Sumpah Laknat Yang Mengerunkan

Sumpah Yang Mengerunkan Jadi Mainan UMNO

Tunggulah Bahawa Bencana Yang Dijanjikan Akan Sampai


Satu bukti kesombongan besar UMNO ialah tindakan Datuk Trio UMNO mengemukakan pertuduhan seks dilakukan oleh DSAI melalui rakaman video. Semua orang tahu bahawa mereka adalah tokoh desperado dalam politik yang terlibat dengan wang jutaan ringgit. Mereka sebenarnya masih kaya dan masih bergelar jutawan tetapi tindakan mereka dipercayai kerana desakan dan dendam. Mungkin wang jutaan ringgit yang dimiliki, bukan 100% milik penuh mereka. Kesedaran rakyat melalui penerangan PR bahawa BN menyeleweng dalam segala agendanya yang membabitkan wang negara dan hanya mengutamakan kroni mengaut dan mengsonglap duit rakyat amat mencemaskan mereka. DSAI pula berjaya membuktikan kes-kes penyelewengan BN kerana beliau sendiri pernah berada di dalam bersama mereka yang buas. Beliau dianggap sebagai batu penghalang kerakusan mereka dan konspirasi penyingkiran DSAI pun direncanakan.

Akhir-akhir ini, hujah dan penjelasan PR yang dianggap merapu disahkan betul melalui laporan tahunan parlimen Jabatan Audit Negara yang mengamalkan disiplin ketelusan. Orang juga tahu, keberanian Datuk Trio kerana ada pendokong dan ketua pemikir genius yang kebal di belakang mereka. Ada orang mengesyaki Tun Dr. Mahathir dan Tan Sri Sanusi Joned yang telah berjaya menyingkirkan Pak Lah kerana tidak mengikut MOU mereka. Kini ada juga desas-desus bahawa PM juga tidak disenangi kerana sangat terikat dengan APCO dan wanita pertama. Pandangan mantan PM Tun Dr Mahathir dianggap masih relevan dan rasional oleh sesetengah ahli UMNO dan orang Melayu walaupun Tun Dr Mahathir pernah juga dimalukan. Ini adalah kerana beliau dan klik-klik setianya tidak suka PM sekarang terikat secara lansung dengan agensi Yahudi dan dipengaruhi isteri.

Isu Datuk T dilihat oleh para ulamak sebagai penghinaan agama yang dilakukan oleh UMNO. Ini adalah kerana mereka tidak menghormati perundangan Islam yang mereka sendiri kuatkuasakan. Tanpa sedar, syariat atau perundangan Islam kelihatan begitu daif sekali, tidak berkualiti dan kuasanya tunduk dibawah kuasa perundangan ciptaan manusia iaitu undang-undang jenayah dan sivil sekular. Sebenarnya, perundangan syariat yang mereka kuatkuasakan itu tidak menyeluruh malah ada yang telah diubahsuai mengikut pemikiran mereka.

UMNO yang yakin mempunyai kuasa dan pengaruh kuat dalam politik, ekonomi dan kemajuan pembangunan fizikal kelihatan tidak meluhurkan undang-undang yang diciptanya kerana yakin berkuasa meminda atau terasa kebal. Mereka yakin undang-undang itu boleh diubah mengikut kehendak mereka. Maka salah satu sebab mereka menolak perundangan Islam seperti hudud dan qisas kerana undang-undang atau hukum syariat telah termaktub dengan jelas mengikut firman Allah dan tidak boleh diubah-ubah.

Kes video seks DSAI oleh Datuk T UMNO, kini sengaja diperbesar dan menjadi berita perdana saban hari. Kesahihannya pada hakikat tujuan dan matlamat mereka bukan agenda utama. Apa yang penting, segala lapisan rakyat disuapkan dengan mesej dan imej kebobrokan PR supaya rakyat tiada pilihan lain untuk memilih kecuali BN. Tanpa mereka sedar atau mungkin sahaja mereka tidak mempedulikan kesensitifan Islam, mereka telah mengundang angin dan bayang-bayang penghinaan kepada diri mereka sendiri. Islam pula telah dilihat oleh rakyat selama ini dipersok di satu sudut. UMNO dan BN jelas kelihatan tidak menghormati kesucian Islam dan selama ini mereka hanya menonjolkan watak pejuang memperguna dan memperalatkan Islam untuk kepentingan diri dan politik. Rakyat segala lapisan tidak kira yang beragama Islam atau bukan Islam tertipu dan dikelirukan oleh UMNO dan BN seperti dilaporkan oleh bekas presiden MCA.

Apabila parti-parti dan rakyat bukan Islam mula berjinak dan berminat dengan falsafah Islam yang bernilai sejagat untuk penghidupan dan kemanusiaan, UMNO dan BN seperti cacing kepanasan dan berusaha gigih menguar-uarkan retorik aktiviti dan program nasional dengan tujuan melarikan tumpuan rakyat supaya tidak mendekati dan memahami kesyumulan Islam. Mereka sungguh yakin jika rakyat berbilang kaum dan agama mengenali Islam, maka kedudukan dan kuasa politik partisan mereka akan terkubur. Mereka juga sangat yakin, dengan terus berusaha mengelirukan disamping memberi hiburan kepada rakyat dalam segala hal kecuali agama atau terhadap kesyumulan Islam yang tulen, mereka akan berjaya mengekalkan kuasa sedia ada.

Dari pengamatan para pakar dan penganalisa politik, sebenarnya UMNO dan BN tidak mengutamakan agama mahupun Melayu. Mereka sebenarnya sedang mempertahankan kuasa, kepentingan dan keistimewaan peribadi yang mereka nikmati sejak kemerdekaan dengan menggunakan isu bangsa dan agama. Ini adalah kelihatan apabila ditinjau dari segi kepentingan dan keperluan rakyat yang pelbagai kaum dan agama. Kekayaan negara tidak diagihkan untuk kepentingan semua rakyat kecuali kroni-kroni dan orang yang berdekatan dengan mereka. Di satu sudut lain, rakyat pula menjadi sumber kewangan kepada perancangan pembangunan mereka. Mereka bijak mengeksploit rakyat. Hal ini jelas kelihatan apabila mereka berterusan bersetuju mengikut permintaan pelabur menaikan harga barang keperluan dan sentiasa bersungut terhadap penampungan subsidi.

Sepintas lalu, jika kita mencongak kehebatan dan keupayaan pemimpin UMNO dan BN semua peringkat dalam hal ekonomi, harta dan kos penyaraan hidup mereka, kita akan mendapati dan menganggap mereka seperti orang yang berjaya. Mereka mampu menanggung kos keperluan hidup bukan sahaja untuk diri mereka tetapi juga sudah tersedia untuk anak dan cucu mereka. Pada waktu yang sama kita hanya berpeluang dan berupaya untuk mencari sedikit penghidupan untuk diri kita sendiri dan terpaksa meletakkan nasib anak cucu kita kepada ihsan kepimpinan negara yang diterajui mereka. Maka terjadilah kita sebagai sebuah bangsa yang dibayangi mentaliti perhambaan kerana keterikatan itu. Haruslah kita ingat, bahawa kemajuan yang dibawa mereka seiring dengan kesombongan akan mengundang bala bencana. Bala bencana dan malapetaka sama ada dari Tuhan mahupun hasil akibat tangan manusia sendiri. Ini akan berlaku apabila hal-hal agama dipersendakan seperti isu sumpah laknat dan isu seks yang dipermain dan diperbesar-besarkan dan menjadi berita mahupun budaya arus perdana politik negara kita.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Blog Tun Sheikh
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere