UCAPAN TERIMA KASIH DAN MEMOHON KERJASAMA CATATAN HAKMILIK INTELEKTUAL

0 comments


UCAPAN TERIMA KASIH DAN MEMOHON KERJASAMA CATATAN HAKMILIK INTELEKTUAL

Tun Sheikh mengucapkan berbanyak malah ribuan terima kasih kepada pengunjung dan pembaca blog ini. Tun Sheikh sangat berharap kepada para pengunjung dan pembaca terutamanya yang memiliki blog, ‘facebook’ dan sebagainya termasuk para penyelidik atau sesiapa sahaja yang ingin mengambil sumber atau fakta dan bahan dalam Blog Tun Sheikh hendaklah mencatatan sumber tuan-tuan dan kreditkan Blog Tun Sheikh sebagai sumbernya.

Tun Sheikh memang membenarkan tuan-tuan mengambil sumber dan menggunakan fakta hasil dari penulisan Tun Sheikh. Tetapi tolonglah memberi sedikit kredit tanda kebertanggungjawaban. Ini adalah kerana Tun Sheikh menulis berdasarkan fakta,  kenyataan, pengalaman, kajian dan pengolahan serta biasa membuat analisis dalam segala bidang yang hendak Tun Sheikh tuliskan. Tun Sheikh tidak pernah ‘mengcopy & paste’ bulat-bulat milik penulis atau pengarang atau tokoh-tokoh yang menerbitkan penulisan hasil daripada bidang yang diceburi tanpa mengkreditkan atau mencatatkan sumber yang Tun Sheikh ambil.

 Sebenarnya,  ini adalah etika kepada semua penulis dan pengkaji tidak kira apa bidang yang diceburi. Hal ini mesti dipatuhi. Adalah tidak bertanggungjawab dan tidak bermaruah jika hasil penulisan atau dapatan orang lain diambil sebagai milik sendiri. Palagiat atau orang yang mencuri idea, hasil penulisan dan sebagainya terutama dalam bidang penerbitan,  karya dan kajian, adalah dianggap hina dan tidak beretika. Hasil penulisan dan kajian adalah khazanah intelektual yang tidak ternilai. Tun Sheikh tidak pernah terlupa menukilkan sumber sama ada tajuk buku atau rencana   atau nama penulis yang menghasilkannya atau menerbitkannya apabila mengambil fakta. Pengolahan fakta adalah hak penulis tanpa perlu mencatatkan rujukan sumber. Tetapi jika tidak diolah lalu terus menciplak ayat, perenggan atau disunting tanpa mengubah dan mengolah ayat yang asal dan tidak mencatatkan sumber rujukan, ini adalah satu perbuatan yang tidak menyenangkan sesiapa dalam bidang penulisan ini.

Blog Tun Sheikh ini adalah kendalian Tun Sheikh sendiri selaku ‘free lance’ yang neutral dalam bidang ini. Tun Sheikh telah menulis sejak zaman persekolahan dan dalam pelbagai wadah tanpa cita-cita untuk menjadi popular dan ternama. Tujuan dan objektif Tun Sheikh adalah untuk menyampaikan apa yang difikirkan baik untuk manfaat bersama dengan harapan menjadi sumbangan dan amal ibadah.  Pelbagai nama pena dan samaran Tun Sheikh gunakan dan tidak pernah terikat dengan apa-apa kontrak penulisan dan penerbitan  dan jarang sekali Tun Sheikh mengambil bayaran upah hasil dari penulisan dan kajian kerana Tun Sheikh meniatkan sebagai amal jariah. Biasanya jika ada bayaran hasil dari penulisan,  Tun Sheikh minta penerbit memasukkan atau ‘divert’ ke tabung amal.

Walau bagaimanapun, Tun Sheikh kena peka tentang hal hakmilik intelektual ini kerana terlalu banyak fitnah terjadi pada zaman ini. Selain itu,  Tun Sheikh sendiri sering tidak selesa. Ini adalah kerana terasa berat dan payah ketika menghasilkannya apabila berpengalaman dikejar-kejar, diberi amaran, diperingatkan kuasa dan ugutan pihak berwenang sama ada dari sahabat handai, pertubuhan mahupun jabatan atau ajensi kerajaan dan sebagainya.

 Tun Sheikh bersyukur kerana keluarga besar Tun Sheikh dari kalangan kerabat , tokoh-tokoh politik, polis dan tentera serta orang awam biasa selalu memberi ‘first hand news’ dan sering menasihatkan Tun Sheikh apa dan bila perlu dibuat atau ditulis atau berehat sementara supaya tidak teraniaya atau dianiaya oleh pihak-pihak berkepentingan dan pihak-pihak tertentu termasuk pihak yang berkuasa.

Blog Tun Sheikh telah dimulakan pada tahun 2008 sehingga kini dengan pelbagai wadah seperti sejarah, kontemporari, nostalgia, falsafah pemikiran, minda politik, puisi sastera, ajaran hidup, irama kehidupan dan dimensi . Blog ini adalah hasil penulisan dan pengolahan sendiri dan tulen tanpa iklan dan sebagainya kerana tujuannya adalah untuk manfaat kebajikan kemanusiaan. Bukan bertujuan mencari keuntungan kewangan atau mencari dana.

Disebabkan pelbagai keperitan yang Tun Sheikh alami,  harapan Tun Sheikh,  apa-apa fakta yang diambil tanpa pengolahan harap dicatatkan Blog Tun Sheikh sebagai sumbernya. Tun Sheikh rasa terkilan dan kesal apabila mendapati banyak hasil penulisan Tun Sheikh diambil dan dijadikan perisian blog dan FB pribadi tanpa mengkreditkan sumber asal seolah-olah tulisan itu mereka yang menulisnya.

 Tun Sheikh juga meminta maaf kerana akhir-akhir ini terdapat banyak  perkataan sindir dan kias dalam blog Tun Sheikh. Ini bagi   mengelakkan fitnah manusia dan yang berniat jahat. In Sha Allah meskipun begitu, Tun Sheikh tetap berusaha menjaga otentik fakta sedaya mungkin. Selamat membaca, memahami dan manfaatkannya.

Tun Sheikh Engku Bendahara
Pesta Buku Serdang 1.5.2016
 
Copyright 2009 Blog Tun Sheikh
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere