Jangan Tabliq Pula Diharamkan

0 comments
Jangan Tabliq Pula Diharamkan Kerana Politik

Tabliq Adalah Syiar Islam Dan Pandangan Negatif Terhadap Tabliq Perlu Diubah

Selepas kembali dari menunaikan fardhu haji di Mekah pada tahun 1996, Tun Sheikh berazam mengaktifkan diri dalam dakwah islamiah secara berkumpulan. Pada mulanya hati tertarik kepada kumpulan tabliq tetapi disebabkan terlalu banyak kritikan orang ramai terhadap pakaian dan kealpaan mereka terhadap keluarga sendiri ketika keluar berdakwah, Tun Sheikh menangguhkan untuk menyertainya dan sampai ke hari ini masih belum berkesempatan. Persepsi masyarakat yang agak negative terhadap kumpulan tabliq telah mempengaruhi Tun Sheikh menyertai Persatuan Khazanah Fathaniah, mempelajari kitab-kitab lama (kitab kuning) hasil tangan Sheikh Ahmad, Sheikh Daud dan ulamak-ulamak tersohor Patani hingga ke hari ini.

Satu daripada keistimewaan ahli tabliq ialah ikatan persaudaraan di antara ahli kumpulan mereka adalah sangat baik. Sanggupkah anda membuangkan tahi hidung sahabat anda dengan jari tangan anda sendiri? Hal ini biasa dalam kumpulan tabliq kerana mereka telah ditarbiah dan berlapang dada sesama sendiri. Namun, terdapat juga fitnah orang ramai terhadap mereka. Ada yang tidak benar dan ada juga kekurangan kumpulan ini adalah betul. Seperti contoh, sebenarnya mereka tidak dibenarkan keluar berdakwah jika mereka masih banyak masalah peribadi yang tidak memungkinkan mereka meninggalkan keluarga dan tanggungjawab. Ini adalah kerana kumpulan tabliq mempunyai disiplin dan prinsip yang tinggi dan kukuh semasa keluar berdakwah. Masa ditetapkan dengan tegas dan ada jumlah hari-hari tertentu dan tidak dibenarkan balik ke rumah. Mereka mesti siap zahir batin termasuk cukup perbelanjaan dan sihat tubuh badan. Cukup perbelanjaan untuk bekalan ketika bermusafir dan juga cukup perbelanjaan untuk keluarga yang ditinggalkan. Bertabliq adalah salah satu daripada syiar Islam dan jalan jihad yang suci.

Mereka juga disyaratkan berpakaian bersih dan sentiasa berwuduk. Di waktu-waktu lapang ketika berjalan mahupun beriktikaf di masjid, mereka dimestikan berzikir, mengaji atau membaca kitab. Urusan atau melaksaksanakan amalan peribadi mestilah setelah mentelaah ilmu secara kumpulan atau jemaah yang diketuai oleh naqib. Sebarang masalah yang dihadapi ketika berdakwah dilapor dan diperbincangkan dalam majlis ilmu itu. Naqib akan menunjukkan jalan keluar mengatasi masalah. Tarbiahnya lebih menjurus kepada pembetulan kepada diri dan sifat-sifat kerohanian ahli jemaah. Matlamat asal atau objektif bertabliq ialah untuk mendidik diri ahli bersabar dan bertawadhuk kepada Allah.

Beberapa kelemahan dan perkara yang tidak disenangi masyarakat yang pernah dilakukan oleh kumpulan ini ialah ketika mereka datang menziarahi penduduk pada waktu-waktu yang dianggap tidak sesuai. Penduduk sering didatangi kumpulan tabliq ketika mereka sedang sibuk menyelesaikan urusan rumahtangga. Walau pun ahli rombongan tabliq tidak meminta dijemput masuk ke rumah tetapi kerap mengganggu kesibukan dan kelapangan pribadi atau privasi orang. Mereka dikatakan sering berpakaian lusuh, tidak kemas dan ada yang berbau. Imej negatif melalui pakaian yang lusuh dan dimakan hari itu cepat mempengaruhi orang ramai kerana mudah membayangkan mereka tidak sempat mencuci, mandi dan sebagainya kerana tidak membawa banyak pakaian bagi memudahkan pergerakan dan jadual mereka adalah padat.

Orang ramai juga pernah mengadu bahawa surau atau masjid di kediaman mereka yang digunakan oleh kumpulan tabliq berkumpul dan bermalam kelihatan kotor dan banyak sampah sarap yang ditinggalkan kerana mereka memasak dan menyediakan makanan sendiri untuk kumpulan mereka di situ. Penduduk kadang-kadang terkeliru kerana tidak dijemput dan dipelawa makan selepas solat kerana mereka menjangka pihak masjid atau surau menyediakan jamuan jika kelihatan aktiviti memasak dilakukan. Mereka juga tidak senang melihat beg-beg dan barangan milik peribadi ahli kumpulan tabliq berselerak di suatu sudut di dalam masjid atau surau.

Terdapat juga pandangan penduduk yang terasa tersinggung kerana mereka diseru datang ke masjid dan surau oleh ahli kumpulan ini tanpa mengetahui atau perasan bahawa orang yang diseru itu adalah bilal atau orang yang hari-hari dan setiap waktu ke masjid. Mereka seperti tidak mengecam ahli jawatankuasa masjid ketika betemu di rumah. Ini menggambarkan seperti mereka tidak fokus kepada seseorang kecuali menyeluruh ketika menyampaikan seruan dakwah. Hal ini sering mengakibatkan penduduk atau ahli jemaah tidak berminat kepada kumpulan mereka.

Kumpulan tabliq juga dikatakan membawa misi seruan tanpa mempedulikan kemesraan. Apa yang penting mereka seru penduduk datang ke mesjid tanpa memberi tahu apakah aktiviti yang mereka jalankan. Sebenarnya mereka tidak ada menjalankan aktiviti untuk orang ramai di masjid dan surau tempat mereka menginap. Di masjid dan di surau adalah khusus untuk pentarbiahan diri ahli kumpulan mereka, namun jika kita turut datang menyertai majlis ilmu kumpulan ini, kita tidak dilarang tetapi sering terasa seperti orang asing di tempat atau di masjid sendiri. Ini adalah kerana mereka menjalankan majlis dakwah atau mentelaah ilmu di satu sudut yang jauh dari kawasan jemaah dalam masjid itu. Walaupun mereka tidak menghalang orang bukan ahli menyertai atau mendengar sama tetapi terasa tiada suasana kemesraan. Hal ini ditambah dengan kelainan ahli dengan bukan ahli mereka dari segi berpakaian yang kelihatan mempunyai ciri-ciri khusus.

Walau bagaimanapun, sebenarnya banyak juga sumbangan mereka terhadap masyarakat ketika mereka menyebarkan seruan dakwah dan kebajikan samada menyeru supaya mendirikan solat atau datang berjemaah ke masjid dan sebagainya. Ada di antara mereka terutamanya naqib-naqib mereka memang mempunyai pengetahuan yang luas dan berkredibaliti tinggi. Imej ini dapat dilihat dengan hanya melalui tampang atau wajah mereka yang kelihatan bersih dan sedap mata memandang. Imej yang baik ini sering tercemar kerana memang ada diantara ahlinya yang gairah untuk keluar berdakwah berhari-hari meninggalkan keluarga tanpa meninggalkan bekalan yang cukup sehingga menerbitkan masalah. Mereka ada yang gairah untuk mengikut naqib-naqib tertentu tanpa persediaan ilmu. Ada juga sebagai eskapism dan keluar daripada kehidupan atau masalah seharian mereka yang routin. Ada juga mengkritik mereka kerana tidak mengurus diri sendiri dengan baik ketika bermusafir dan mengganggu ketenteraman ahli qariah masjid atau surau tempat mereka menumpang menginap.

Ada laporan memang benar tetapi kebanyakannya, adalah berpunca dari kepasifan ahli jawatankuasa masjid itu sendiri dalam memeriahkan masjid dengan pelbagai aktiviti. Kesepian masjid dan surau terbongkar ketika kumpulan dakwah tabliq menumpang menginap dan penduduk merasakan kumpulan tabliq berjaya memeriahkan masjid berbanding ahli jawatankuasa sendiri. Di sebabkan hal ini, ahli jawatankuasa masjid atau surau sering membuat laporan yang berat sebelah sehingga mendorong pihak atasan tidak membenarkan ahli kumpulan tabliq menginap atau beriktikaf di masjid-masjid dan surau-surau tertentu.

Tun Sheikh rasa terpanggil untuk menulis sedikit perihal kumpulan tabliq ini meskipun belum berkesempatan menyertainya. Fakta-fakta yang didapati ini adalah hasil komitmen Tun Sheikh sendiri berjumpa dan bertanya dengan beberapa naqib dan ahli kumpulan tabliq. Kebanyakan mereka telah bermusafir berbulan-bulan di luar dan dalam negeri dengan niat berdakwah secara bertabliq. Tun Sheikh juga dapat serba sedikit maklumat daripada saudara mara dan sahabat handai yang menyertai kumpulan tabliq ini. Dapatlah Tun Sheikh menyimpulkan bahawa mereka adalah daripada satu jurusan dakwah islamiah dalam Islam dan kebaikan yang dibawa mereka adalah lebih daripada keburukan. Kelemahan-kelemahan boleh diatasi jika para ahli jawatankuasa masjid dan surau sama-sama berbincang dan bekerjasama dengan kumpulan tabliq yang datang untuk mengadakan aktiviti dakwah dan tarbiah. Masalah tidak akan timbul jika ahli jawatankuasa masjid dan surau serta para jemaah atau penduduk itu tidak menganggap mereka sebagai satu entiti lain, asing dan berkecuali. Para kumpulan tablig pula seharusnya berhemah ketika berdakwah atau berdepan dengan penduduk dengan niat murni. Bertabliq itu tidak seharusnya memfokus untuk manfaat para ahli sahaja.

Akhir sekali, aktiviti bertabliq mestilah digalakkan dan beriktikaf di masjid bukanlah suatu larangan tetapi semua yang terlibat mestilah mematuhi peraturan yang khusus terhadap rumah Allah itu sebagaimana ditetapkan dalam syariat. Jangan kerana tiada masa untuk beriktikaf atau tiada aktiviti untuk memeriahkan masjid, rumah-rumah Allah itu dikunci sehingga menyusahkan orang lain.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
 
Copyright 2009 Blog Tun Sheikh
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere