HUDUD UMNO, HUDUD PAS
DAN PERKEMBANGAN PERSEPSI GENERASI BARU
Setiap kali musim pilihanraya, isu Hudud akan dimanipulasikan
sepenuhnya bagi menggambarkan hudud yang diperjuangkan oleh PAS ialah
hudud yang diselewengkan dan tidak di
terima khususnya oleh orang Melayu sendiri
dan orang Islam Malaysia pada umumnya. Hudud yang dikemukakan oleh PAS
dinamakan Hudud PAS dan diuar-uarkan oleh UMNO sebagai hudud ciptaan Parti PAS
bukan hudud yang tulen. Lebih jauh daripada itu, PAS dituduh sebagai Parti
Islam tidak serupa bikin, tidak layak membicarakan Islam sebenar yang tulen dan
serentak dengan itu isu PAS mengkafirkan orang Melayu lain yang tidak menjadi
ahli dan tidak menyokong PAS diperbesar-besar dan diulang-ulang. Hasil daripada
kempen fitnah UMNO ini begitu positif sehingga berjaya mendapat sokongan
pengundi Melayu dan menang majoriti
setiap kali dalam pilihanraya.
Sejak dari awal penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946, mereka
berhempas pulas memerah otak berfikir bagaimana mempengaruhi dan menguasai
orang Melayu. Dari dulu sehingga sekarang mereka dibantu dan dididik oleh
penjajah bagaimana menangani orang Melayu. Dulu secara langsung oleh penjajah tetapi sekarang
diambil pakar-pakar berfikiran secular penjajah sebagai penasihat professional
yang dikatakan bertaraf atau diiktiraf dunia. Ironi sekali apabila UMNOBN juga mengambil penasihat daripada kalangan syarikat Yahudi. Hasilnya, kepimpinan UMNOBN sejak merdeka menganggap telah berjaya memajukan Negara menerusi pelbagai projek pembagunan.
Ketika ini UMNO seolah-olah tidak percaya bahawa pengaruh
mereka semakin merosot setiap hari. Mereka menuduh anak-anak Melayu yang
berpendidikan hasil dari perancangan dan penentuan dasar-dasar yang mereka
wujudkan seolah-olah tidak tahu membalas budi atau telah lupa daratan
macam bidalan “seperti kacang lupakan
kulit’. Generasi muda Melayu dituduh tidak mengenang jasa. Sebenarnya kepimpinan
Melayu UMNO sudah lupa terhadap kelalaian yang disengajakan mereka yang telah
mengenepikan budaya pendidikan agama Islam dari peringkat bawah hingga tertinggi
kepada orang Melayu. Pengetahuan dan keilmuan Islam seolah-olah tidak relevan
untuk membangun negara yang dirancang akan menguasai permodenan dalam serba serbi melalui bidang
sains dan teknologi.
Kepimpinan Melayu UMNO mengaku telah memerah otak membuat
perancangan bagaimana untuk mentadbir dan berkuasa. Mereka tidak yakin bahawa
Allah SWT juga merancang dan perancangan Allah SWT adalah lebih baik dan
sempurna. Ini dapat dilihat kepada pelajar-pelajar Melayu yang diberi peluang
melanjutkan pelajaran di dalam dan di luar negeri dalam pelbagai bidang sejak
era 1970-an sehingga tahun 2000. Pada era itu, majority mereka tidak yakin lagi
dengan keilmuan Islam kerana dasar pelajaran yang dibuat oleh UMNO terpaksa
mereka ikuti. Hasil daripada itu maka
lahirlah generasi Melayu terpelajar dan mahir dalam pelbagai bidang. Mereka
telah menjana pembangunan dan kemajuan tetapi mereka berhadapan dengan masalah
sosial yang berpunca dari pegangan dan pengetahuan agama yang tipis dan
longgar.
Jika dikaji selidek ketika ini mereka telah menjadi generasi
tua yang masih produktif dan baru menjadi datuk muda kepada cucu yang belum
mencecah 15 tahun. Pengetahuan,
pengalaman dan keupayaan mereka berfikir dan melihat keadaan sekeliling telah
mendorong mereka dengan sukarela atau pilihan sendiri tanpa berasa bimbang dan
khuatir mendedahkan anak-anak mereka menimba ilmu yang berteraskan agama kerana
mereka tidak mahu anak-anak mereka menjadi seperti mereka yang tidak fahami
agama secara mendalam. Mereka juga tidak mahu diri mereka diabai dan tidak
dipedulikan oleh anak cucu atau generasi muda yang mewarisi mereka nanti sebagaimana
yang telah dan sedang berlaku di Eropah dan di negara-negara yang dianggap telah
maju seperti Jepun, Australia dan Amerika. Di negara tersebut, orang tua
dianggap liabiliti dan dihantar ke rumah orang tua atau dibiarkan merempat ke
mana mereka suka. Bagi mengelak dari menerima nasib yang sama, mereka telah mencita-citakan
pewaris yang berilmu dan berakhlak mulia. Kini majoriti anak-anak muda berusia
bawah 35 tahun yang berpendidikan tinggi mempunyai asas dan dasar pengetahuan
agama yang baik. Mereka berakhlak mulia dan mudah melihat perbuatan salah
tingkah atau penyelewengan yang berlaku.
Pada waktu yang sama, kepimpinan orang Melayu yang sedang
berkuasa dari kumpulan generasi tua masih tidak berubah dengan dasar-dasar yang
memperlekeh kemuliaan agama dan berterusan memaksakan dasar lama kepada
pemimpin-pemimpin muda politik. Ini adalah kerana kuasa dan kemewahan yang
dikecapi mereka telah menjadikan mereka begitu yakin akan dapat melakukan
segalanya kerana mempunyai kuasa wang. Kuasa duit dan pangkat dalam politik
telah menjadikan mereka begitu angkuh dan menolak pandangan kemanusiaan yang
tidak bergantung kepada kewangan. Akibatnya, dasar-dasar yang disangka baru
oleh mereka sering tidak mempunyai nilai atau bertentangan dengan nilai sejagat
atau universal dan ini diketahui oleh generasi peganti pada masa ini.
Percambahan pandangan dengan benting ego dan emosi ini telah membuatkan
generasi baru atau muda ketika ini cenderung untuk memberontak atau menentang
secara halus. Kepada generasi yang terdidik dengan nilai terpuji agama dan
nilai sejagat yang murni maka mereka akan lebih cenderung untuk berkecuali atau
terus melibatkan diri dalam persatuan-persatuan, parti-parti dan kumpulan yang
bertentangan fahaman dengan kumpulan pemimpin yang sedang berkuasa.
Sehubungan itu, terpaparlah corak pemikiran dan
warna-warni dan gaya sosial yang sebenarnya begitu liberal pada hari ini.
Mereka anti pemikiran yang jumud dan tidak tertarik kepada orang seperti
pemimpin UMNO yang menggunakan kuasa seolah-olah secara paksa, licik atau veto mahupun yang
berkuku besi. Tidaklah hairan dan pelik ketika Hudud UMNO dicadangkan, generasi
muda menganggap UMNO sudah begitu ketandusan idea dan lebih malang ada yang
berani mengatakan UMNO telah dan sedang berada dalam kesesatan kerana semua orang
tahu bahawa UMNO selama ini telah
mengelirukan orang mengenai Islam serta memperlekeh dan menggunakan isu agama
hanya untuk kepentingan politik saja.
“Selamat Hari Raya
Aidil Fitri 2012, Maaf Zahir Bathin.”
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Wangsa Maju KL 25.8.2012