MENGAPA PENULIS MELAYU TIDAK MAJU

PERKEMBANGAN PEMIKIRAN MELAYU KONTEMPORARI LAMBAT KERANA NASIB PENULIS TERABAI

Tun Sheikh masih teringat lagi kata-kata nasihat malah sebagai pengajaran dan tunjuk ajar daripada Allahyarham Cikgu Shaharom Hussein mengenai nasib penulis Melayu. Beliau adalah seorang penulis sepanjang hayat yang mempunyai prinsip di samping sebagai seorang guru (sebenarnya seorang pensyarah bertauliah) memang berasa sedih dan kecewa mengenai hal ini. Dalam satu perbincangan, pernah Tun Sheikh mengutarakan permasalahan atau topik kepada beliau berkenaan mengapa penulis-penulis Melayu tidak maju. Beliau sangat tertarik dan memberi beberapa pandangan kerana beliau sendiri berpengalaman mengenai hal ini.

Cikgu Shaharom banyak berkenalan dengan penulis-penulis barat dan mendapti di sana sungguh berbeza dengan negara kita. Beliau sendiri pernah menerima penghormatan sebagai Penulis Asia Tersohor dari Persatuan Penulis Barat yang berpusat di Britain. Tetapi jika dibanding dengan penulis Barat yang belum dianugerah penghormatan seperti beliau walau hanya telah menghasilkan sebuah buku yang bermutu, mereka lebih bernasib baik dan sentiasa mendapat insentif dan ransangan dari pelbagai agensi dan juga kerajaan.

Cikgu Shaharom berkata, antara sebab penulis kita tidak maju adalah kerana nasib dan kerjaya mereka tidak dibela dengan wajar, sesuai dengan sumbangan keintelektualan mereka. Budaya pembawaan diri, sikap penulis, adat dan akhirnya menjadi kebudayaan warga penulis itu juga tidak ke arah mengangkat martabat mereka. Dengan perkataan lain, budaya kerja penulis Melayu ini tidak dihargai oleh penulis dan masyarakat Melayu sendiri. Pempimpin Melayu pula tidak memberi sokong dan dokongan padu.

Beliau berkata, jika di negara barat, sesebuah penulisan yang didapati baik dan berfaedah kepada masyarakat atau manusia akan diangkat dan diberi nilai yang sangat selesa kepada penulis meskipun hasil penulisannya baru sebuah. Tidak kira penulis itu tidak terkenal atau sudah terkenal asalkan hasil penulisannya yang satu itu dinilai sebagai sangat bermutu dan bermanfaat kepada manusia atau kebudayaan sejagat maka ia akan diangkat. Hasil penulisan atau buku itu akan diperkenalkan dan diiklan serta diberi galakan agar orang membeli dan membacanya.

Nama penulis adalah perkara kedua yang mengikut kemudian dibelakang tajuk buku yang ditulisnya itu. Maksudnya, di barat mereka mengutamakan hasil dan mutu penulisannya. Bukan penulisnya. Dan maksud nilai yang sangat selesa ialah pada kebiasaannya penulis kepada buku berkenaan akan diberi pelbagai insentif bagi menggalakkan lagi beliau terus berkarya. Biasanya hasil penulisan sebuah buku yang terpilih itu boleh menampung kos hidup dengan keperluan asas yang minima selama lima hingga sepuluh tahun tanpa penulis berkenaan perlu bekerja lain. Penulis tidak perlu kerja atau terpaksa membuat kerja-kerja sampingan untuk menampung kos hidup mereka. Bayangkan dengan hanya sebuah karya yang bermutu dan terpilih mereka sudah berasa terjamin dalam hidup dan boleh terus berkarya. Ini bererti mereka akan dapat terus berfikir dan terus berkarya selama lima hingga sepuluh tahun tanpa sebarang gangguan, halangan atau masalah mencari kewangan membiayai keperluan hidup mereka.

Berbanding di sini, karya-karya yang baik, tidak mendapat pengiktirafan selayaknya. Pemimpin negara tidak menyumbang secara serius dalam hal penulisan dan kepengarangan ini. Penulis sendirilah yang bertungkus lumus dan pada amalannya penulis yang telah terkenal sahaja yang diutamakan. Meskipun begitu mereka masih tidak dapat menikmati hidup yang selesa saeperti penulis-penulis Barat yang berhasil menulis walau hanya sebuah karya.

Antara penyebab lain yang mengakibatkan penulis Melayu tidak maju, ialah amalan budaya penulis atau orang yang terlibat dalam bidang penulisan dan kepengarangan itu sendiri. Mereka suka atau bersikap merompak idea orang lain dan mengaku sebagai idea sendiri. Sikap yang tidak jujur ini banyak diamalkan oleh pengarang, penyunting dan penulis Melayu. Mereka membaca kiriman orang yang tidak terkenal tetapi bila mendapati idea itu baik, mereka melambatkan atau tidak menerbitkan langsung tetapi mereka mengolahnya dan mengaku idea yang baik itu adalah idea dirinya.

Satu perkara lagi yang tidak mengangkat penulis Melayu maju ialah sistem atau amalan pembayaran imbuhan. Orang Melayu sangat liat untuk membayar imbuhan atau pembayaran kepada penulis. Kelewatan pembayaran dengan pelbagai alasan, serta berdolak-dalih digunakan apabila dituntut oleh penulis dan ini menyebabkan penulis rasa kecewa dan menganggu pemikiran dan perkaryaan mereka untuk terus mengarang dan menulis.

Banyak lagi yang diperkatakan oleh Cikgu Shaharom dan Tun Sheikh amat bersetuju dengan beliau. Bila kita perhatikan keselesaan hidup seperti Sasterawan Negara, kita akan mendapati mereka terpaksa terus bertungkus lumus bekerja dan pengkaryaan mereka seolah-olah terhasil selepas waktu mereka selesai bekerja iaitu diwaktu senggang atau waktu lapang. Kadang-kadang ada diantara mereka berkarya seperti mengikut arahan pihak berkuasa pula kerana mungkin disebabkan keterikatan dalam sesuatu hal yang mereka sahaja mengetahuinya.

Sehubungan dengan itu, adalah diharap nasib penulis Melayu akan berubah kepada suatu tahap keselesaan hidup yang terjamin dan memberansangkan proses pengkaryaan. Ini dapat dicapai dengan mengubah amalan dan budaya kerja terhadap diri penulis sendiri dahulu dengan mengenepikan sikap bias dan hendaklah menghormati karya dan ilham orang lain walau hanya dari seorang budak kecil. Kerajaan hendaklah juga memberi jaminan keperluan mereka dan segera memasyarakatkan hasil karya mereka yang bermutu serta menggalakkan rakyat memiliki dan membacanya.

Oleh Tun Sheikh

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Blog Tun Sheikh
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere