Perhimpunan Melayu 2011 Yang Syok Sendiri
Perhimpunan Agong UMNO 2011 dari 29 November hingga 3 Disember telah pun tamat. Tidak dinafikan bahawa isu-isu utama adalah mengenai kepentingan Melayu. Isu ketuanan Melayu dijerit dengan lantang kerana hendak memberi kesadaran kepada perwakilan yang hadir. Isu atau cerita hak dan warisan Melayu seolah-olah berulang setiap tahun dan tiada isu baru. Hakikat terjadi sedemikian adalah kerana mereka berasa angkuh dalam nikmat kekuasaan tanpa menyedari tentang kuasa dan ketuanan Melayu dan semangat perjuangan untuk melestarikan ketuanan Melayu itu juga diperjuangkan oleh orang lain atau parti-parti lain. Mereka bergempak gempita dengan sombong dan angkuh menunjukkan kehebatan UMNO memimpin Negara. Sebenarnya, jauh disudut hati mereka sudah terasa malah yakin kuasa Melayu yang diterajui dan dinikmati mereka akan hilang jua pada suatu hari nanti.
Dalam perhimpunan UMNO 2011, mereka seperti biasa terlalu menekan soal hak Melayu seolah-olah tiada parti lain yang sama memperjuangkannya. Mereka memperlekeh parti Melayu lain kerana yang memegang tampuk kuasa di peringkat Negara ialah UMNO. Kuasa dan tempuh kuasa yang telah melebihi separuh abad juga telah membuat UMNO begitu angkuh sehingga terlupa bahawa segala isu yang dibentangkan dalam perhimpunan itu diikuti oleh sekalian rakyat pelbagai kaum. UMNO terlupa bahawa media yang digunakannya bukanlah miliknya tetapi rakyat yang terdiri dari pelbagai suku, bahasa dan berlainan fahaman fikiran. Kelupaan UMNO untuk mengimbangkan status perhimpunan parti itu sebagai parti yang bukan milik semua telah membongkar rahsia dan kegelojohan serta kerakusan cita-cita dan perjuangan mereka terhadap bangsa Melayu. Lebih parah lagi apabila pemimpin tertinggi UMNO bercakap dan mengeluarkan pandangan mengenai Melayu dalam perspektif yang sempit. Pada hal pada waktu yang sama, mengaku sebagai pemimpin Negara. Maka pandangan dan pemikiran mereka diterima sebagai milik semua tanpa menghadkan keterbatasannya untuk ahli UMNO sahaja.
Sehubungan itu pandangan malah prinsip mereka kelihatan begitu kerdil dan tidak bermutu kerana tidak mempunyai nilai yang sesuai untuk semua rakyat. Kesilapan ini tidak disadari oleh pemimpin UMNO termasuk PM dan TPM kerana diselaputi bayang-bayang kekalahan dan penolakan rakyat kepada diri mereka. Masa depan Negara kelihatan gelap kerana wawasan mereka tidak bermutu dan bernilai sejagat kecuali hanya khusus untuk Melayu sahaja. Melayu itu pula telah dihadkan sendiri oleh UMNO sebagaimana diamalkan oleh mereka. Melayu tidak meliputi semua Melayu kecuali ahli UMNO sahaja. Maka segala perjuangan dan keistimewaan kelihatan untuk ahli UMNO sahaja dan gambaran bentuk penyelewengan kelihatan begitu nyata dan jelas.
Jika semua rakyat yang mendengar coba menyesuaikan diri dan membayangkan diri sebagai ahli UMNO dan Melayu, maka akan terasa isu dan mesej utama bukanlah kepentingan Melayu atau ketuanan Melayu tetapi propaganda dan usaha para pemimpin Melayu untuk terus berkuasa menjaga kepentingan pribadi dan untuk memastikan tembolok mereka terus penuh dengan harta dan wang ringgit yang boleh diperolehi secara mudah dari hasil usaha yang sedikit. Asalkan bijak melakukan penyelewengan dan menyembunyikan aktiviti rasuah, mereka akan berjaya.
Sebenarnya, bukan hanya Melayu UMNO sahaja yang yakin mereka adalah berkemampuan memimpin Negara, tetapi semua rakyat jika mereka hentikan budaya pecah amanah dan rasuah dengan serta merta. Kini rakyat sadar jika budaya rasuah tidak diamalkan oleh Melayu UMNO sejak Negara merdeka, tentu sekali keadaan dan kemajuan dalam pelbagai bidang di Negara ini adalah lebih baik dan hebat dan dapat dinikmati oleh rakyat semua peringkat. Jurang kemiskinan tidak seperti sekarang dan kadar rakyat Malaysia yang gila atau tidak siuman tidaklah akan terus meningkat seperti sekarang kerana hidup penuh dengan tekanan.
Perhimpunan UMNO 2011 tidak menyentuh isu-isu ketelusan dan pecah amanah kerana mereka sudah membudayakannya sejak sekian lama dan kelihatan mustahil memperbetulkannya. Malah PM dan TPM seolah-olah putus-asa dan tidak berkeyakinan boleh memperbaikinya. Sebaliknya, mereka seperti merestui budaya rasuah dan penyelewengan seolah-olah terpaksa kerana untuk menyelamatkan diri sendiri yang telah lama bergelumang dengannya.
Berikutan daripada nounsa atau suasana dalam perhimpunan ini yang tidak menyemarakkan isu-isu besar yang sedang ditanggung oleh rakyat, maka UMNO kelihatan tidak berwibawa lagi kecuali menampakkan wajah-wajah perakus dan perampas hak rakyat yang dilindungi undang-undang ciptaan mereka. Semangat Melayu yang dilaungkan mereka pula kelihatan seperti manusia Melayu yang ganas dan samseng tidak tentu pasal. Perwakilan yang datang kelihatan seperti kumpulan manusia bebal yang telah dicucuk hidung oleh pemimpin yang jahat tetapi bersembunyi disebalik suapan dan bibir manis. Perwakilan seperti wakil kumpulan orang bodoh kerana tiada idea atau takut bersuara menongkah arus meskipun isu itu adalah benar dan mustahak. Inilah akibat dari termakan budi setelah ditanggung segalanya ketika di kawasan atau di kampong masing-masing sehingga menginap di hotel di Ibu Kota untuk hadir ke perhimpunan. Perjuangan Melayu yang dibawa mereka sebenarnya sedang menuju kepada kehancuran.
Pemimpin yang rasuah dilindungi dan perwakilan tidak ambil kisah. Sepatutnya mereka membuang mereka dengan menuntut mereka yang rasuh dan jahat agar dipecat atau mengundur diri. Mereka mesti segera bertindak dan berkorban demi kepentingan Melayu yang berwawasan dengan membersihkan segera nama UMNO Melayu secara tegas dan kolektif pada waktu yang tinggal sedikit ini. Tetapi jalan yang mereka ambil ialah seolah-olah menyemai dan membajai samseng Melayu untuk menakut-nakutkan rakyat tanpa sadar tindakan ini akan lebih menjauhkan rakyat dari Melayu UMNO. Mesej presiden dan timbalan presiden yang berbau perkauman adalah amat janggal kerana didengari serata Negara malah ke pelusuk dunia. Padahal mereka adalah pemimpin tertinggi Negara yang berbilang kaum. Hal ini sebenarnya begitu mencemaskan dan menjadi dendam kesumat kepada rakyat yang sedang berjuang menuntut ketelusan, amanah, berintergriti serta mengharapkan nilai-nilai terpuji sejagat diutamakan.
Hai bangsa Malaysia, bangunlah dari lena tidurmu yang hidup dalam kebodohan kerana diperbodohkan oleh pemimpin yang bejat dan jalang. Tidak kiralah dari parti mana atau pertubuhan apa yang kita dokong hendaklah kita perjuangkan yang hak dan kebenaran, baik dan berkebajikan. Biar kita bodoh kerana jahil dan bangun dari pelajaran hasil kesilapan. Tetapi jangan kita terus hidup dicucuk hidung oleh pemimpin yang perakus dan mengamalkan budaya hidup yang disenangi syaitan.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara