UCAPAN TERIMA KASIH DAN MEMOHON KERJASAMA CATATAN HAKMILIK INTELEKTUAL

0 comments


UCAPAN TERIMA KASIH DAN MEMOHON KERJASAMA CATATAN HAKMILIK INTELEKTUAL

Tun Sheikh mengucapkan berbanyak malah ribuan terima kasih kepada pengunjung dan pembaca blog ini. Tun Sheikh sangat berharap kepada para pengunjung dan pembaca terutamanya yang memiliki blog, ‘facebook’ dan sebagainya termasuk para penyelidik atau sesiapa sahaja yang ingin mengambil sumber atau fakta dan bahan dalam Blog Tun Sheikh hendaklah mencatatan sumber tuan-tuan dan kreditkan Blog Tun Sheikh sebagai sumbernya.

Tun Sheikh memang membenarkan tuan-tuan mengambil sumber dan menggunakan fakta hasil dari penulisan Tun Sheikh. Tetapi tolonglah memberi sedikit kredit tanda kebertanggungjawaban. Ini adalah kerana Tun Sheikh menulis berdasarkan fakta,  kenyataan, pengalaman, kajian dan pengolahan serta biasa membuat analisis dalam segala bidang yang hendak Tun Sheikh tuliskan. Tun Sheikh tidak pernah ‘mengcopy & paste’ bulat-bulat milik penulis atau pengarang atau tokoh-tokoh yang menerbitkan penulisan hasil daripada bidang yang diceburi tanpa mengkreditkan atau mencatatkan sumber yang Tun Sheikh ambil.

 Sebenarnya,  ini adalah etika kepada semua penulis dan pengkaji tidak kira apa bidang yang diceburi. Hal ini mesti dipatuhi. Adalah tidak bertanggungjawab dan tidak bermaruah jika hasil penulisan atau dapatan orang lain diambil sebagai milik sendiri. Palagiat atau orang yang mencuri idea, hasil penulisan dan sebagainya terutama dalam bidang penerbitan,  karya dan kajian, adalah dianggap hina dan tidak beretika. Hasil penulisan dan kajian adalah khazanah intelektual yang tidak ternilai. Tun Sheikh tidak pernah terlupa menukilkan sumber sama ada tajuk buku atau rencana   atau nama penulis yang menghasilkannya atau menerbitkannya apabila mengambil fakta. Pengolahan fakta adalah hak penulis tanpa perlu mencatatkan rujukan sumber. Tetapi jika tidak diolah lalu terus menciplak ayat, perenggan atau disunting tanpa mengubah dan mengolah ayat yang asal dan tidak mencatatkan sumber rujukan, ini adalah satu perbuatan yang tidak menyenangkan sesiapa dalam bidang penulisan ini.

Blog Tun Sheikh ini adalah kendalian Tun Sheikh sendiri selaku ‘free lance’ yang neutral dalam bidang ini. Tun Sheikh telah menulis sejak zaman persekolahan dan dalam pelbagai wadah tanpa cita-cita untuk menjadi popular dan ternama. Tujuan dan objektif Tun Sheikh adalah untuk menyampaikan apa yang difikirkan baik untuk manfaat bersama dengan harapan menjadi sumbangan dan amal ibadah.  Pelbagai nama pena dan samaran Tun Sheikh gunakan dan tidak pernah terikat dengan apa-apa kontrak penulisan dan penerbitan  dan jarang sekali Tun Sheikh mengambil bayaran upah hasil dari penulisan dan kajian kerana Tun Sheikh meniatkan sebagai amal jariah. Biasanya jika ada bayaran hasil dari penulisan,  Tun Sheikh minta penerbit memasukkan atau ‘divert’ ke tabung amal.

Walau bagaimanapun, Tun Sheikh kena peka tentang hal hakmilik intelektual ini kerana terlalu banyak fitnah terjadi pada zaman ini. Selain itu,  Tun Sheikh sendiri sering tidak selesa. Ini adalah kerana terasa berat dan payah ketika menghasilkannya apabila berpengalaman dikejar-kejar, diberi amaran, diperingatkan kuasa dan ugutan pihak berwenang sama ada dari sahabat handai, pertubuhan mahupun jabatan atau ajensi kerajaan dan sebagainya.

 Tun Sheikh bersyukur kerana keluarga besar Tun Sheikh dari kalangan kerabat , tokoh-tokoh politik, polis dan tentera serta orang awam biasa selalu memberi ‘first hand news’ dan sering menasihatkan Tun Sheikh apa dan bila perlu dibuat atau ditulis atau berehat sementara supaya tidak teraniaya atau dianiaya oleh pihak-pihak berkepentingan dan pihak-pihak tertentu termasuk pihak yang berkuasa.

Blog Tun Sheikh telah dimulakan pada tahun 2008 sehingga kini dengan pelbagai wadah seperti sejarah, kontemporari, nostalgia, falsafah pemikiran, minda politik, puisi sastera, ajaran hidup, irama kehidupan dan dimensi . Blog ini adalah hasil penulisan dan pengolahan sendiri dan tulen tanpa iklan dan sebagainya kerana tujuannya adalah untuk manfaat kebajikan kemanusiaan. Bukan bertujuan mencari keuntungan kewangan atau mencari dana.

Disebabkan pelbagai keperitan yang Tun Sheikh alami,  harapan Tun Sheikh,  apa-apa fakta yang diambil tanpa pengolahan harap dicatatkan Blog Tun Sheikh sebagai sumbernya. Tun Sheikh rasa terkilan dan kesal apabila mendapati banyak hasil penulisan Tun Sheikh diambil dan dijadikan perisian blog dan FB pribadi tanpa mengkreditkan sumber asal seolah-olah tulisan itu mereka yang menulisnya.

 Tun Sheikh juga meminta maaf kerana akhir-akhir ini terdapat banyak  perkataan sindir dan kias dalam blog Tun Sheikh. Ini bagi   mengelakkan fitnah manusia dan yang berniat jahat. In Sha Allah meskipun begitu, Tun Sheikh tetap berusaha menjaga otentik fakta sedaya mungkin. Selamat membaca, memahami dan manfaatkannya.

Tun Sheikh Engku Bendahara
Pesta Buku Serdang 1.5.2016

LATAH Dr HASSAN YANG MEMBAWA PADAH - NOSTALGIA MENGENANG TGNA

0 comments


LATAH Dr HASSAN YANG MEMBAWA PADAH -
NOSTALGIA MENGENANG TGNA

Apabila Dr Hassan ABDULLAH (TST) orang kuat PAS Selangor melatah maka banyaklah isu-isu dan rahsia dalaman PAS terbongkar kepada musuh-musuh tradisi. Dia memang dikenali sebagai seorang tokoh yang mempunyai kepakaran dalam ilmu kemasyarakatan. Dia juga terkenal dengan sikap gelojoh tetapi professional dan berkeyakinan tinggi.  Ucapan kata-katanya tersusun tetapi kelajuan menghambarkan perkataan menggambarkan karekter kegelojohan beliau. Tidak dinafikan beliau banyak berjasa dalam PAS terutamanya memobilasi para professional menyumbang kepakaran dalam parti. Beliau seolah-olah tidak berpuashati kepada kepimpinan tertinggi PAS kerana lambat bertindak dan lambat membuat keputusan terhadap sesuatu isu yang dilihat menguntungkan PAS mengikut pandangan umum dan pandangan dirinya. Beliau rapat dengan Ustad Nasaruddin Md Esa dan mereka mempunyai keyakinan dan cita-cita yang agak sama. Mereka yakin dan berasa akan berjaya menyatukan penganut Islam Malaysia khususnya Melayu duduk atau bergabung dalam satu wadah.

 Ketika itu TGNA juga memberi dokongan dan galakkan yang amat positif dengan syarat semua umat Islam Malaysia bersetuju menjadikan Al Quran dan As Sunnah sebagai pegangan, panduan dan rujukan utama. Di samping itu TGNA juga memberi formula rahsia batasan untuk perpaduan Islam iaitu jika hanya mengaku Islam tetapi tidak bersedia mengorbankan kebiasaan adat suku kaum, contohnya  Melayu yang berprestij dan adat-adat yang menyalahi syariat Islam  maka beliau sama sekali tidak restu. Pesanan pedas beliau kepada kepimpinan PAS yang ingin mengusahakan perpaduan  Melayu Islam Malaysia ialah supaya jangan melupakan sejarah perjuangan PAS dari mula penubuhannya sehingga kepada corak dan gambaran serta matlamat akan datang.

TGNA sering mengingatkan agar berhati-hati supaya apa yang pernah belaku dijadikan teladan dan peringatan dengan hati yang redha kerana telah pun berlalu. Peristiwa silam telah menjadi takdir dan kena diridhai. Beliau kerap memesan agar semua kepimpinan PAS jangan lupa ketika PAS kuat, PAS dilemahkan secara tipu muslihat politik diajak musuh berkerjasama atas nama perpaduan Melayu dan Islam. Kejujuran dan ketulusan PAS telah dicemari seolah-olah seperti ditikam dari belakang. Harapan TGNA agar sejarah pahit ini tidak berulang lagi. Jangan dipatuk ular buat kali kedua pada lubang yang sama.

TGNA sangat curiga dengan keikhlasan AMNOBN kerana beliau mengesan bau-bau muslihat politik yang tidak jujur. Secara sindiran beliau sendiri mencabar kerajaan AMNOBN sekiranya benar-benar jujur dan ikhlas untuk menjadikan Islam sebagai pegangan dan panduan berkerajaan maka sudah tentu tidak teragak-agak membubar parti kesukuan dan sama-sama menubuhkan parti Islam baru.

Ada bisik-bisik mengatakan TGNA tidak berkenan dengan Dr Hassan. Dr. Hassan dianggap banyak membuat cerita samar-samar dan ada yang hanya rekaan untuk menyakinkan kepimpinan tinggi PAS. Ada juga mengatakan Dr Hassan terlalu yakin dengan ilmu dan kepakarannya sehingga terlupa menyakini bahawa para ulamak bercakap bukan dengan nafsu dan fikiran tetapi dengan penglihatan dan gerak hati. Ada juga yang telah menjangkakan bahwa Dr Hassan akan keluar sendiri dari perjuangan parti kerana asas ilmu agamanya dianggap cetek dan terlalu menekan para ulamak dengan keahlian dan popularity ilmu kemasyarakatannya sehingga ada yang mengatakan bahwa Dr Hassan gagal ‘mengadoptasi ‘ atau menyesuaikan ilmu dunia dengan ilmu akhirat.

Meskipun Dr Hassan dan Ustad Nasaruddin berusaha kuat mencari jalan terhadap isu perpaduan Melayu Islam Malaysia, kebanyakan para ulamak tidak berkeyakinan malah ada yang terang-terangan menentang. Bagi sesetengah ulamak, ilmu skular ini membawa banyak fitnah. Kepada kumpulan professional pula seperti Dr Hassan,  menganggap seolah-olah para ulamak tidak tahu dan mahir menfaatkan ilmu skular, teknologi dan sains dalam perjuangan politik berasaskan Islam.

Akhirnya roh sirahturahim mereka terputus dan disebabkan pengaruh Dr Hassan tidak begitu popular dan menyeluruh dalam PAS,  maka beliau gagal mempertahan diri . Selepas Dr Hassan tersingkir, strateji menolak pemimpin parti yang berbaik-baik dengan AMNOBN berterusan. Ustad Nasaruddin dan kumpulan yang menyokong beliau kerap kelihatan seperti terperangkap dan sering kekok kerana dituduh dengan pelbagai kata-kata hingga seperti membawa maksud pengkhianat kepada parti.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
18.3.2016 Pengkalan Kubur Tumpat, Kelantan

 
Copyright 2009 Blog Tun Sheikh
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere