, tidak dapat bergantung harap kepada pemerintah atau kerajaan negeri yang diterajui BN.

Itulah sedikit cerita keadaan di tiga buah negeri itu dan ketika di bulan puasa Tun Sheikh sering berulang alik ke selatan pula iaitu ke Negeri Sembilan dan Melaka kerana ada anak belajar di sana. Dalam kesempatan itu, Tun Sheikh singgah dan menziarah sanak saudara dan kawan-kawan. Di Negeri Sembilan, saudara mara yang berfahaman UMNO atau BN tidak segan silu lagi menceritakan salah tingkah atau isu-isu yang tidak dapat dikecapi bersama oleh mereka. Mereka menuduh pemimpin mereka bolot seorang dan tidak puas atau tamak. Tun Sheikh dengar sahaja kerana sejak dulu Tun Sheikh bersikap neutral dalam berperinsip dan fahaman supaya terbuka dan selesa saudara mara yang ingin mengadu atau bercerita.

Di Pedas, Rembau dan Bahau cerita agak sama. Semua berkisar kepada kelompok dan isu pemuda yang inginkan perubahan tetapi seolah terhalang dengan ugutan atau provokasi kepimpinan dan konco-konconya yang sedang berkuasa miskipun mereka telah terasa pengaruh berkurangan dari hari ke sehari. Ketua Pemuda UMNO seolah-olah kena gari dengan gari getah (istilah mereka) kerana terlalu berhati-hati dan dalam waktu yang sama diserang oleh sekutu sendiri dari dalam UMNO kerana berdendam dan cemburu dengan kuasa dan pengaruhnya sedikit masa dulu.

Di Kuala Pilah dan Sri Menanti sampai ke Tampin, sesuana seperti neutral atau seperti tiada apa yang berlaku kerana tempat-tempat ini dipengaruhi oleh keadaan istana. Dan semua orang tahu bahawa istana memang ada hubungan MOU dengan UMNO dan BN. Meskipun begitu generasi muda mereka terlalu gairah inginkan perubahan terutamanya dalam menangani rasuah dan budaya kroni tetapi mulut mereka kelihatan bungkam kerana hormat kepada adat dan pengaruh istana. Tun Sheikh percaya, mereka akan meledak juga apabila berkesempatan nanti jika mereka terus dibiar dan dijadikan pemerhati saja.

Di Melaka, rakyat masih mengenang jasa Rahim Tambi Chik. Mereka sayang kepadanya tetapi tidak memaafkan perilakunya memperkosa kanak-kanak. Sayang mereka kepada Rahim seperti pepatah mengulum racun, ditelan mati dibuang sayang atau ditelan mati emak dibuang mati bapak. Rahim dianggap menimbun kekayaan dengan memperkasa ekonomi Melaka tetapi pemimpin sekarang mengumpul harta melalui budaya rasuah dan masih tidak serik walau pernah dihukum oleh kepimpinan tertinggi UMNO. Sampai ada ketika orang Melaka sendiri memperli inilah bahana seorang pemimpin yang berasal dari keluarga miskin. Jika telah biasa dengan kekayaan tidaklah seteruk begini.

Boleh dikata bahawa di Melaka sebenarnya tiada harapan lagi untuk mengekalkan kuasa jika UMNO gagal memujuk orang Melayu yang tidak sehaluan lagi ketika ini. Untuk mengharapkan orang Cina yang majoriti di Melaka ketika ini adalah umpama mimpi di siang hari. Orang Melayu Melaka pun selamanya tidak sanggup untuk berkorban lagi kerana banyak harta tergadai kerana ingin memuaskan hati orang lain. Pemimpin UMNO kaya raya denga kroni dan sahabat bukan Melayu mereka.

Di Johor pula, rasanya tidak perlu Tun Sheikh rakamkan disini kerana reformasi yang sedang berlaku adalah reformasi minda generasi baru. Mereka hauskan ketelusan dan kesederhanaan kepimpinan dalam meneroka atau menimbun kekayaan kerana mereka selaku rakyat biasa telah merasa tersepit dengan pelbagai hambaatan dan masalah kehidupan. Tidak mustahil jika pemimpin BN di peringkat pusat tidak berjaya menunjukkan perubahan yang drastik dalam menangani rasuah dan tidak telus dan cermat mengeluarkan hujah-hujah mahupun isu semasa maka generasi muda Johor akan berpaling tadah secara senyap sebagai tanda membantah.

Itulah sedikit sebanyak persepsi Tun Sheikh mengenai keadaan pemikiran rakyat terutamanya orang Melayu dari Selatan ke Utara dari Jun hingga September ini bersesuai dengan keadaan dan kesensitifan pelbagai isu dan kesempatan Tun Sheikh meninjau secara bebas dan berpeluang berulang-alik secara kebetulan mahupun secara pribadi dan undangan tidak rasmi. Ketika di bulan ramadan, ketika menyambut hari raya dan berziarah serta ketika mengurus anak-anak yang sedang menuntut di negeri-negeri berkaitan. BN dan UMNO perlu berubah segera membenteras rasuah di kalangan dan kelompok sendiri dan usah lagi mempermainkan isu agama kerana orang Melayu di luar sana tidak lagi buta hati seperti orang UMNO yang buta kerana amalan dan budaya rasuah. Benarlah janji Tuhan bahawa Allah akan mengganti anda dengan kelompok yang baru jika anda berterusan berkelakuan fasik dan menyombong diri.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Sri Menanti N9
 
Copyright 2009 Blog Tun Sheikh
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere