BUDAYA RASUAH MERUGIKAN NEGARA

KELUHAN PENGUSAHA JUJUR

Tun Sheikh baru sahaja didatangi oleh dua orang pengusaha bekas kontraktor binaan. Mereka diperkenalkan oleh sahabat Tun Sheikh untuk mendapat pandangan secara informal. Dari perbualan antara kami, Tun Sheikh yakin mereka adalah orang yang jujur dan juga kecewa dalam bidang yang diceburi mereka. Mereka bukan gagal tetapi sengaja menarik diri kerana tidak tahan dengan kerenah birokrasi samada kerajaan mahupun swasta yang rata-rata terlibat atau terikat dengan budaya rasuah. Mereka tidak sanggup bersubahat lagi lalu meninggalkan bidang berkenaan meskipun mereka berupaya, berkemahiran dan berpengalaman melakukannya. Ini merupakan suatu kerugian kepada bangsa dan negara.

Bahaman adalah seorang anak muda berasal dari negeri Perak, berkelulusan ijazah sarjana dalam multi media dan perhubungan awam dari universiti luar negeri. Beliau baru berusia 42 tahun. Ketika kembali ke tanah air, beliau terus bertugas dengan kerajaan selama 5 tahun dan pada usia 31 beliau telah menceburkan diri dengan mengusahakan syarikat pembinaannya sendiri di Lembah Kelang. Beliau berjaya memperoleh lesen kontraktor klas D pada tahun 2005 dan dibenarkan membuat kerja-kerja bernilai RM500,000.00. Tetapi lesen ini telah tidak digunakan lagi sejak 2008 kerana beliau tidak tahan dengan tekanan amalan rasuah.

Sebelum itu, ketika mencari kerja dengan menggunakan lesen klas F, beliau telah mula mengesan budaya rasuah dan mengampu yang terpaksa ditelannya. Beliau berasa serba salah dan apa yang sangat merunsingkannya ialah terpaksa membayar kos anak-anak ayam (pelacur) yang terpaksa disediakan kepada taukeh-taukeh swasta. Manakala dengan projek-projek kerajaan, terpaksa menyediakan duit kos pelbagai penajaan samada kepentingan pribadi pegawai mahupun arahan menaja program-program UMNO. Beliau kini telah bertukar bidang perniagaan daripada kontraktor binaan kepada restoren kopi tiam di Puchong. Beliau berasa serik dan tidak ingin menceburkan diri dalam pembinaan kerana menganggap budaya rasuah tidak mungkin akan berubah walau bertukar pemerintah kecuali jika semua pegawai dan kakitangan yang terlibat dan sistem sekarang ditukar baru dengan yang lebih amanah dan telus .

Abd Rahim pula telah berusia 59 tahun berasal dari Kuala Lumpur. Beliau telah berhijrah ke Kelantan tempat kelahiran isteri beliau dengan niat untuk menikmati kelainan suasana sekeliling dan membersih diri apabila Kelantan diperintah semula oleh PAS. Beliau telah membawa bersama urusan perniagaannya iaitu sebagai kontraktor binaan kelas B. Malangnya di Kelantan, beliau gagal mendapat pekerjaan kerana dimonopoli oleh agensi Kerajaan Pusat dan projek-projek diuruskan oleh Jabatan Persekutuan atau kawasan Parlimen UMNO. Untuk mencari rezki dan meneruskan kemahiran dalam karier, beliau terpaksa menggunakan lesen kelas F.

Apa yang memeranjatkan beliau, ialah apabila diberi kata dua untuk meletakkan kos membuat sebuah jambatan kampong dengan harga diantara Rm120,000.00 – Rm135,000.00 . Padahal beliau telah membina 5 buah jambatan yang sama spesifikasi dan pelan serupa yang diberi oleh pihak berkuasa negeri dengan kos Rm75,000.00 setiap satu. Hingga ke hari ini beliau hanya berminat memasuki tender dan sebut harga kerajaan negeri pinpinan PAS saja kerana berasa tidak pernah diganggu oleh pihak birokrasi. Kemajuan dan keuntungan syarikatnya tidak pernah dipertikai atau diminta menaja atau memberi sumbangan untuk apa-apa program parti. Kini beliau juga memiliki sebuah restoren di Kota Bahru dan beliau berasa hidupnya lebih berkat daripada di Kuala Lumpur.

Bila ditanya mengapa beralih kepada restoren, mereka berdua mempunyai pandangan yang sama, iaitu banyak keberkatan dan tidak sakit kepala berhadapan dengan orang atau birokrasi pemakan rasuah. Kemudian Tun Sheikh ditanya nasib atau untaian hidup pemakan dan pemberi rasuah. Tun Sheikh hanya mengatakan kedua-duanya diancam ke neraka dan di dunia hidupnya tidak tenang dan banyak musibah. Anak isteri yang diberi makan hasil rasuah akan liat hati mereka dan cenderung kepada perkara-perkara yang batil. Mereka berdua bersetuju dan tersenyum panjang kerana mereka telah berpengalaman mengurus keluarga mereka ketika hasil pendapatan bercampur dengan rasuah dan ketika ini yang bersih dari rasuah. Mereka berasa lebih mudah dan tenang mengurus anak isteri ketika ini jika dibanding dahulu.

Perbualan berakhir dengan sama-sama bersetuju bahawa semangat anti rasuah dan keburukan rasuah mesti diajar dan disemai sejak dibangku sekolah dan di zaman kanak-kanak lagi. Sistem yang menggalak berlaku rasuah sebagaimana hari ini mesti diganti baru. Pemberi dan penerima rasuah dan mereka yang bersubahat sepatutnya tidak diberi peluang pekerjaan sebagaimana kerajaan pusat atau BN buat terhadap mereka yang tidak mahu memberi rasuah kepada mereka. Peluang pekerjaan disekat tetapi hal ini sudah terbalik dan menyalahi adat. Ini akan berterusan selagi sistem dan mereka yang rasuah terus berkuasa. Semua rakyat hendaklah bersungguh-sungguh bersama kerajaan membenteras rasuah. Ini termasuklah rasuah ikan bilis atau rasuah ikan paus.
Akhir sekali, Tun Sheikh berkata bahawa pengusaha, saudagar atau peniaga yang jujur dan amanah janganlah kecewa kerana kedudukan mereka setaraf dengan ulamak di sisi Allah. Berusahalah dan berikhtiar supaya keluar dari kelompok rasuah seperti Bahaman dan Abd Rahim. Insyaallah...hidup kita akan diberkati dan hati akan lembut untuk beriman kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Oleh Tun Sheikh

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Blog Tun Sheikh
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere