DUA BOM YANG MENGGEMPARKAN

0 comments
PENGALAMAN PERISTIWA PENEMUAN BOM YANG MENGGEMPARKAN

Di usia menjangkau separuh abad dalam menceritakan pengalaman peristiwa penemuan bom bolehlah Tun Sheikh umpamakan seperti peristiwa seseorang yang bertemu hantu. Orang yang bertemu hantu tidak begitu gairah untuk bercerita kecuali sepatah dua kata-kata yang perlu kerana masih terasa kengerian dan ketakutan atau tidak tahu untuk menggambarkannya bagaimana kerana tidak pernah bertemu sebelum itu dan tidak tahu bahayanya. Tetapi cerita dari sepatah dua kata itu diolah oleh pembawa atau pembuat berita seolah-olah dia yang menemui hantu yang diceritakan itu dengan segala tokok tambah hingga menjadi sebuah berita bohong yang menarik. Akhirnya apabila pengolahan cerita itu sampai ke tahap tidak logik maka mangsa yang dianggap pembohong atau penipu ialah orang yang benar-benar bertemu hantu tadi. Manakala pembawa cerita yang mengolah pembohongan selamat dari tuduhan menipu.

Ini adalah pengalaman Tun Sheikh yang telah menyaksikan penemuan dua biji bom roket di dua lokasi dan masa yang berlainan. Satu peristiwa ialah semasa berusia 6 tahun di hujung kampung Tun Sheikh ketika seorang apek (Cina tua) menjumpai dua biji bom sebesar 2 kaki setiap satu terbenam di halaman rumahnya ketika beliau sedang menggali tanah untuk membuat kolam menternak itek. Berduyun-duyun orang datang untuk melihat sendiri dan pelbagai bentuk cerita yang Tun Sheikh dengar. Entah macam mana boleh menjadi andaian dan spekulasi melalut-lalut tidaklah Tun Sheikh tahu tetapi apabila Tun Sheikh cuba menceritakan apa yang Tun Sheikh lihat dan dengar dari kata-kata apek itu sendiri, tiada yang percaya kerana Tun Sheikh hanya seorang kanak-kanak.

Polis telah mengesahkan bahawa itu memanglah 2 biji bom yang digugurkan dari kapalterbang British masa perang Jepun dan apabila pihak tentera datang memeriksa, mereka telah mengesahkan bahawa bom itu masih aktif dan mengambilnya untuk pemusnahan. Pelbagai soalan ditanya oleh polis kepada apek tua yang jujur itu sampai terketar-ketar dibuatnya. Sehingga kini masih tergiang-ngiang ditelinga Tun Sheikh teringatkan soalan-soalan gempak dan provokasi polis kepada seorang tua dengan begitu kurang ajar sehingga Tun Sheikh tidak berminat langsung untuk bekerja sebagai polis. Soalan polis yang tidak dapat dilupakan kerana berbunyi keras dan jahat manakala jawapan apek yang ketakutan itu berbunyi lucu.
'Apek elu apa kelija?'
'Kelija itula..latok kenal saya..ali-ali jumpa'
'Ya..itu sikalang, tapi muda-muda, kelija apa? Ada jadi kominiska..?'
'Ta.la saya olang bolo lagi belon kawin sampei sikalang ilup makan tai'.
'Apek kelija angkat tai atau makan tai?'
'Itu makan angkat tai la..?'
'Apa?'
'Saya..lagi muda sampai sikalang makan itu kelija angkat tai.. takla laing'.

Selama lebih kurang 3 bulan cerita penemuan bom di rumah apek kerja mengangkut najis heboh. Ada pulak kata, apek sudah kena tangkap polis sebab dia kominis. Ada yang tambah cerita mendengar kapal terbang Jepun tembak menembak dan terhempas di situ.Ada pulak cerita apek itu tidak kahwin sebab hari-hari makan tahi. Tun Sheikh naik bosan bila dengar orang tua-tua kita bercerita. Hendak menyampuk memang tidak boleh. Entah bila apek kena tangkap entahlah. Pada hal Tun Sheikh dan kawan-kawan sering menyakat apek tua itu masa dia balik kerja. Kami jerit ' apek busuk, apek busuk...larii.. apek angkat tahi' Apek hanya tersenyum saja. Dia mati sakit tua dan hanya diketahui setelah beberapa hari oleh orang kampung, apabila bau busuk datang dari rumahnya. Di kalangan orang tua-tua pula, jika anak nakal, mereka akan menakut -nakutkan anak dengan kata-kata ' aku baling kang dengan bom tai apek...

Peristiwa kedua ialah pada tahun 2002 kalau tidak silap apabila dua orang gadis dari sebuah kampung tersalah menghantar dua biji bom untuk diserahkannya. Mereka celaru samada hendak menghantarnya ke pejabat berita, ke muzium, ke Majlis Bandaaran atau ke balai polis kerana mereka menyangka bom itu hanyalah hiasan rumahnya saja semenjak kecil lagi. Apabila bapanya meninggal dan mendengar berita letupan bom di Indonesia, Thailand, Filiphina, Singapura dan merata tempat berikutan keganasan teroris meletupkan World Trade Center di New York, mereka pun memutuskan untuk menyerahkan kepada kerajaan dan ingin masuk berita dahulu.

Tun Sheikh telah menghubungi pihak berwajib dan dua biji bom sebesar hampir dua kaki itu dibawa pergi. Ketika balik dari kerja macam-macam berita Tun Sheikh dengar kerana orang berasa cemas kawasan dan kompleks pejabat kami dan pejabat-pejabat berdekatan dikepung dan dikawal oleh ratusan polis dan beberapa buah ambulan tanpa kami sedar. Yang kelakarnya, Tun Sheikh mendengar cerita ada orang pengsang, ada orang mengamuk, ada banduan berhampiran terlepas dan yang paling lucu berita angin mengatakan ada teroris bawa bom tetapi tidak tahu pejabat mana. Kami diarah rahsia dan tutup mulut maka tiada berita dan pihak berita juga dilarang polis membuat liputan untuk keselamatan negara.

Sehubungan dengan itu, sukalah Tun Sheikh menasihati para pembaca di sini, sekiranya anda menjumpai bom, segeralah melaporkan kepada polis tanpa menyentuhnya dan bertindaklah senyap-senyap kerana berita mengenai bom itu termasuk cerita pembohongannya tidaklah sama seperti cerita menjumpai peluru malahan letupan beritanya adalah lebih kuat dari bom itu sendiri.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
 
Copyright 2009 Blog Tun Sheikh
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere