KASIHAN -MINDA VETEREN RAKYAT JOHOR DI TAKUK LAMA

MINDA SUBSIDI DAN KAYA CEPAT ORANG LAMA JOHOR

Hari Kemerdekaan 31 Ogos 2010 boleh dikatakan disambut dengan begitu dingin di seluruh negara. Gimik dalam berita perdana kerajaan indah khabar dari rupa. Atau memang betul sebagai alat penyiaran dan penerangan bolehlah dikatakan mass media telah berfungsi dan memainkan peranannya dengan begitu baik. Cuma penerimaan rakyat yang dingin. Apabila ditanya terutama di kalangan generasi muda di Johor, mereka mengatakan berasa bosan dengan barisan kepimpinan BN sekarang kerana bias dan hipokrit dan tidak bertenaga. Masa dan tenaga terlalu banyak habis bagi menyelesaikan isu rasuah dalaman BN. Pelbagai rasuah termasuk kuasa, kewangan, penggunaan jentera kerajaan, sosial dan juga rasuah politik atau pemikiran politik berleluasa berlaku. Dan yang amat parah apabila tokoh politik kelihatan sibuk mengurus kepentingan diri.

Cuti hari kemerdekaan telah Tun Sheikh habiskan dengan menziarah sanak saudara di Johor. Tun Sheikh telah ke Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Johor Bahru, Pontian, Batu Pahat dan Muar. Orang Johor masih ada mengamalkan budaya menjemput saudara-mara terdekat berbuka bersama. Selama 4 hari Tun Sheikh berbuka dan bersahur di berlainan tempat dan pada siangnya Tun Sheikh duduk bersembang-sembang dengan jiran-jiran saudara mara Tun Sheikh. Oleh kerana boleh dikatakan semuanya aktif dalam politik, maka rancaklah perbualan Tun Sheikh dengan mereka dan dapatlah banyak berita dari akar umbi terhadap pandangan mereka secara keseluruhan mengenai arus politik semasa.

Orang Johor memang telah matang dengan politik. Namun, kematangan berpolitik telah menebalkan semangat partisan mereka sehingga susah untuk menerima sesuatu perubahan baik yang dibawa oleh parti lawan atau parti pembangkang. Ini adalah kerana minda mereka telah dipengaruhi oleh semangat kemelayuan dan juga keegoan kerana sejarah politik Melayu moden bermula di Johor. Justeru kebanyakan pandangan politik terutamanya di kalangan generasi tua begitu fanatik dengan UMNO. Kebanyakan mereka berpelajaran dan bekas pendidik, boleh dikatakan sebagai golongan yang berpengaruh kerana mereka merupakan aktivis politik ketika mereka muda dahulu. Mereka berjaya mempengaruhi atau merubah minda rakyat hingga menjadikan Johor begitu kuat dengan aliran politik UMNO.

Kini, mereka sudah tua dan rata-rata minda orang yang telah berusia 50 tahun ke atas masih ortodok dengan politik UMNO mereka. Tetapi tanpa mereka sedari, hal ini tidak diwarisi oleh anak-anak mereka. Kebanyakan anak-anak mereka atau generasi muda yang berusia di bawah 50 tahun kelihatan seolah-olah tidak bertembung atau bertentangan pendapat berkenaan politik dengan golongan tua. Tetapi setelah diajak bersembang secara santai, suasana tidak ambil pusing atau tidak menunjukkan berlainan pendirian itu adalah kerana tidak mahu mewujudkan suasana yang tegang atau sengaja dijaga agar tidak kelihatan hilang hormat terhadap generasi tua.

Generasi muda Johor masih menyayangi UMNO tetapi mereka meluat dengan perangai dan penampilan pemimpin-pemimpin UMNO Johor termasuk semua yang aktif dalam politik dari golongan muda kerana mereka menggambarkan kemewahan dan kehebatan diri atau gambaran lebih menonjol dan mementingkan diri. Pandangan mereka kurang bernas kecuali jika berkisar tentang bagaimana untuk mendapatkan bahagian dalam projek pembangunan, bagaimana hendak cari duit dalam politik dan bagimana menggunakan duit untuk mengabui dan mempengaruhi rakyat bawahan.

Satu kes yang menarik ialah tindakan kerajaan Johor meruntuhkan rumah rakyat dan rumah setinggan yang banyak dilindungi oleh tokoh politik veteren yang telah meninggal dunia. Contohnya Taman dan Kampung Rahmat di Tampoi Johor Bahru, telah dirobohkan dengan pandangan negatif rakyat bawahan. Ini adalah kerana pembangunan yang diuar-uarkan kerajaan atau pemaju bukan untuk mereka tetapi untuk orang yang berada. Mereka nampak bahawa kerajaan tidak mementingkan mereka yang berpendapatan rendah kerana kerajaan sangat berbangga dengan pembangunan. Pembangunan bererti duit dan mereka tahu kerajaan bererti tokoh-tokoh politik UMNO, dapat bahagian masing-masing melalui pelbagai cara atas nama syarikat-syarikat, kontraktor-kontraktor mahupun yayasan.

Kerajaan Johor sepatutnya risau kerana para setingan di Johor bukan orang luar tetapi adalah anak Johor sendiri. Sekiranya rakyat Johor mengetahuinya dan ada golongan pejuang untuk membela nasib mereka, tentu sekali keadaan politik UMNO di Johor akan bergoyang. Pengalaman anak Johor menerajui pembelaan nasib penghuni Felda sepatutnya dijadikan iktibar. PAS berjaya menjadikannya sebagai isu nasional dan tidak mustahil kealpaan kepimpinan Johor untuk membela rakyat marhaen akan mengangkat isu ini ke seluruh negara. Lebih-lebih lagi pekebun-pekebun kecil atau rakyat Johor yang memiliki tanah pertanian yang kurang 4 ekar telah mula berasa bebanan inflasi dan diabaikan. Ada pula yang sudah berani mendedahkan bahawa subsidi milik kebun mereka tidak sampai semuanya kerana hilang di tangan pengurusan. Penguran, termasuk JKK kampung dan pejabat yang menguruskan hal kebun mereka dan juga UMNO di kawasan mereka.

Generasi tua Johor berani memanjangkan berita-berita sensasi tanpa usul periksa kerana terlalu taksub kepada UMNO. Mereka membuta tuli memburuk-burukkan pembangkang dalam isu pembakaran surau, ceramah bukan islam dalam masjid, isu baling botol arak, isu babi dalam masjid, isu kepala lembu, isu pembakaran gereja,isu curi pasir dan pelbagai isu yang kelihatan seperti berpunca dari parti pembangkang. Apabila akhirnya rakyat mengetahui bahawa semua itu adalah kerja pendakyah yang dimainkan oleh penyokong parti UMNO atau kerajaan, mereka buat tidak peduli dan terus memburuk-burukkan pembangkang . Tetapi mereka tidak perasan bahawa generasi muda lebih bermaklumat dari mereka kerana generasi muda Johor tidak bergantung 100% kepada media perdana yang dianggap sentiasa mengaburi dan mempengaruhi rakyat untuk kepentingan politik kerajaan.

Veteren Johor juga tidak terfikir bahawa generasi muda mereka telah tidak menganggap kerajaan ialah UMNO. Lebih-lebih lagi telah banyak kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang dan dasar pentadbiran mereka adalah lebih baik dari BN walau pun dalam suasana disekat dan diperlekehkan oleh kerajaan pusat yang diterajui oleh UMNO-BN. Generasi muda sangat yakin jika pembangkang mempunyai kemudahan kewangan dan mendapat kerjasama yang baik tanpa sabotaj kerajaan pusat, sudah pasti rakyat yang kurang bernasib baik akan lebih terbela. Mereka sangat berharap kepimpinan BN memfokuskan isu penting ini tetapi kelihatan terabai kecuali asyik sibuk merebut bahagian kek diri untuk mereka sendiri seolah-olah mereka akan tersungkur dan tidak berpeluang lagi untuk mengumpul kekayaan ketika sedang berkuasa.

Apabila ditanya apakah mereka yakin bahawa pembangkang akan menguasai Johor. Mereka secara terbuka mengatakan bahawa mereka masih menyayangi UMNO dan tidak yakin pembangkang akan berjaya menawan Johor. Mereka sangat yakin bahawa kebaikan yang ditunjukkan pembangkang sangat disenangi ramai dan mereka percaya pembangkang hanya akan berjaya di Johor jika mereka menyertai parti pembangkang. Ini adalah kerana barisan kepimpinan pembangkang di Johor masih belum terdiri dari ahli teknikal dan profesional. Tetapi mereka juga yakin jika generasi muda Johor yang telah mula meluat dengan aktivis UMNO ramai-ramai memberikan undi mereka kepada barisan pembangkang seperti yang berlaku di Muar maka tidak mustahil UMNO Johor akan hanya tinggal dalam lipatan sejarah.

Ini dilihat dari kejayaan Johor mengeluarkan angkatan muda berpendidikan sains Islam ketika ini. Dan jika dibandingkan dengan dahulu, dimana tokoh-tokoh politik Johor mempunyai pengetahuan agama kerana dasar pendidikan agama Johor yang terkenal itu, maka tidak mustahil Johor akan membekalkan para pemimpin yang Islamik dan profesional di masa akan datang. Ironinya mungkin mereka tidak menyebelahi atau berpihak kepada UMNO jika UMNO berterusan memperlekeh dan hanya menggunakan agama untuk politik UMNO sebagaimana yang diamalkan ketika ini.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Blog Tun Sheikh
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere