SAMAN EKOR YANG MENGANIAYA

Saman Ekor Yang Menganiaya

Polimik mengenai saman ekor di bulan puasa 2010 tempuh hari banyak membuka mata dan kesadaran kepada pengguna jalan raya yang selama ini teraniaya tetapi tiada pembelaan. Tun Sheikh sangat bersetuju dan berpendapat sistem merakam kesalahan dan secara otomatis dikenakan saman yang dikenali sebagai saman ekor tanpa penahanan dan pemakluman serta pengakuan pengguna jalan raya itu memang berat sebelah dan membebankan. Hal ini bertambah bercelaru apabila pemilik kenderaan tidak memandu atau tiada di tempat yang dirakamkan kesalahan jalan raya itu dikenakan pendakwaan kerana dianggap bertanggongjawab terhadap kenderaannya. Hal ini melahirkan pelbagai masalah kerana ada pemilik kenderaan yang telah terjual lama tetapi masih belum bertukar nama menjadi mangsa. Begitu juga terhadap pemilik yang berada di luar negeri mahupun pemilik yang tidak menyedari keretanya dilarikan anak atau saudara mara ketika terlepas pandang atau tidur dan sebagainya.

Cerita penganiayaan saman ekor ini serta merta mendapat sambutan rakyat dan menjadi perjuangan parti pembangkang. Walau pun kerajaan menganggap parti pembangkang mengambil kesempatan dan menjadikan ia sebagai isu politik demi kepentingan parti pembangkang tetapi sangat dipersetujui dan disenangi rakyat. Rakyat menganggap perkara ini dianggap remeh dan kecil oleh kerajaan kerana kerajaan sibuk dengan projek mega dan tidak menghiraukan kebajikan rakyat biasa. Pada waktu yang sama kerajaan dianggap menganiaya kerana mengaut untung dari saman yang dikenakan melalui sistem ugutan itu. Suasana kepekaan dan mesra rakyat ini telah menusuk di hati rakyat bahawa parti pembangkang memang benar-benar prihatin dan memperjuangkan nasib rakyat.

Apabila parti pembangkang memperjelaskan kedudukannya kepada awam dan mereka yang kena saman ekor tidak perlu membayar denda, barulah kerajaan melonggarkan sedikit mengikut budi bicara mereka dengan menangguhkan pembayaran saman dan membuka atau memutihkan sementara nama-nama pemilik kenderaan yang disenarai hitamkan. Hal ini bertambah membuka mata rakyat terhadap penganiayaan kerajaan selama ini kerana berkuasa untuk menekan, mengugut dan melonggarkan sesuka hati. Padahal apa-apa yang berkaitan kewangan mestilah telus dan mempunyai sistem yang tiada siapa boleh merubahnya kecuali keputusan parlimen. Dengan perkataan lain mestilah mengikut atau mempunyai akta tertentu.

Rakyat juga telah sadar tindak tanduk kerajaan mencari wang untuk belanja pilihanraya. Apabila kerajaan akan mengadakan pilihanraya maka pelbagai agen penguatkuasa akan diarah menggandakan kerja-kerja mencari kesalahan dan menyaman rakyat. Agensi yang mempunyai kuasa dan akta membolehkan saman, akan dikerah sepenuhnya sehingga agensi yang bertimbang rasa dan tidak berjaya mengutip saman atau denda cukai yang diharapkan pernah dihadiahkan penyapu.

Pada waktu yang sama kerajaan di peringkat pusat pula akan meluluskan pelbagai projek mega dan tender-tender dikerah dibuka segera. Sebenarnya apabila banyak projek diluluskan maka banyaklah duit kroni mahupun duit sumbangan akan masuk atau berlakon sebagai penaja pelbagai aktiviti parti kerajaan. Secara tidak langsung, politik wang dan budaya rasuah pun subur.

Tun Sheikh masih teringat di awal tahun 1990-an dulu kerajaan pernah memberi kuasa kepada pegawai awam dari kumpulan A atau professional membuat laporan kesalahan pengguna jalan raya kepada JPJ. Akibatnya pernah berlaku pegawai polis dan pegawai awam yang berjiran bermusuhan kerana kuasa liar ini. Polis dengan kuasa menjaga keamanan 24 jam telah salah guna kuasa dan begitu juga pegawai awam yang membalas dendam pegawai polis yang tidak mahu membantunya melepaskan kes saudara mara dengan membuat laporan kesalahan jalan raya yang telah menyusahkan kedua belah pihak. Berikutan dari itu kuasa kepada pegawai awam ini ditarik balik dan Tun Sheikh sangat bersetuju keputusan memberi kuasa kepada pegawai awam yang tidak relevan adalah keputusan dangkal pemimpin politik UMNO ketika itu.

Begitu juga dengan arahan memasang lampu lori dan lampu motosikal di siang hari atas dasar keselamatan yang ditiru dari sebuah negara eropah. Ironinya kerajaan tidak mengambil tahu apabila terdapat sungutan dan laporan kenaikan harga mentol lampu kenderaan berkenaan kerana pembekal kehabisan setok berikutan permintaan berlipat kali ganda dari pelanggan atau pengguna. Apabila persatuan pengguna menyiasatnya, mereka mendapati memang berlaku kehabisan setok kerana kenderaan yang diwajibkan memasang lampu siang hari cepat rosak dan menjadi beban pemiliknya. Kerajaan seolah-olah malu untuk menarik balik arahan yang tidak bijak itu dan sehingga ke hari ini hal itu senyap begitu sahaja.

Berbalik kepada saman ekor, Tun Sheikh amat teruja apabila terkena batang hidung sendiri. Memang Tun Sheikh berterima kasih kepada PAS yang mengangkat kes saman ekor ini ke peringkat nasional dan terasa PAS memang telah berjasa kepada rakyat biasa. Pada hujung Julai lepas kereta isteri Tun Sheikh telah tamat cukai jalan. Kereta ini digunakan seharian pergi mengajar selaku pegawai pendidikan atau guru sekolah pada istilah yang mudah. Jika pangkat besar tentunya ada disediakan kenderaan khas kerajaan tapi kita ini rakyat biasa. Seminggu sebelum tamat tempuh cukai jalan, Tun Sheikh telah membayar wang pembaharuan cukai jalan dan insuran kepada pihak bank yang menyimpan buku daftar kenderaan kerana membeli kereta menggunakan pinjaman bank untuk menguruskannya.

Malangnya seminggu setelah tamat tarikh cukai jalan, pihak bank memaklumkan cukai jalan kereta isteri Tun Sheikh tidak boleh diperbaharui kerana disekat JPJ. Isteri di Johor Bahru setiap hari menalifon Tun Sheikh yang bekerja di Kuala Lumpur kerana risau kereta yang terpaksa dipandu ke sekolah tiada cukai jalan. Apabila Tun Sheikh menghubungi JPJ, rupa-rupanya gara-gara saman ekor yang dikeluarkan pada tahun 2008. Pelik, sebab selama ini tiada makluman dan tiada sekatan pada tahun 2009 dan 2010. Pihak bank tidak boleh berbuat apa-apa kecuali setelah Tun Sheikh membayar saman ekor. Nasib menyebelahi Tun Sheikh apabila pada waktu yang sama Parti PAS membuat beberapa demontrasi jalanan mendakwa saman ekor adalah tidak wajar kepada dunia yang moden dan bertamaddun kerana ia bersifat draconian atau penindasan.

Apabila kerajaan melonggarkan tempuh bayaran denda saman ekor, secara otomatis cukai jalan kereta isteri Tun Sheikh dapat diperbaharui oleh pihak bank setelah tiga minggu tergantung kelewatan. Tun Sheikh juga tidak berpuashati terhadap tarikh, masa, tempat dan tahun kena saman ekor kerana masa itu kereta itu bukan dalam tangan kami tetapi dipakai saudara. Untuk menyiasat perkara yang sudah lama di kalangan saudara juga adalah sensitif hingga boleh menyebabkan pergaduhan atau putus sirahturahim. Ini semua mestilah difikirkan oleh kerajaan yang mengaku bijaksana yang kini berikrar mula sadar diri, berkhidmat untuk rakyat. Jangan retorik saja kerana rakyat majoritinya sudah pandai tidak seperti dulu yang mudah ditipu pemimpin.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Blog Tun Sheikh
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere