KIBARAN BENDERA-BENDERA HARAM MENJELANG PILIHANRAYA 13 2013



KIBARAN BENDERA-BENDERA HARAM MENJELANG PILIHANRAYA 13 2013

Minggu ini (22-26 Februari 2013) dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru, Tun Sheikh telah ikut jalan lama melalui Kajang, Bangi, Seremban, Pedas, Rembau, Tampin, Tangkak, Muar, Yong Peng, Air Hitam, Kulai dan Johor Bahru. Di tempat-tempat itu Tun Sheikh telah singgah sebentar di rumah saudara mara dan sahabat handai dan menginap satu malam di rumah kakak di Tangkak. Dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur, Tun Sheikh telah menggunakan jalan pantai melalui Pontian dan menginap di rumah mertua di Benut kemudian meneruskan perjalanan  melalui, Rengit, Sengarang, Bandar Batu Pahat, Bagan , Semerah, Parit Jawa Muar, Bandar Muar dan terus mengikut jalan lama iaitu jalan pantai ke Melaka.

 Di Bandar Melaka Tun Sheikh menginap selama dua malam kerana ada kerja-kerja penyelidikan dan penerbitan disamping bertemu kawan-kawan lama. Kami bercerita tentang politik Melaka. Kemudian pada petang Selasa 26 Februari Tun Sheikh meneruskan perjalanan ke Masjid Tanah, Linggi, Telok Kemang, Sepang, Dengkil, Bangi, Kajang dan Hulu Langat. Semua tempat-tempat yang disebutkan itu adalah tempat laluan dan perhentian Tun Sheikh kerana menziarah anak buah dan keluarga mereka. 

Topik yang Tun Sheikh bangkitkan kepada mereka adalah mengenai pandangan  terhadap perkembangan politik di tempat mereka sendiri. Boleh dikatakan pengaruh politik di kalangan mereka adalah bergantung kepada tahap pendidikan mereka dan anak-anak dalam jagaan mereka. Saudara-mara dan anak buah Tun Sheikh yang tidak berijazah tetapi mempunyai ramai anak di universiti atau pusat pengajian tinggi, kesemuanya sangat berminat kepada ideologi Pakatan Rakyat. Mereka sangat yakin bahawa Pakatan Rakyat adalah satu gabungan parti politik baru yang lebih baik daripada BN.

 Apabila ditanya apa yang lebihnya Pakatan Rakyat? Mereka mengatakan bahawa jika dilihat dari segi kemahiran atau golongan profesional dalam Pakatan Rakyat, mereka adalah lebih menonjol dari UMNOBN. Orang Melayu terutamanya yang berada dalam Pakatan Rakyat kelihatan meminati agama, jujur dan amanah dan terdiri dari penduduk tempatan atau kenalan yang dikenali yang memang berwatak atau berperangai baik dan dihormati di tempat mereka.

 Dalam keadaan politik sekarang mereka yang menyokong PAS adalah amat ketara sekali  kerana memang dikenali sebelum ini dan mereka adalah orang yang rajin ke masjid dan surau. Anak-anak muda yang berpendidikan dan professional  cenderung kepada PKR kerana dianggap aktif dan agresif. Mereka juga berminat kepada PAS. Mereka memberitahu bahawa sebelum ini mereka tidak terdedah dengan aktiviti atau perjuangan pemuda atau belia-belia bukan Melayu tetapi sejak menyertai aktiviti Pakatan Rakyat, mereka bergaul dengan baik dan bersetuju dengan idea yang sama iaitu menubuh dan mengamal nilai kehidupan sejagat yang berkebajikan. 

Tun Sheikh beberapa kali memprovokasi minda mereka dengan mengatakan UMNOBN telah mempeloporinya tetapi ditolak dan tidak dipersetujui oleh mereka. Mereka tidak menafikan bahawa UMNOBN pernah bersatupatu dan  menjalankan aktiviti perpaduan. Mereka mengakui banyak perkara yang baik telah dilakukan oleh UMNOBN tetapi mereka tidak dapat menerima budaya rasuah UMNOBN. Mereka tidak dapat menerima budaya penipuan dan memperbodohkan rakyat terutamanya kepada orang tua dan orang kampung oleh UMNOBN. Mereka mengatakan bahawa mereka pernah menegur tetapi dipandang serong oleh kepimpinan UMNOBN dari peringkat bawah hingga ke peringkat atasan. 

UMNOBN menerima cadangan pembangunan mereka tetapi apabila ditegur cara pelaksanaannya yang penuh rasuah, pilih bulu dan mementingkan diri sendiri, pandangan mereka diketepikan malah ada juga diherdik seolah-olah UMNOBN berkuasa dan patut melakukannya. Dalam perkataan lain,  orang bawahan atau rakyat banyak tidak perlu mempertikaikan amalan rasuah, kroni  dan sebarang proses penyelewengan yang telah membudaya asalkan projek dan kehendak yang diminta itu dilaksana atau dilakukan oleh kerajaan UMNOBN.

Kepada saudara mara Tun Sheikh yang yang tidak tinggi pendidikan,  yang biasanya hanya ada sijil SPM atau setakat bersekolah hingga tamat tingkatan 5 yang tiada anak-anak menuntut di pusat pengajian tinggi  dan pekerjaan mereka juga hanya cukup untuk menampung hidup yang sederhana, mereka masih terpengaruh atau sayang kepada UMNOBN. Bagi mereka, UMNO atau kerajaan memang selama ini telah mengutamakan orang Melayu dan membantu orang kampong dengan memberi pelbagai kemudahan dan insentif seperti jalanraya, air, elektrik, surau, benih, baja dan sebagainya. Mereka tidak kisah sangat siapa pemimpin UMNO di tempat mereka. Mereka tidak ambil kisah tentang penyelewengan dan kekayaan yang dinikmati oleh pemimpin  kerana  tiada kepentingan. Bagi mereka,  pemimpin yang kaya-raya itu adalah baik kerana dapat membantu mereka semasa terdesak. 

Bagaimana pemimpin UMNOBN menjadi kaya,  sama ada menerusi  pecah amanah atau penyelewengan bukanlah masalah mereka. Mereka tidak nampak jika pemimpin yang amanah dan jujur adalah lebih baik daripada pemimpin sedia ada walau perasuah. Ini adalah kerana yang kena bayar rasuah adalah bukan mereka.  Mereka memberi contoh, ketika ini iaitu menjelang hari PR13 kehangatannya sudah mula dirasakan. Mereka dapat duit sampingan bagi memasang dan mengibarkan bendera UMNOBN. Ada pula penjaganya yang diupah setelah bendera itu dipasang atau digantung dimana-mana tempat yang dikehendaki. Mereka tidak perlu berfikir panjang apabila diarah supaya jangan membenarkan bendera selain UMNOBN dikibarkan berdekatan atau di kawasan mereka. Mereka tidak faham apa erti keadilan dalam demokrasi. Yang ditekannya hanya UMNOBN sahaja yang baik dan selain itu jahat atau buruk.

 Sebenarnya mereka tidak sadar diri mereka ditipu oleh pemimpin UMNOBN dalam soal kebebasan berfahaman politik dan mereka tidak mengetahui bahawa suara mereka sebenarnya adalah suara yang menentukan corak pemerintahan negara.  Mereka tidak tahu atau tidak peduli larangan memasang dan mengibarkan bendera parti sebelum kelulusan rasmi. Atau mungkin mereka tahu bahawa larangan memasang dan mengibarkan bendera parti dari segi undang-undang tetapi mereka melakukannya juga,  kerana berasa ada kekebalan dan kebanggaan diri yang dipupuk oleh pemimpin mereka. Dalam keadaan yang sadar juga mereka tidak menerima bendera selain UMNOBN dikibarkan kerana diarahkan begitu.

 Sepanjang perjalanan Tun Sheikh tersebut, isu pengibaran bendera ini juga menjadi isu utama. Adalah disimpulkan bahawa  mereka melakukannya kerana di arah dan mereka sanggup merosakkan bendera lain kerana telah diarahkan begitu. Apa yang menarik kepada Tun Sheikh ialah mendapati banyak bendera UMNOBN yang dipasang tidak dijaga baik seperti bendera-bendera parti Pakatan Rakyat. Banyak bendera yang koyak, jatuh, patah tiang buluh dibiarkan sahaja. Manakala bendera-bendera Pakatan Rakyat di sepanjang jalan dari Kuala Lumpur ke Johor Baharu di jalan darat mahupun jalan pantai meski pun tidak dapat menandingi jumlah banyaknya dengan bendera UMNOBN tetapi berada dalam keadaan cantik, baik dan terjaga rapi.

 Apabila mempersoalkannya kepada keluarga yang menyokong UMNOBN, mereka mengatakan bahawa mereka tidak perlu ambil tahu atau mempedulikannya kerana ada orang telah diupah untuk menjaga bendera itu. Maka tergambarlah dibenak Tun Sheikh bahawa amalan rasuah dan penyelewengan ini telah juga membudaya hingga ke akar umbi. Yang diupah tidak beramanah kerana membiarkan bendera yang telah koyak atau tiang yang patah  boleh membahayakan pengguna jalan raya.  Hal ini tidak berlaku dalam PAS atau Pakatan Rakyat kerana kebanyakan bendera yang dipasang adalah hasil duit saku mereka sendiri. Mereka mengibarkan atau memacakkannya di hadapan rumah mereka dan mereka menjaganya dengan baik.

 Mereka tahu sepatutnya belum masanya lagi untuk mengibarkan bendera sempena PR13 tetapi memandangkan UMNOBN telah melakukannya maka adalah kelihatan adil dan tidak kelihatan ketinggalan jika mereka turut sama mengibarkan bendera Pakatan Rakyat. Banyak bendera Pakatan Rakyat dikhianati. Mereka patuh dengan arahan jangan bergaduh tetapi diminta berdoa mengadukan kepada Tuhan perihal kejahatan dan kezaliman serta perangai samseng UMNOBN, mudah-mudahan kezaliman UMNOBN menjadi penyebab kekalahan mereka atau setidak-tidaknya kehidupan mereka tidak diberkati Allah kerana penganiayaan yang dilakukan terhadap penyokong Pakatan Rakyat.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Hulu Langat Selangor 27.2.2013

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Blog Tun Sheikh
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere