Perhimpunan Melayu 2011 Yang Syok Sendiri

0 comments

Perhimpunan Melayu 2011 Yang Syok Sendiri

Perhimpunan Agong UMNO 2011 dari 29 November hingga 3 Disember telah pun tamat. Tidak dinafikan bahawa isu-isu utama adalah mengenai kepentingan Melayu. Isu ketuanan Melayu dijerit dengan lantang kerana hendak memberi kesadaran kepada perwakilan yang hadir. Isu atau cerita hak dan warisan Melayu seolah-olah berulang setiap tahun dan tiada isu baru. Hakikat terjadi sedemikian adalah kerana mereka berasa angkuh dalam nikmat kekuasaan tanpa menyedari tentang kuasa dan ketuanan Melayu dan semangat perjuangan untuk melestarikan ketuanan Melayu itu juga diperjuangkan oleh orang lain atau parti-parti lain. Mereka bergempak gempita dengan sombong dan angkuh menunjukkan kehebatan UMNO memimpin Negara. Sebenarnya, jauh disudut hati mereka sudah terasa malah yakin kuasa Melayu yang diterajui dan dinikmati mereka akan hilang jua pada suatu hari nanti.

Dalam perhimpunan UMNO 2011, mereka seperti biasa terlalu menekan soal hak Melayu seolah-olah tiada parti lain yang sama memperjuangkannya. Mereka memperlekeh parti Melayu lain kerana yang memegang tampuk kuasa di peringkat Negara ialah UMNO. Kuasa dan tempuh kuasa yang telah melebihi separuh abad juga telah membuat UMNO begitu angkuh sehingga terlupa bahawa segala isu yang dibentangkan dalam perhimpunan itu diikuti oleh sekalian rakyat pelbagai kaum. UMNO terlupa bahawa media yang digunakannya bukanlah miliknya tetapi rakyat yang terdiri dari pelbagai suku, bahasa dan berlainan fahaman fikiran. Kelupaan UMNO untuk mengimbangkan status perhimpunan parti itu sebagai parti yang bukan milik semua telah membongkar rahsia dan kegelojohan serta kerakusan cita-cita dan perjuangan mereka terhadap bangsa Melayu. Lebih parah lagi apabila pemimpin tertinggi UMNO bercakap dan mengeluarkan pandangan mengenai Melayu dalam perspektif yang sempit. Pada hal pada waktu yang sama, mengaku sebagai pemimpin Negara. Maka pandangan dan pemikiran mereka diterima sebagai milik semua tanpa menghadkan keterbatasannya untuk ahli UMNO sahaja.

Sehubungan itu pandangan malah prinsip mereka kelihatan begitu kerdil dan tidak bermutu kerana tidak mempunyai nilai yang sesuai untuk semua rakyat. Kesilapan ini tidak disadari oleh pemimpin UMNO termasuk PM dan TPM kerana diselaputi bayang-bayang kekalahan dan penolakan rakyat kepada diri mereka. Masa depan Negara kelihatan gelap kerana wawasan mereka tidak bermutu dan bernilai sejagat kecuali hanya khusus untuk Melayu sahaja. Melayu itu pula telah dihadkan sendiri oleh UMNO sebagaimana diamalkan oleh mereka. Melayu tidak meliputi semua Melayu kecuali ahli UMNO sahaja. Maka segala perjuangan dan keistimewaan kelihatan untuk ahli UMNO sahaja dan gambaran bentuk penyelewengan kelihatan begitu nyata dan jelas.

Jika semua rakyat yang mendengar coba menyesuaikan diri dan membayangkan diri sebagai ahli UMNO dan Melayu, maka akan terasa isu dan mesej utama bukanlah kepentingan Melayu atau ketuanan Melayu tetapi propaganda dan usaha para pemimpin Melayu untuk terus berkuasa menjaga kepentingan pribadi dan untuk memastikan tembolok mereka terus penuh dengan harta dan wang ringgit yang boleh diperolehi secara mudah dari hasil usaha yang sedikit. Asalkan bijak melakukan penyelewengan dan menyembunyikan aktiviti rasuah, mereka akan berjaya.

Sebenarnya, bukan hanya Melayu UMNO sahaja yang yakin mereka adalah berkemampuan memimpin Negara, tetapi semua rakyat jika mereka hentikan budaya pecah amanah dan rasuah dengan serta merta. Kini rakyat sadar jika budaya rasuah tidak diamalkan oleh Melayu UMNO sejak Negara merdeka, tentu sekali keadaan dan kemajuan dalam pelbagai bidang di Negara ini adalah lebih baik dan hebat dan dapat dinikmati oleh rakyat semua peringkat. Jurang kemiskinan tidak seperti sekarang dan kadar rakyat Malaysia yang gila atau tidak siuman tidaklah akan terus meningkat seperti sekarang kerana hidup penuh dengan tekanan.

Perhimpunan UMNO 2011 tidak menyentuh isu-isu ketelusan dan pecah amanah kerana mereka sudah membudayakannya sejak sekian lama dan kelihatan mustahil memperbetulkannya. Malah PM dan TPM seolah-olah putus-asa dan tidak berkeyakinan boleh memperbaikinya. Sebaliknya, mereka seperti merestui budaya rasuah dan penyelewengan seolah-olah terpaksa kerana untuk menyelamatkan diri sendiri yang telah lama bergelumang dengannya.

Berikutan daripada nounsa atau suasana dalam perhimpunan ini yang tidak menyemarakkan isu-isu besar yang sedang ditanggung oleh rakyat, maka UMNO kelihatan tidak berwibawa lagi kecuali menampakkan wajah-wajah perakus dan perampas hak rakyat yang dilindungi undang-undang ciptaan mereka. Semangat Melayu yang dilaungkan mereka pula kelihatan seperti manusia Melayu yang ganas dan samseng tidak tentu pasal. Perwakilan yang datang kelihatan seperti kumpulan manusia bebal yang telah dicucuk hidung oleh pemimpin yang jahat tetapi bersembunyi disebalik suapan dan bibir manis. Perwakilan seperti wakil kumpulan orang bodoh kerana tiada idea atau takut bersuara menongkah arus meskipun isu itu adalah benar dan mustahak. Inilah akibat dari termakan budi setelah ditanggung segalanya ketika di kawasan atau di kampong masing-masing sehingga menginap di hotel di Ibu Kota untuk hadir ke perhimpunan. Perjuangan Melayu yang dibawa mereka sebenarnya sedang menuju kepada kehancuran.

Pemimpin yang rasuah dilindungi dan perwakilan tidak ambil kisah. Sepatutnya mereka membuang mereka dengan menuntut mereka yang rasuh dan jahat agar dipecat atau mengundur diri. Mereka mesti segera bertindak dan berkorban demi kepentingan Melayu yang berwawasan dengan membersihkan segera nama UMNO Melayu secara tegas dan kolektif pada waktu yang tinggal sedikit ini. Tetapi jalan yang mereka ambil ialah seolah-olah menyemai dan membajai samseng Melayu untuk menakut-nakutkan rakyat tanpa sadar tindakan ini akan lebih menjauhkan rakyat dari Melayu UMNO. Mesej presiden dan timbalan presiden yang berbau perkauman adalah amat janggal kerana didengari serata Negara malah ke pelusuk dunia. Padahal mereka adalah pemimpin tertinggi Negara yang berbilang kaum. Hal ini sebenarnya begitu mencemaskan dan menjadi dendam kesumat kepada rakyat yang sedang berjuang menuntut ketelusan, amanah, berintergriti serta mengharapkan nilai-nilai terpuji sejagat diutamakan.

Hai bangsa Malaysia, bangunlah dari lena tidurmu yang hidup dalam kebodohan kerana diperbodohkan oleh pemimpin yang bejat dan jalang. Tidak kiralah dari parti mana atau pertubuhan apa yang kita dokong hendaklah kita perjuangkan yang hak dan kebenaran, baik dan berkebajikan. Biar kita bodoh kerana jahil dan bangun dari pelajaran hasil kesilapan. Tetapi jangan kita terus hidup dicucuk hidung oleh pemimpin yang perakus dan mengamalkan budaya hidup yang disenangi syaitan.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Angin Perubahan dan Penguasaan Generasi Muda

0 comments
Perubahan Dan Penguasaan Generasi Muda

Merata Dari Selatan Ke Utara

Sejak pulang dari menziarahi Makam Wali 9 di Pulau Jawa pada bulan Jun lepas, sehingga kini Tun Sheikh rasa masih belum reda atau dapat berehat. Tun Sheikh baru pulang dari Langkawi kerana melancung atau berehat tetapi sebenarnya itu adalah istilahnya sahaja kerana pada hakikatnya Tun Sheikh tidak dapat mengelakkan diri dari melihat, meninjau atau menerima maklumat terutamanya mengenai isu-isu semasa, politik mahupun program kerajaan dan sebagainya. Selepas pulang dari Surabaya, teman Tun Sheikh menjemput Tun Sheikh ke Kedah untuk meninjau perubahan dan keadaan kebajikan yang dinikmati dibawah pemerintahan baru. Jemputan itu bukanlah jemputan rasmi tetapi hanya dari sekelompok sahabat handai dari pelbagai fahaman fikiran yang merupakan kenalan lama yang pernah bekerja sepejabat dengan Tun Sheikh semasa muda-muda dahulu.

Kemudian Tun Sheikh diundang oleh sahabat di Pulau Pinang dengan tujuan yang sama malah sempat Tun Sheikh diperlihatkan rasa bangga mereka terhadap kerajaan Pakatan Rakyat yang dianggap benar-benar mengkotakan janji mereka. Walaupun yang memegang tampuk kerajaan negeri ialah Parti DAP tetapi kepimpinan mereka berusaha mengimplimentasikan corak pemerintah Islam bukan kerana mereka ingin mengambil hati orang Melayu Pulau Pinang yang beragama Islam tetapi kerana mereka yakin terdapat banyak dasar, amalan dan pengajaran mahupun pelajaran yang bernilai tinggi dalam Islam itu sendiri adalah baik dan sesuai untuk dilaksanakan atau diamalkan. Apa yang sangat ketara adalah sikap telus mereka dan dasar menjaga kebersihan kota.

Di Kedah, Tun Sheikh dibawa ke Sungai Petani, Alor Star, Juru, Tikam Batu, Pantai Merdeka, Kuala Muda dan Pendang. Tidak sangka tujuan utama pada asalnya adalah untuk merisik sebuah keluarga di Kedah rupa-rupanya menjadi input melihat suasana penghidupan rakyat Kedah dari pelbagai bidang dan fahaman politik. Ini adalah kerana sejarah latar belakang Tun Sheikh sendiri yang pernah mengikuti atau menjadi ahli berbagai parti dan NGO samada yang berdaftar mahupun tidak berdaftar seperti ABIM dan Al Arqam. Pengalaman memondok dan berguru mempelajari kitab kuning tidak menjadikan Tun Sheikh merasa kekok bergaul dengan sahabat handai dari kumpulan itu. Begitu juga pengalaman bersekolah campur dengan bangsa lain seperti Cina dan India ketika di alam persekolahan itu tidak menjadikan Tun Sheikh berfikiran prejudis. Tetapi apa yang ingin Tun Sheikh perkatakan di sini ialah kelihatan suatu trend menyenangi keadaan politik kerajaan negeri bukan BN yang kelihatan dari pelbagai bangsa.

Di Perak, ketika Tun Sheikh bertandang di Parit, Tapah, Batu Gajah, Ipoh lain pula suasananya. Di Perak keadaan rakyatnya seperti menyimpan rahsia atau menyembunyikan sesuatu. Mereka malas bercerita mengenai politik tetapi sempat bersungut bahawa belum ada perubahan di Perak sejak pentadbiran negeri dirampas BN. Pembangunan seperti biasa dan tiada siapa boleh menafikannya tetapi apa yang dimaksudkan mereka ialah mengenai kebajikan dan ketelusan. Mereka bosan dengan budaya pentadbiran BN yang mementingkan kroni dan terlalu sering menusukkan ke telinga mereka dengan berita dan propaganda politik yang sama seperti dulu. Mereka seperti dipaksakan kerana pihak istana memihak BN dan pengikut fahaman politik lain didiskriminasi atau dilayan seperti mereka bukan rakyat Perak. Mereka menjalani hidup seharian dengan usaha dan ikhtiar sendiri, tidak dapat bergantung harap kepada pemerintah atau kerajaan negeri yang diterajui BN.

Itulah sedikit cerita keadaan di tiga buah negeri itu dan ketika di bulan puasa Tun Sheikh sering berulang alik ke selatan pula iaitu ke Negeri Sembilan dan Melaka kerana ada anak belajar di sana. Dalam kesempatan itu, Tun Sheikh singgah dan menziarah sanak saudara dan kawan-kawan. Di Negeri Sembilan, saudara mara yang berfahaman UMNO atau BN tidak segan silu lagi menceritakan salah tingkah atau isu-isu yang tidak dapat dikecapi bersama oleh mereka. Mereka menuduh pemimpin mereka bolot seorang dan tidak puas atau tamak. Tun Sheikh dengar sahaja kerana sejak dulu Tun Sheikh bersikap neutral dalam berperinsip dan fahaman supaya terbuka dan selesa saudara mara yang ingin mengadu atau bercerita.

Di Pedas, Rembau dan Bahau cerita agak sama. Semua berkisar kepada kelompok dan isu pemuda yang inginkan perubahan tetapi seolah terhalang dengan ugutan atau provokasi kepimpinan dan konco-konconya yang sedang berkuasa miskipun mereka telah terasa pengaruh berkurangan dari hari ke sehari. Ketua Pemuda UMNO seolah-olah kena gari dengan gari getah (istilah mereka) kerana terlalu berhati-hati dan dalam waktu yang sama diserang oleh sekutu sendiri dari dalam UMNO kerana berdendam dan cemburu dengan kuasa dan pengaruhnya sedikit masa dulu.

Di Kuala Pilah dan Sri Menanti sampai ke Tampin, sesuana seperti neutral atau seperti tiada apa yang berlaku kerana tempat-tempat ini dipengaruhi oleh keadaan istana. Dan semua orang tahu bahawa istana memang ada hubungan MOU dengan UMNO dan BN. Meskipun begitu generasi muda mereka terlalu gairah inginkan perubahan terutamanya dalam menangani rasuah dan budaya kroni tetapi mulut mereka kelihatan bungkam kerana hormat kepada adat dan pengaruh istana. Tun Sheikh percaya, mereka akan meledak juga apabila berkesempatan nanti jika mereka terus dibiar dan dijadikan pemerhati saja.

Di Melaka, rakyat masih mengenang jasa Rahim Tambi Chik. Mereka sayang kepadanya tetapi tidak memaafkan perilakunya memperkosa kanak-kanak. Sayang mereka kepada Rahim seperti pepatah mengulum racun, ditelan mati dibuang sayang atau ditelan mati emak dibuang mati bapak. Rahim dianggap menimbun kekayaan dengan memperkasa ekonomi Melaka tetapi pemimpin sekarang mengumpul harta melalui budaya rasuah dan masih tidak serik walau pernah dihukum oleh kepimpinan tertinggi UMNO. Sampai ada ketika orang Melaka sendiri memperli inilah bahana seorang pemimpin yang berasal dari keluarga miskin. Jika telah biasa dengan kekayaan tidaklah seteruk begini.

Boleh dikata bahawa di Melaka sebenarnya tiada harapan lagi untuk mengekalkan kuasa jika UMNO gagal memujuk orang Melayu yang tidak sehaluan lagi ketika ini. Untuk mengharapkan orang Cina yang majoriti di Melaka ketika ini adalah umpama mimpi di siang hari. Orang Melayu Melaka pun selamanya tidak sanggup untuk berkorban lagi kerana banyak harta tergadai kerana ingin memuaskan hati orang lain. Pemimpin UMNO kaya raya denga kroni dan sahabat bukan Melayu mereka.

Di Johor pula, rasanya tidak perlu Tun Sheikh rakamkan disini kerana reformasi yang sedang berlaku adalah reformasi minda generasi baru. Mereka hauskan ketelusan dan kesederhanaan kepimpinan dalam meneroka atau menimbun kekayaan kerana mereka selaku rakyat biasa telah merasa tersepit dengan pelbagai hambaatan dan masalah kehidupan. Tidak mustahil jika pemimpin BN di peringkat pusat tidak berjaya menunjukkan perubahan yang drastik dalam menangani rasuah dan tidak telus dan cermat mengeluarkan hujah-hujah mahupun isu semasa maka generasi muda Johor akan berpaling tadah secara senyap sebagai tanda membantah.

Itulah sedikit sebanyak persepsi Tun Sheikh mengenai keadaan pemikiran rakyat terutamanya orang Melayu dari Selatan ke Utara dari Jun hingga September ini bersesuai dengan keadaan dan kesensitifan pelbagai isu dan kesempatan Tun Sheikh meninjau secara bebas dan berpeluang berulang-alik secara kebetulan mahupun secara pribadi dan undangan tidak rasmi. Ketika di bulan ramadan, ketika menyambut hari raya dan berziarah serta ketika mengurus anak-anak yang sedang menuntut di negeri-negeri berkaitan. BN dan UMNO perlu berubah segera membenteras rasuah di kalangan dan kelompok sendiri dan usah lagi mempermainkan isu agama kerana orang Melayu di luar sana tidak lagi buta hati seperti orang UMNO yang buta kerana amalan dan budaya rasuah. Benarlah janji Tuhan bahawa Allah akan mengganti anda dengan kelompok yang baru jika anda berterusan berkelakuan fasik dan menyombong diri.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Sri Menanti N9

Sejarah Kemerdekaan Malaysia & Bayang-Bayang Peradaban Tamadun Bangsa Melayu

0 comments

Sejarah Kemerdekaan Malaysia & Bayang-Bayang Peradaban Tamadun Bangsa Melayu

Seperti biasa pada 31 Ogos setiap tahun kita akan menyambut hari kemerdekaan. Kerajaan pimpinan UMNO bersungguh-sungguh berkempen dan memprogandakan bahawa hanya UMNO yang telah berjaya dan berjasa memerdekakan negara ini. Berikutan itu banyak penulis dan pengkaji sejarah yang tidak terikat dengan kefahaman UMNO telah menulis mengenai kemerdekaan Malaysia dari pelbagai sudut dan persfektif. Mereka tidak dipedulikan oleh kerajaan UMNO kerana menganggap hasil penulisan mereka adalah tidak benar dan picisan sahaja. Lebih-lebih lagi hasil penulisan mereka seolah-olah cenderung menafikan jasa-jasa pejuang kemerdekaan tanahair hanya oleh pemimpin awal UMNO.

Sejarah tamadun, kebudayaan dan kerajaan negara ini memang begitu unik kerana faktanya tidak tersusun dan tidak mempunyai sempadan waktu dan sepadan geografi yang tepat. Hal ini bertambah rumit dan longgar kerana tidak banyak artifak dan bahan bukti saintifik ditemui. Setakat ini rakyat dan peminat sejarah hanya didedahkan dengan asal-usul kerajaan Melayu Melaka dan sebelum itu ada kerajaan Melayu bertaraf empayar seperti kerajaan Melayu Srivijaya. Kerajaan Melayu Campa yang dianggarkan telah wujud sebelum Srivijaya masih samar-samar malah begitu juga terhadap kerajaan Melayu Palembang. Berbagai hipotesis oleh pengkaji sejarah dengan pelbagai kesimpulan dan pandangan menambah lagendanya. Ada yang mengatakan ia berasal dari kerajaan Majapahit yang berakar umbi dari kebudayaan Jawa dan dari tanah Jawa itu sendiri. Ada yang mengatakan berasal dari kerajaan Mala di utara Thailand atau Banjaran Himalaya.

Secara tidak langsung teori lama yang mengatakan bangsa Melayu berasal dari Yunan atau Cina telah tertolak lebih-lebih lagi dengan penemuan ciri-ciri darah keturunan melalui DNA dimana bacaan kod keturunan Melayu berasal-usul dari Cina adalah sangat tipis, sangat sedikit atau terlalu jauh. Tetapi boleh dikatakan mempunyai kedominan pada darah keturunan bangsa Mala yang juga mempunyai ciri-ciri Farsi, Arab, Yahudi dan darah bangsa Eropah purba yang lainnya dan juga darah keturunan Mesir purba..

Baru-baru ini pembongkaran halangan kerajaan Siam dan Burma dalam menggalakkan cendekiawan yang terdiri dari ahli sejarawan menggambarkan bahawa ada konspirasi antara pemerintah Burma dan Thailand menyembunyikan fakta sejarah tamadun asal bangsa mereka. Hal ini dikatakan atas arahan dan kehendak pentadbir atau penjajah barat terutama Inggeris yang tidak memberi galakan kepada rakyat Burma dan Thailand untuk menyelidik sejarah purba mereka atas alasan ia begitu sensitif kerana bangsa pemerintah Burma dan Thailand itu bukanlah dari bangsa asal negara itu. Hanya setelah perkampungan atau penemuan kawasan tulang-belulang haiwan purba raksaksa di utara Thailand pada 2003 barulah aktiviti dan minat pengkaji sejarah purba dan tamaddun dunia yang bebas dari seluruh dunia diberi kebebasan membuat penyelidikan untuk mengkaji apa-apa sejarah yang tersembunyi disebaliknya.

Sebelum ini hanya Angkor Wat di Kemboja saja yang telah diberi pengiktirafan sebagai salah sebuah binaan yang ajaib di dunia kerana seni bangunan itu terlalu halus dan jika difikirkan cara dan teknik yang digunakan untuk membangunkannya pada zaman dahulu yang tiada peralatan canggih sebagaimana sekarang boleh dianggap sebagai mustahil. Satu maklumat yang amat menarik dari kajian pakar sejarah tempatan Burma, Thailand, Kemboja dan Vietnam ialah mereka bersetuju membuat kesimpulan bahawa kebudayaan yang tinggi ini adalah warisan kebudaya asal-usul datuk nenek moyang mereka yang dikenali sebagai Bangsa Mala berasal dari pergunungan Himilaya. Dan yang paling menarik, mereka mendapati bangsa yang terdekat dengan warisan keturunan Mala ini pada masa ini ialah orang Melayu. Lebih jauh dari itu seorang pengkaji sains sejarah yang merupakan seorang professor terkenal dari Brazil telah mengemukakan sebuah teori hasil dari kajiannya yang mendakwa benua Atlantis yang hilang itu sebenarnya terletak di Asia Tenggara kerana terdapat beberapa bukti tinggalan sejarah purba yang dijumpai di dasar lautan dan dari rupa bentuk mendapan bumi di situ yang telah tengelam.

Sayang sekali pemimpin Melayu khususnya UMNO masih seperti dahulu dengan sifat-sifat warisan datuk nenek moyang iaitu bersikap sombong bodoh walaupun mudah bertoleransi, susah bersatu padu dan saling suka iri hati dan berhasad dengki sesama sendiri. Mereka tidak melihat hal ini adalah penting kerana mereka mengaju kepada hanya untuk kepentingan diri sendiri dan tidak secara kolektif. Sejarah membuktikan bahawa hanya mereka yang terlalu keras hati, kuat atau gagah dan zalim yang berjaya tetapi kejayaan mereka membina kerajaan adalah kerajaan hamba dimana fikiran rakyat diracuni dengan memaksa menganggap raja adalah wakil tuhan.

Seorang pengkaji sejarah sosial dan anthropologi Islam dari dunia Arab yang terkenal hingga sanggup merumuskan kajian sainstifik beliau dengan persepsi bahawa orang Melayu sebenarnya adalah berasal dari sebuah bangsa purba yang bertamadun tinggi dan sering diberi petunjuk dari Tuhan Yang Maha Agong tetapi sering alpa dan menjerumuskan diri kepada kesesatan. Bangsa dan kebudayaan tamaddun Melayu diperkirakan berasal-usul dari bangsa Mala yang bernenek moyangkan Katuha iaitu isteri ketiga kepada Nabi Ibrahim dan hal ini ada disebut di dalam taurat dan zabur. Malah Katuha ialah seorang perempuan bangsawan yang telah mempunyai kebudayaan yang tinggi berasal dari anak-cucu manusia pertama iaitu Adam ketika Nabi Adam menyebarkan benih keturunannya di peringkat awal tamadun manusia yang didakwa berlaku di tanah besar India sekarang.

Kesesatan bangsa Mala dari menyembah Tuhan tunggal kepada tuhan berlembaga atau tuhan yang diserupakan dengan patung dan sebagainya, kemudian tuhan berbentuk dewa dan roh-roh sama ada baik mahupun jahat adalah hasil sikap ego dan sombong bodoh mereka kerana terlalu berbangga dengan kemajuan tamadun dan kerajaan mereka sehingga mendewakan tokoh atau raja-raja yang hebat. Mereka juga sering mengubah anutan agama mengikut kesesuaian dan pemikiran dan pengaruh falsafah hidup. Mereka suka berlomba-lomba dan menunjuk-nunjuk kehebatan beragama sehingga mereka mudah menukar kepercayaan mengikut akal dan keyakinan selaras dengan perkembangan semasa dan keadaan di sekeliling mereka. Mereka kuat dan mudah terpengaruh dengan fahaman baru serperti Hindu, Budha, Animisma dan sebagainya sehingga mudah bertukar kepada Islam dan kemudian apabila falsafah agama baru datang seperti Kritian, Confusus, Tao, Sikh dan sebagainya mereka mudah menyesuaikannya dengan fikiran dan falsafah kebudayaan mereka yang sentiasa dikata berkembang.

Sehubungan dengan jumpaan baru ini Tun Sheikh berpendapat bahawa sebenarnya kita tidak boleh merdeka dengan perpektif akal dan fikiran mahupun kebudayaan. Ini adalah kerana kita telah ditakdir memang wujud dari perhambaan yang azali. Kesesatan kita berlaku kerana kita sangat berusaha untuk memahamkan kemerdekaan itu mengikut akal fikiran kita yang lemah tetapi mempunyai nafsu besar yang tersembunyi. Oleh itu bagi Tun Sheikh kemerdekaan yang tulin adalah dengan mengikut petunjuk milik Tuhan yang menghantar kita ke bumi ini sebagai hambaNya. Dan petunjuk itu adalah melalui agamaNya dan agamaNya yang terpelihara dan diridhaiNya hanya Islam. Oleh itu kita mesti berusaha mengimarakkan kefahaman mengenai agama terlebih dahulu daripada kefahaman dan semangat kemerdekaan melalui warisan kebudayaan kita.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Sumpah Laknat Yang Mengerunkan

0 comments
Sumpah Yang Mengerunkan Jadi Mainan UMNO

Tunggulah Bahawa Bencana Yang Dijanjikan Akan Sampai


Satu bukti kesombongan besar UMNO ialah tindakan Datuk Trio UMNO mengemukakan pertuduhan seks dilakukan oleh DSAI melalui rakaman video. Semua orang tahu bahawa mereka adalah tokoh desperado dalam politik yang terlibat dengan wang jutaan ringgit. Mereka sebenarnya masih kaya dan masih bergelar jutawan tetapi tindakan mereka dipercayai kerana desakan dan dendam. Mungkin wang jutaan ringgit yang dimiliki, bukan 100% milik penuh mereka. Kesedaran rakyat melalui penerangan PR bahawa BN menyeleweng dalam segala agendanya yang membabitkan wang negara dan hanya mengutamakan kroni mengaut dan mengsonglap duit rakyat amat mencemaskan mereka. DSAI pula berjaya membuktikan kes-kes penyelewengan BN kerana beliau sendiri pernah berada di dalam bersama mereka yang buas. Beliau dianggap sebagai batu penghalang kerakusan mereka dan konspirasi penyingkiran DSAI pun direncanakan.

Akhir-akhir ini, hujah dan penjelasan PR yang dianggap merapu disahkan betul melalui laporan tahunan parlimen Jabatan Audit Negara yang mengamalkan disiplin ketelusan. Orang juga tahu, keberanian Datuk Trio kerana ada pendokong dan ketua pemikir genius yang kebal di belakang mereka. Ada orang mengesyaki Tun Dr. Mahathir dan Tan Sri Sanusi Joned yang telah berjaya menyingkirkan Pak Lah kerana tidak mengikut MOU mereka. Kini ada juga desas-desus bahawa PM juga tidak disenangi kerana sangat terikat dengan APCO dan wanita pertama. Pandangan mantan PM Tun Dr Mahathir dianggap masih relevan dan rasional oleh sesetengah ahli UMNO dan orang Melayu walaupun Tun Dr Mahathir pernah juga dimalukan. Ini adalah kerana beliau dan klik-klik setianya tidak suka PM sekarang terikat secara lansung dengan agensi Yahudi dan dipengaruhi isteri.

Isu Datuk T dilihat oleh para ulamak sebagai penghinaan agama yang dilakukan oleh UMNO. Ini adalah kerana mereka tidak menghormati perundangan Islam yang mereka sendiri kuatkuasakan. Tanpa sedar, syariat atau perundangan Islam kelihatan begitu daif sekali, tidak berkualiti dan kuasanya tunduk dibawah kuasa perundangan ciptaan manusia iaitu undang-undang jenayah dan sivil sekular. Sebenarnya, perundangan syariat yang mereka kuatkuasakan itu tidak menyeluruh malah ada yang telah diubahsuai mengikut pemikiran mereka.

UMNO yang yakin mempunyai kuasa dan pengaruh kuat dalam politik, ekonomi dan kemajuan pembangunan fizikal kelihatan tidak meluhurkan undang-undang yang diciptanya kerana yakin berkuasa meminda atau terasa kebal. Mereka yakin undang-undang itu boleh diubah mengikut kehendak mereka. Maka salah satu sebab mereka menolak perundangan Islam seperti hudud dan qisas kerana undang-undang atau hukum syariat telah termaktub dengan jelas mengikut firman Allah dan tidak boleh diubah-ubah.

Kes video seks DSAI oleh Datuk T UMNO, kini sengaja diperbesar dan menjadi berita perdana saban hari. Kesahihannya pada hakikat tujuan dan matlamat mereka bukan agenda utama. Apa yang penting, segala lapisan rakyat disuapkan dengan mesej dan imej kebobrokan PR supaya rakyat tiada pilihan lain untuk memilih kecuali BN. Tanpa mereka sedar atau mungkin sahaja mereka tidak mempedulikan kesensitifan Islam, mereka telah mengundang angin dan bayang-bayang penghinaan kepada diri mereka sendiri. Islam pula telah dilihat oleh rakyat selama ini dipersok di satu sudut. UMNO dan BN jelas kelihatan tidak menghormati kesucian Islam dan selama ini mereka hanya menonjolkan watak pejuang memperguna dan memperalatkan Islam untuk kepentingan diri dan politik. Rakyat segala lapisan tidak kira yang beragama Islam atau bukan Islam tertipu dan dikelirukan oleh UMNO dan BN seperti dilaporkan oleh bekas presiden MCA.

Apabila parti-parti dan rakyat bukan Islam mula berjinak dan berminat dengan falsafah Islam yang bernilai sejagat untuk penghidupan dan kemanusiaan, UMNO dan BN seperti cacing kepanasan dan berusaha gigih menguar-uarkan retorik aktiviti dan program nasional dengan tujuan melarikan tumpuan rakyat supaya tidak mendekati dan memahami kesyumulan Islam. Mereka sungguh yakin jika rakyat berbilang kaum dan agama mengenali Islam, maka kedudukan dan kuasa politik partisan mereka akan terkubur. Mereka juga sangat yakin, dengan terus berusaha mengelirukan disamping memberi hiburan kepada rakyat dalam segala hal kecuali agama atau terhadap kesyumulan Islam yang tulen, mereka akan berjaya mengekalkan kuasa sedia ada.

Dari pengamatan para pakar dan penganalisa politik, sebenarnya UMNO dan BN tidak mengutamakan agama mahupun Melayu. Mereka sebenarnya sedang mempertahankan kuasa, kepentingan dan keistimewaan peribadi yang mereka nikmati sejak kemerdekaan dengan menggunakan isu bangsa dan agama. Ini adalah kelihatan apabila ditinjau dari segi kepentingan dan keperluan rakyat yang pelbagai kaum dan agama. Kekayaan negara tidak diagihkan untuk kepentingan semua rakyat kecuali kroni-kroni dan orang yang berdekatan dengan mereka. Di satu sudut lain, rakyat pula menjadi sumber kewangan kepada perancangan pembangunan mereka. Mereka bijak mengeksploit rakyat. Hal ini jelas kelihatan apabila mereka berterusan bersetuju mengikut permintaan pelabur menaikan harga barang keperluan dan sentiasa bersungut terhadap penampungan subsidi.

Sepintas lalu, jika kita mencongak kehebatan dan keupayaan pemimpin UMNO dan BN semua peringkat dalam hal ekonomi, harta dan kos penyaraan hidup mereka, kita akan mendapati dan menganggap mereka seperti orang yang berjaya. Mereka mampu menanggung kos keperluan hidup bukan sahaja untuk diri mereka tetapi juga sudah tersedia untuk anak dan cucu mereka. Pada waktu yang sama kita hanya berpeluang dan berupaya untuk mencari sedikit penghidupan untuk diri kita sendiri dan terpaksa meletakkan nasib anak cucu kita kepada ihsan kepimpinan negara yang diterajui mereka. Maka terjadilah kita sebagai sebuah bangsa yang dibayangi mentaliti perhambaan kerana keterikatan itu. Haruslah kita ingat, bahawa kemajuan yang dibawa mereka seiring dengan kesombongan akan mengundang bala bencana. Bala bencana dan malapetaka sama ada dari Tuhan mahupun hasil akibat tangan manusia sendiri. Ini akan berlaku apabila hal-hal agama dipersendakan seperti isu sumpah laknat dan isu seks yang dipermain dan diperbesar-besarkan dan menjadi berita mahupun budaya arus perdana politik negara kita.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Jangan Tabliq Pula Diharamkan

0 comments
Jangan Tabliq Pula Diharamkan Kerana Politik

Tabliq Adalah Syiar Islam Dan Pandangan Negatif Terhadap Tabliq Perlu Diubah

Selepas kembali dari menunaikan fardhu haji di Mekah pada tahun 1996, Tun Sheikh berazam mengaktifkan diri dalam dakwah islamiah secara berkumpulan. Pada mulanya hati tertarik kepada kumpulan tabliq tetapi disebabkan terlalu banyak kritikan orang ramai terhadap pakaian dan kealpaan mereka terhadap keluarga sendiri ketika keluar berdakwah, Tun Sheikh menangguhkan untuk menyertainya dan sampai ke hari ini masih belum berkesempatan. Persepsi masyarakat yang agak negative terhadap kumpulan tabliq telah mempengaruhi Tun Sheikh menyertai Persatuan Khazanah Fathaniah, mempelajari kitab-kitab lama (kitab kuning) hasil tangan Sheikh Ahmad, Sheikh Daud dan ulamak-ulamak tersohor Patani hingga ke hari ini.

Satu daripada keistimewaan ahli tabliq ialah ikatan persaudaraan di antara ahli kumpulan mereka adalah sangat baik. Sanggupkah anda membuangkan tahi hidung sahabat anda dengan jari tangan anda sendiri? Hal ini biasa dalam kumpulan tabliq kerana mereka telah ditarbiah dan berlapang dada sesama sendiri. Namun, terdapat juga fitnah orang ramai terhadap mereka. Ada yang tidak benar dan ada juga kekurangan kumpulan ini adalah betul. Seperti contoh, sebenarnya mereka tidak dibenarkan keluar berdakwah jika mereka masih banyak masalah peribadi yang tidak memungkinkan mereka meninggalkan keluarga dan tanggungjawab. Ini adalah kerana kumpulan tabliq mempunyai disiplin dan prinsip yang tinggi dan kukuh semasa keluar berdakwah. Masa ditetapkan dengan tegas dan ada jumlah hari-hari tertentu dan tidak dibenarkan balik ke rumah. Mereka mesti siap zahir batin termasuk cukup perbelanjaan dan sihat tubuh badan. Cukup perbelanjaan untuk bekalan ketika bermusafir dan juga cukup perbelanjaan untuk keluarga yang ditinggalkan. Bertabliq adalah salah satu daripada syiar Islam dan jalan jihad yang suci.

Mereka juga disyaratkan berpakaian bersih dan sentiasa berwuduk. Di waktu-waktu lapang ketika berjalan mahupun beriktikaf di masjid, mereka dimestikan berzikir, mengaji atau membaca kitab. Urusan atau melaksaksanakan amalan peribadi mestilah setelah mentelaah ilmu secara kumpulan atau jemaah yang diketuai oleh naqib. Sebarang masalah yang dihadapi ketika berdakwah dilapor dan diperbincangkan dalam majlis ilmu itu. Naqib akan menunjukkan jalan keluar mengatasi masalah. Tarbiahnya lebih menjurus kepada pembetulan kepada diri dan sifat-sifat kerohanian ahli jemaah. Matlamat asal atau objektif bertabliq ialah untuk mendidik diri ahli bersabar dan bertawadhuk kepada Allah.

Beberapa kelemahan dan perkara yang tidak disenangi masyarakat yang pernah dilakukan oleh kumpulan ini ialah ketika mereka datang menziarahi penduduk pada waktu-waktu yang dianggap tidak sesuai. Penduduk sering didatangi kumpulan tabliq ketika mereka sedang sibuk menyelesaikan urusan rumahtangga. Walau pun ahli rombongan tabliq tidak meminta dijemput masuk ke rumah tetapi kerap mengganggu kesibukan dan kelapangan pribadi atau privasi orang. Mereka dikatakan sering berpakaian lusuh, tidak kemas dan ada yang berbau. Imej negatif melalui pakaian yang lusuh dan dimakan hari itu cepat mempengaruhi orang ramai kerana mudah membayangkan mereka tidak sempat mencuci, mandi dan sebagainya kerana tidak membawa banyak pakaian bagi memudahkan pergerakan dan jadual mereka adalah padat.

Orang ramai juga pernah mengadu bahawa surau atau masjid di kediaman mereka yang digunakan oleh kumpulan tabliq berkumpul dan bermalam kelihatan kotor dan banyak sampah sarap yang ditinggalkan kerana mereka memasak dan menyediakan makanan sendiri untuk kumpulan mereka di situ. Penduduk kadang-kadang terkeliru kerana tidak dijemput dan dipelawa makan selepas solat kerana mereka menjangka pihak masjid atau surau menyediakan jamuan jika kelihatan aktiviti memasak dilakukan. Mereka juga tidak senang melihat beg-beg dan barangan milik peribadi ahli kumpulan tabliq berselerak di suatu sudut di dalam masjid atau surau.

Terdapat juga pandangan penduduk yang terasa tersinggung kerana mereka diseru datang ke masjid dan surau oleh ahli kumpulan ini tanpa mengetahui atau perasan bahawa orang yang diseru itu adalah bilal atau orang yang hari-hari dan setiap waktu ke masjid. Mereka seperti tidak mengecam ahli jawatankuasa masjid ketika betemu di rumah. Ini menggambarkan seperti mereka tidak fokus kepada seseorang kecuali menyeluruh ketika menyampaikan seruan dakwah. Hal ini sering mengakibatkan penduduk atau ahli jemaah tidak berminat kepada kumpulan mereka.

Kumpulan tabliq juga dikatakan membawa misi seruan tanpa mempedulikan kemesraan. Apa yang penting mereka seru penduduk datang ke mesjid tanpa memberi tahu apakah aktiviti yang mereka jalankan. Sebenarnya mereka tidak ada menjalankan aktiviti untuk orang ramai di masjid dan surau tempat mereka menginap. Di masjid dan di surau adalah khusus untuk pentarbiahan diri ahli kumpulan mereka, namun jika kita turut datang menyertai majlis ilmu kumpulan ini, kita tidak dilarang tetapi sering terasa seperti orang asing di tempat atau di masjid sendiri. Ini adalah kerana mereka menjalankan majlis dakwah atau mentelaah ilmu di satu sudut yang jauh dari kawasan jemaah dalam masjid itu. Walaupun mereka tidak menghalang orang bukan ahli menyertai atau mendengar sama tetapi terasa tiada suasana kemesraan. Hal ini ditambah dengan kelainan ahli dengan bukan ahli mereka dari segi berpakaian yang kelihatan mempunyai ciri-ciri khusus.

Walau bagaimanapun, sebenarnya banyak juga sumbangan mereka terhadap masyarakat ketika mereka menyebarkan seruan dakwah dan kebajikan samada menyeru supaya mendirikan solat atau datang berjemaah ke masjid dan sebagainya. Ada di antara mereka terutamanya naqib-naqib mereka memang mempunyai pengetahuan yang luas dan berkredibaliti tinggi. Imej ini dapat dilihat dengan hanya melalui tampang atau wajah mereka yang kelihatan bersih dan sedap mata memandang. Imej yang baik ini sering tercemar kerana memang ada diantara ahlinya yang gairah untuk keluar berdakwah berhari-hari meninggalkan keluarga tanpa meninggalkan bekalan yang cukup sehingga menerbitkan masalah. Mereka ada yang gairah untuk mengikut naqib-naqib tertentu tanpa persediaan ilmu. Ada juga sebagai eskapism dan keluar daripada kehidupan atau masalah seharian mereka yang routin. Ada juga mengkritik mereka kerana tidak mengurus diri sendiri dengan baik ketika bermusafir dan mengganggu ketenteraman ahli qariah masjid atau surau tempat mereka menumpang menginap.

Ada laporan memang benar tetapi kebanyakannya, adalah berpunca dari kepasifan ahli jawatankuasa masjid itu sendiri dalam memeriahkan masjid dengan pelbagai aktiviti. Kesepian masjid dan surau terbongkar ketika kumpulan dakwah tabliq menumpang menginap dan penduduk merasakan kumpulan tabliq berjaya memeriahkan masjid berbanding ahli jawatankuasa sendiri. Di sebabkan hal ini, ahli jawatankuasa masjid atau surau sering membuat laporan yang berat sebelah sehingga mendorong pihak atasan tidak membenarkan ahli kumpulan tabliq menginap atau beriktikaf di masjid-masjid dan surau-surau tertentu.

Tun Sheikh rasa terpanggil untuk menulis sedikit perihal kumpulan tabliq ini meskipun belum berkesempatan menyertainya. Fakta-fakta yang didapati ini adalah hasil komitmen Tun Sheikh sendiri berjumpa dan bertanya dengan beberapa naqib dan ahli kumpulan tabliq. Kebanyakan mereka telah bermusafir berbulan-bulan di luar dan dalam negeri dengan niat berdakwah secara bertabliq. Tun Sheikh juga dapat serba sedikit maklumat daripada saudara mara dan sahabat handai yang menyertai kumpulan tabliq ini. Dapatlah Tun Sheikh menyimpulkan bahawa mereka adalah daripada satu jurusan dakwah islamiah dalam Islam dan kebaikan yang dibawa mereka adalah lebih daripada keburukan. Kelemahan-kelemahan boleh diatasi jika para ahli jawatankuasa masjid dan surau sama-sama berbincang dan bekerjasama dengan kumpulan tabliq yang datang untuk mengadakan aktiviti dakwah dan tarbiah. Masalah tidak akan timbul jika ahli jawatankuasa masjid dan surau serta para jemaah atau penduduk itu tidak menganggap mereka sebagai satu entiti lain, asing dan berkecuali. Para kumpulan tablig pula seharusnya berhemah ketika berdakwah atau berdepan dengan penduduk dengan niat murni. Bertabliq itu tidak seharusnya memfokus untuk manfaat para ahli sahaja.

Akhir sekali, aktiviti bertabliq mestilah digalakkan dan beriktikaf di masjid bukanlah suatu larangan tetapi semua yang terlibat mestilah mematuhi peraturan yang khusus terhadap rumah Allah itu sebagaimana ditetapkan dalam syariat. Jangan kerana tiada masa untuk beriktikaf atau tiada aktiviti untuk memeriahkan masjid, rumah-rumah Allah itu dikunci sehingga menyusahkan orang lain.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Dato’ Sri Najib Perdana Menteri Kita

0 comments
Dato’ Sri Najib Perdana Menteri Kita

Melayu Sebenarnya Sebuah Bangsa Bertamadun Tinggi Dunia Sejak Kurun-Kurun Sebelum Masihi


Najib ialah anak kepada Perdana Menteri Kedua Malaysia. Budaya mewarisi kepimpinan bapa atau keluarga masih diyakini oleh masyarakat Melayu kita. Letak siapa saja asal ada hubungan waris yang pernah menjadi pemimpin Melayu, maka anak atau keturunan mereka akan diterima baik oleh orang Melayu. Kadang-kadang mereka menerimanya tanpa menilik lagi kepada perangai atau pembawaan tokoh itu. Asal ada kelulusan minima yang ditetapkan maka biasanya tokoh yang ada kaitan dengan bekas pemimpin akan diterima baik. Di negara ini jika dikaji dengan catatan fakta maka boleh disimpulkan bahawa 80% barisan kabinet atau menteri kabinet kita ada hubungkait dengan keluarga yang pernah menjadi menteri suatu ketika dulu. Jika dikaji secara terperinci, mungkin kebanyakan mereka sebenarnya tidak memiliki nilai atau standard kualiti sebagai pemimpin yang benar-benar tulen.

Bolehkah kita mempertikaikan kebolehan Dato’Sri Najib? Tentunya kita berasa yakin beliau seorang yang berkebolehan kerana beliau telah berpengalaman lama menjadi menteri. Tetapi mengapa bayang-bayang kebaikan bapanya masih menjadi imejnya? Mungkin ini adalah kerana bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak adalah seorang tokoh yang begitu ikhlas dan jujur kepada bangsanya. Dato’Sri Najib sendiri sebenarnya dianugerah raut wajah yang tenang dan sejuk mata memandang dan sekaligus membawa tanggapan positif kerana wajahnya memperlihatkan imej yang baik dan prihatin. Mungkin disebabkan rekod-rekod gosip buruk seperti rasuah ketika menjadi menteri pertahanan dan pembunuhan gadis Monggolia itu yang telah mengurangkan tarikan kepada dirinya. Perlakuan isterinya yang berlebih-lebih sebagai Wanita Pertama juga telah banyak menghitamkan imejnya yang baik. Ini belum lagi dinilai dengan penglibatan penasihatnya yang dituduh sebagai agen Yahudi.

Kini rakyat bertambah risau dan tertanya-tanya adakah pandangan dan pemikirannya adalah benar-benar datang dari dirinya. Diantara ideanya telah menjadi dasar negara ketika ini tetapi rakyat seolah-olah tidak yakin itu datang darinya. Contohnya dasar 1 Malaysia dan dasar pembagunan negara dirasakan mengarah ke suatu matlamat yang merugikan rakyat marhein Melayu. Dengan perkataan lain, rakyat terasa seperti ada kelompok tertentu yang sedang mencucuk hidung Perdana Menteri yang dikasihi itu. Rakyat sangat bimbang jika akhirnya negara ini hanya menjadi belaci kepada sesuatu kelompok kapitalis atau kuasa luar yang berlagak kekasih tetapi sebenarnya adalah musuh bagai gunting dalam lipatan.

Perkara ini menjadi isu dan polimik dalam pemikiran orang Melayu kerana terkejut dengan ucapan beliau ketika memberi amanat di tahun baru 2011. Dato’ Najib telah menegaskan betapa perlu dan pentingnya kesatuan dan perpaduan serta usaha pembagunan negara bagi memastikan negara ini sentiasa bergerak maju dan tidak ketinggalan dalam segala bidang. Meskipun ucapan ini tidak dirasakan sesuatu yang baru dan rakyat dapat menerimanya tetapi apa yang menjadi kontra ialah nasihat atau peringatan beliau agar rakyat jangan coba-coba berfikir atau ingin mencoba-coba menukar rentak atau sistem atau lebih tepat sekali menukar pemerintahan atau kerajaan daripada BN kepada yang baru.

Dato’ Najib selaku Perdana Menteri sebenarnya tidak wajar mengutarakan soal itu kerana tentu sekali ia mengambarkan kedangkalan pemikiran dan seolah-olah menambahkan keyakinan kepada rakyat bawa beliau adalah pemimpin yang dicucuk hidung atau ada tangan-tangan gaib yang mencengkam tengkoknya. Seharusnya beliau peka dengan kesetiaan rakyat terutama orang-orang Melayu kepada kepimpinannya tetapi ucapan atau kemahuannya itu telah menipiskan keyakinan Melayu kepada beliau. Beliau sepatutnya tidak mempersoalkan kebebasan minda rakyat khususnya orang Melayu kerana beliau pernah menggalakkan rakyat berfikran global dan glokal.

Ketika Revolusi atau Reformasi Mesir sedang di puncak pergolakan, sekali lagi ucapan Dato’ Najib telah memerangkap atau menonjolkan siapakah tangan besi atau pengendali kuasa di belakang beliau apabila dia memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak meniru cara rakyat Mesir menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak. Buah ucapannya sangat mengejutkan dan amat bertentangan dengan kefahaman dan amalan demokrasi. Beliau sepatutnya memfokuskan nilai-nilai keamanan dan keadilan yang dilaksanakannya bagi mengelakkan huruhara atau peristiwa sepertimana berlaku di Mesir itu. Rakyat masih terngiur-ngiur dengan amaran beliau yang boleh dikatakan tidak relevan semasa memberi amanat tahun baru 2011. Belum genap sebulan, beliau meledakkan pula isu revolusi Mesir yang dianggap ganas dan tidak wajar tanpa beliau meneliti ertikata demokrasi dan sistem atau corak pemerintahan mengikut kehendak suara rakyat itu. Sebenarnya adalah lebih baik PM memikirkan suatu nilai perubahan kepada sistem pemerintahannya sebelum ditolak rakyat dengan cara meniru rakyat Mesir.

Kelmarin, 22 Februari 2011, sekali lagi orang Melayu terkejut dengan ucapan pengakuan Dato’ Sri Najib mengatakan bahawa beliau seorang yang rasional, sabar, berpengalaman lebih 30 tahun dalam politik dan sebagainya jadi tidak perlu rakyat memikirkan kekurangannya hingga perlu mengadakan reformasi atau revolusi seperti Mesir. Beliau seolah-olah dikejar bayang hitamnya sendiri kerana perkembangan di Timur-Tengah menggambarkan suatu kebangkitan rakyat secara menyeluruh dan menular dari sebuah negara ke sebuah negara. Dari Tunisia ke Mesir dan kini di Libya, Magribi dan seterusnya terutama di benua Afrika Utara itu.

Sebenarnya apa yang berlaku bukanlah suatu pergolakan atau keburukan kecuali kebangkitan rakyat yang dinafikan hak dan kebebasan mereka mengikut prinsip demokrasi mahu pun mengikut pedomen Islam yang betul. Mereka berasa kerajaan telah mengabaikan mereka kerana terlalu mengikut telunjuk dunia Barat atau Yahudi disamping mengecapi kekayaan negara yang dinikmati oleh hanya kumpulan birokarasi pemerintah atau yang pro kerajaan. Hal ini memang ada persamaannya dengan matlamat reformasi di Malaysia yang sebenarnya masih belum muktamat. Maka kerana itulah diperkirakan mengapa Dato’Sri Najib seperti dikejar bayang-bayang hitamnya sendiri. PM tidak perlu menggempak rakyat jika benar beliau terasa begitu. Rakyat berasakan itu bukanlah dari pemikiran beliau sendiri kerana jiwa-jiwa Melayu masih menyayangi beliau dan masih mengenal keluarga dan jatidiri beliau sendiri. Orang Melayu yang perasa dan sensitif berasa itu semua adalah bersumber dari pakar penasihat-penasihat asing beliau. Yang terpenting, beliau mesti segera berubah dan terbuka sebelum pengaruh revolusi di Timur-Tengah menular ke negara ini. BN masih belum terlambat jika mereka benar-benar ikhlas dan jujur mentadbir untuk rakyat Malaysia.

Sehubungan dengan itu, kepimpinan Melayu dan semua orang Melayu termasuk UMNO adalah diseru agar segeralah kembali semula ke asal perjuangan untuk agama bangsa dan negara. Ketepikan kepentingan diri dan janganlah sombong dan membanggakan diri walau menang disetiap pilihanraya kecil. Bangsa Melayu pada hakikatnya bukanlah baru lahir sejak merdeka 1957 tetapi telah wujud berabad-abad sebelum tahun masihi dengan peradaban dan tamadun yang tinggi.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara.

Rasuah Di Arkib Negara

0 comments
RASUAH DI ARKIB NEGARA

Arkib Boleh Dikata Rasuah Jika Tidak Netral Dalam Profesionnya

Pernah heboh seketika cerita tentang rasuah di Arkib Negara. Hal ini terjadi sekitar 2005 – 2010. Tetapi tidaklah merebak ke seluruh pelusuk Negara kecuali di Kuala Lumpur saja. Perkara ini berlaku ketika Ketua Pengarahnya diterajui oleh seorang lelaki bergelar dato’. Apabila ramai orang mula memasang telinga, rupa-rupanya ada segelintir manusia yang suka mengambil kesempatan. Cerita hitam boleh menjadi putih dan sebaliknya. Sentimen ketika itu seolah-olah dikuasai oleh pengaruh politik. Maka jika sesebuah jabatan yang berjaya dan cemerlang dan jabatan itu ada kaitannya dengan seseorang menteri atau tokoh politik yanag tidak disenangi, maka berita yang kecil dan tidak penting disensasikan. Ada juga jabatan lain yang berasa iri. Maka tersebarlah cerita mengarut dan fitnah.

Ketika itu Arkib Negara banyak mengendalikan pelbagai projek mendirikan bangunan yang bernilai jutaan ringgit. Hal sebenar apa yang berlaku ialah pada waktu yang sama banyak jabatan ternama lain gagal mengurus peruntukan kewangan yang ditetapkan iaitu 85% target perbelanjaan. Arkib Negara tidak pernah gagal mengurus dan membelanja peruntukan kewangan mengikut apa yang dirancang hingga terdapat rekod perbelanjaan mencapai 90% setiap tahun berturut-turut. Kerana peruntukan pembangunannya dan mengurusnya berjumlah berjuta ringgit, maka ia disangsikan. Itulah manusia Melayu atau minda yang dipupuk UMNO. Kerana trend berita ketika itu dan sampai ke hari ini seolah-olah terpaksa mengikut telunjuk orang yang berkepentingan dalam politik. Mereka menggunakan segala kemudahan untuk menikam teman seperjuangan sendiri dalam arena politik cantas mencantas.

Pada bulan November 2010, apabila ketua pengarah jabatan ini bertukar tangan, dengan segera beliau memanggil Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah datang membuat taklimat dan dirakam untuk suatu acara TV 1 yang popular. Ketua Pengarah Suruhanjaya itu telah menjelaskan isu rasuah yang dipertanggongjawabkan kepada beliau dan ramai bloger dijemput hadir. Beliau telah memberi penjelasan berkenaan laporan rasuah dan kes yang boleh dan yang tidak boleh diketengahkan atau diambil tindakan. Lebih teruk jika media memainkan peranan yang salah dan lebih buruk jika sesuatu kes rasuah dipolitikkan oleh orang politik.

Dalam taklimatnya, beliau mengelakkan diri menjawab soalan sensitif seperti kes seorang pembantu tokoh politik pembangkang yang mati disyaki dihumban oleh pegawai penyiasat beliau di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah. Walau bagaimanapun hujah dan penjelasan beliau boleh dikatakan dapat diterima kerana beliau kelihatan begitu ikhlas dan berjaya menyampaikan maksud, fungsi dan objektif serta peranan Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPR) dengan jelas meskipun secara bersahaja .

Rakyat memang mengharapkan ketulusan beliau kerana beliau baru saja menerajui SPR dan beliau mengakui bahawa tugas dan tanggongjawab beliau adalah amat berat. Rakyat akan melihat beliau seolah-olah bias kerana tindakan beliau terkongkong dengan tangan gaib pihak atasan di samping batasan perundangan yang terhad. Beliau juga terpaksa mengutamakan ketenteraman awam dan terpaksa berhati-hati ketika menjalankan penyiasatan supaya keselamatan maklumat, bahan-bahan bukti kes terjamin dan kerahsiaan terpelihara bagi mengelakkan daripada disabotaj dan sebagainya. Kurangnya kuasa penyetoran, penyimpanan dan kawalan keselamatan dari segi undang-undang sering menyebabkan bahan bukti yang terkumpul hilang dan keselamatan individu sebagai saksi utama tidak terjamin mengakibatkan kes-kes yang disiasat menjadi longgar dan sering ditolak oleh Peguam Negara.

Ramai para bloger yang dijemput hadir di Auditorium Arkib Negara di Jalan Duta kelihatan begitu berminat untuk mendapatkan first hand news. Para bloger sebenarnya memang menjadi sasaran utama dalam taklimat SPR ini kerana para bloger lebih mendahului media utama dalam menyibarkan berita ketika ini. Rakyat pula ketika ini memang cenderung untuk mendapatkan berita daripada para bloger daripada akhbar-akhbar perdana kerana akhbar-akhbar tersebut terlalu bias kepada kerajaan sehingga berita yang ditonjolkan kelihatan begitu tempang, menyimpang dan ada yang meloyakan.

Apabila Tun Sheikh bertanya kepada para bloger apakah yang diharapkan dalam pertemuan dengan ketua SPR itu, mereka berpuashati kerana mengerti dan faham peranan dan tanggongjawab yang dimainkan oleh SPR. Mereka juga berpuas hati dengan berita Jabatan Arkib Negara yang rasuah itu kerana mereka kini mengerti bahawa dalam linkungan jabatan-jabatan kerajaan ada juga watak-watak pedengki dan taksub kepada seseorang tokoh politik atau menteri. Mereka berani melabel naunsa ini adalah hasil keboborokan pemimpin UMNO yang tidak cerdik. Ini adalah kerana tiada rasuah atau salah guna kuasa di Jabatan Arkib Negara ketika menguruskan perbelanjaan peruntukan jutaan ringgit yang diberikan kepada jabatan ini untuk membangun bangunan fizikalnya dan memajukan pengurusan kearkiban yang dirancang. Mereka cekap dan mereka berjaya membelanjakan peruntukan kewangan sebagaimana ditetapkan.

Berkaitan dengan kuasa SPR pula, rata-rata para bloger tidak bersetuju SPR diletakkan dibawah kuasa Perdana Menteri. Mereka mencadangkan agar institusi SPR lebih berkecuali seperti di bawah Parlimen atau Majlis Raja-raja. Dan apabila Tun Sheikh sendiri ditanya oleh mereka, Tun Sheikh berpendapat selagi badan yang mengawal dan menguatkuasakan undang-undang seperti SPR tidak berasal dari orang yang berpengetahuan agama dan tidak menggunakan perundangan Islam maka apa yang diperkatakan oleh Ketua SPR itu hanya retorik sahaja. Ini adalah suara hati Tun Sheikh sendiri kerana begitu terpegun dengan mukadimahnya membaca ayat-ayat suci Al-Quran berkenaan rasuah dan penyelewengan. Bertambah menarik apabila beliau memuji-muji kesempurnaan perundangan Islam tetapi beliau sendiri tidak berani mengesyorkan agar undang-undang sedia ada ditukar kepada perundangan Islam. Jadi jika beliau sebagai orang besar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah sudah mengenal pasti kelemahan, kuasa dan perundangan SPR yang tidak baik tetapi tidak berani menyarankan sesuatu yang diyakini lebih baik…maka beliau serupa sahaja seperti burung kakak tua. Cuma, mungkin beliau dari spisis bulu yang berwarna warni dan begitu menarik serta berkesan untuk dipergunakan….

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
 
Copyright 2009 Blog Tun Sheikh
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere