Ketua Yang Sedar Diri Kebaikannya Diteladani

0 comments
Kemajuan Melayu Harus Diteladani & Sikap PHD Mesti Disingkirkan

Sudah sebulan Tun Sheikh sibuk membantu membuat penyelidikan sejarah untuk sebuah agensi berikutan idea dan inisiatif seorang menteri yang sangat mementingkan sejarah dan budaya. Jika tiada halangan projek ini akan berterusan sehingga Disember 2010 dan dapatlah upah sara hidup yang lumayan juga dan waktu serta pekerjaan yang halal dan penuh keberkatan. Pekerjaan ini juga telah memaksa Tun Sheikh berulang-alik di sebuah jabatan yang menguruskan rekod kerajaan di Jalan Duta dan menemubual bekas tokoh-tokoh birokrasi atau pentadbir negara. Yang pasti mereka telah dianugerah dengan gelaran dato' dan tan sri oleh kerajaan sebagai mengenang jasa yang disumbangkan ketika mereka dalam perkhidmatan dahulu. Tun Sheikh berasa amat seronok bertemu dengan mereka kerana bertambah sumber pandangan dan pendapat yang boleh dicerna dari mereka. Insyaallah jika ada kesempatan akan Tun Sheikh rakamkan idea dan pandangan mereka di blog ini untuk tatapan pembaca.

Pada hari Selasa lepas 10 Ogos setelah penat membuat penyelidikan Tun Sheikh telah keluar pergi ke kafetaria sekitar jam 2.15 petang kerana waktu itu semua pegawai dan kakitangan telah masuk menyambung tugas dan kafe agak tenang. Ketika Tun Sheikh sedang menjamu selera tidak sangka seorang kenalan lama sebaya Tun Sheikh menepuk bahu dari belakang dan bertanya khabar. Tun Sheikh baik-baik saja manakala dia pula sudah menjadi orang besar di jabatan itu. Walaupun Tun Sheikh sebenarnya telah hampir habis menjamu selera atau makan tengahari tetapi terpaksalah menenmaninya. Lagipun dia kawan lama dan berpangkat di sini. Tidak wajar jika meninggalkan dia makan keseorangan.

Lama juga kami bersembang dan dia begitu mesra. Dia berasal dari Kuala Lumpur dari kawasan setingan. Tun Sheikh mengenalinya sejak bujang lagi. Tidak banyak berubah walau telah berpangkat tinggi. Masih merendah diri dan tidak memilih kawan berdasarkan pangkat atau pelajaran. Itulah kelebihannya dan dia disukai ramai. Seorang yang sungguh bijak dan tinggi budi bicara dan sangat bertolerensi. Beliau tidak sedikit pun membawa pengaruh atau menggambarkan pengaruh peradababan kehidupan setingan yang banyak kekurangan dalam perwatakan dirinya meskipun beliau membesar di kawasan itu. Dan yang lebih unik pada keperibadian beliau ialah kepekaannya terhadap nilai-nilai agama dan kehidupan sosial.

Sebenarnya dia adalah seorang yang memiliki akal yang genius. Jika didengar dan mengikut realitinya orang yang membesar seperti dirinya iaitu yang membesar di kawasan setingan yang teruk di Kuala Lumpur ini, tiada yang berjaya seperti dia. Sedikit pun budaya negatif penghidupan setingan tiada malah tidak langsung tergambar pada dirinya meskipun beliau berpengalaman mengharunginya. Namun begitu beliau sangat setuju bahawa penghidupan di kawasan setingan sangat banyak masalah dan terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran.Beliau sungguh bersyukur kerana Tuhan telah memelihara dirinya dan yang sangat penting kerana beliau berasa Tuhan telah mengurniakannya akal yang baik. Dia mengakui pengalaman hidup di kawasan setingan adalah penuh dengan keserabutan. Tetapi beliau bersyukur kerana akal yang baik telah menyebabkan beliau berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran meskipun pergaulannya sama-sama sahabat sebaya tidak ada batasannya.

Beliau bercerita bahawa dirinya begitu teruja ketika membesar di kawasan setingan. Sama-sama nakal dengan mandi lombong, melepak dan membuat kerja-kerja yang tidak berfaedah kecuali hanya untuk suka-suka sebagai satu eskapism terhadap kehidupan harian.Beliau amat beryukur walau pun beliau terpengaruh dengan anak-anak muda lain yang tidak berminat untuk membaca dan belajar tetapi beliau dikurniakan dengan ingatan yang baik dan dapat menjawab dengan baik di dalam setiap kali peperiksaan.Bila ditanya mungkinkah ada peluang beliau menjadi ketua pengarah... dia dengan rendah diri mengatakan bahawa jika mengikut kekananan dan usianya yang baru 50 itu maka peluang memang ada tetapi biarlah keadaan dan ketetapan Tuhan yang menentukannya sebab beliau tidak tergila-gila atau mengangan-angankan jawatan itu.Beliau juga menceritakan suasana dan aura di jabatannya agak rencam sebaik saja ketua pengarah mengumumkan tidak akan menyambung perkhidmatan dalam perhimpunan bulanan jabatan. Banyak juga yang suka dan banyak juga yang berduka. Yang suka ialah mereka yang akan naik pangkat. Bertambah cerah air muka mereka tetapi ada juga yang jalannya bertambah mendada.

Sambil sembang sambil makan dan makan sambil bersembang hinggalah hampir habis tetapi baru sahaja kami berkira-kira untuk beredar datang pula dato' ketua pengarah menyertai kami. Tun Sheikh terpaksa menunggu kerana itulah bahasanya. Dia juga mengenali Tun Sheikh dan bertanya khabar. Dialah orangnya yang pernah Tun Sheikh ceritakan di blog ini ketika Tun Sheikh bertemunya di Masjid Wilayah Persekutuan. Orang Yop Peraklah... Kerana tulisan Tun Sheikh ikhlas maka agaknya Tuhan ketemukan dengan lebih dekat lagi sampai semua tahi lalat yang menyerikan wajahnya juga dapat Tun Sheikh perhatikan. Tahi lalat juga ada memperjelaskan firasat tapi biarlah hati Tun Sheikh sahaja yang tersenyum sendiri. Apakah tidaknya kalau dia makan semeja dan jaraknya terlalu dekat. Mulanya malu juga Tun Sheikh sebab maklumlah dia adalah seorang dato' yang masih menyumbang perkhidmatan. Masih relevan kata orang.Sangat mesra juga hingga tidak sedar terpacul perkataan dari mulut gatal Tun Sheikh ini . Padahal sebelum itu Tun Sheikh hanya berdiam dan senyum saja. Dia saja yang banyak berbicara kerana dia orang nombor satu di situ.

Nasib baik pertanyaan Tun Sheikh seolah-olah dalam bentuk gurauan dan dia dapat menerimanya. Jika tidak malu juga Tun Sheikh tetapi ini adalah kebiasaan orang yang berhemah tinggi kerana dia tidak menjadikan pangkat dan gelaran sebagai batas dan mengongkong diri dari bermesra dalam perhubungan atau ketika bersosial. Walaupun terkeluar pertanyaan Tun Sheikh dalam bentuk gurauan, dia tetap menjawab secara spontan sebagai petunjuk ikhlas darinya juga. Tun Sheikh tanya tidak kekokkah makan di kafetaria bersama orang bawahan sampai pangkat terendah pun ada yang jarang dilakukan oleh ketua pengarah lain lebih-lebih bergelar dato'? Selamba saja dia menjawab, ini lah saya dari dulu sampai sekarang macam biasa. Kamu saja yang memandang lain.Saya sudah sampai ke penghujung dan memegang jawatan tertinggi dan saya bercadang tidak menyambung kontrak perkhidmatan walau pun diminta oleh menteri kerana saya rasa adalah lebih baik saya berundur diketika sedang berada di puncak dalam situasi yang berjaya dan disukai ramai. Jika berundur dalam situasi kemerosotan, silap-silap akan banyak orang memfitnah dan mengambil kesempatan menyalahkan diri saya. Tergamam bila mendengar dia berkata begitu sambil gelak-gelak.

Dia benar-benar seorang yang happy go lucky dan happy ending. Macam dia tahu atau baca pulak apa yang Tun Sheikh tulis dalam blog. Padahal beribu blog dan Tun Sheikh tidak fikir dia akan baca atau ada masa untuk membaca blog Tun Sheikh. Lagi pun bukannya dia tahu Tun Sheikh ada blog. Tapi begitulah orang yang berbudi pekerti tinggi. Apa yang dibuat dan diperkatakan seperti sudah diketahuinya seolah-olah mereka sudah mengenali kita atau apa saja pekerjaan yang dilaksanakannya. Dia meneruskan sembang-sembangnya dengan mengatakan beliau pernah dianiaya atau dibuat bos menahan pangkat dia tetapi dia bersyukur dan tidak berdendam kerana ketika itu beliau masih muda dan yakin pada suatu hari beliau juga berpeluang menjadi ketua pengarah. Kini masanya sudah sampai dan beliau telah sampai pula ke puncaknya. Beliau pesan kepada Tun Sheikh dan sahabat Tun Sheikh tadi mudah-mudahan jasanya akan terus dikenang dan diteladani dan sikap PHD Melayu hendaklah dibuang jauh-jauh. Kemudian kami bersalaman dan masing-masing bergegas untuk menyambung kerja manakala dato' terus menaiki kereta yang telah menunggunya untuk hadiri mesyuarat dengan menteri di kementerian.

Dalam benak dan sanubari Tun Sheikh, terfikir malah terasa alangkah manisnya di hari tua atau ketika sedang pencen sementara menanti ajal, kerana sudah tidak kuat untuk berusaha dan bekerja, kita terkenang semula hari-hari manis muda kita yang banyak tergambar dengan hal-hal atau perbuatan yang baik dan jasa-jasa yang murni daripada kenangan hitam hasil dari PHD.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
 
Copyright 2009 Blog Tun Sheikh
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere