Senjata Ampuh Orang Islam Adalah Solat Dan Doa


Senjata Ampuh Orang Islam Adalah Solat Dan Doa

Setiap hari kelihatan UMNOBN terus mengukuhkan tentera sesat mereka dengan semangat  samseng yang berkobar-kobar. Orang yang berpelajaran tinggi lebih-lebih lagi yang mempunyai latar belakang pendidikan agama, kelihatan mengangkat tangan dan tidak mahu campur. Mereka berasa kesal  dan sanggup mengakui sebagai orang di atas pagar apabila pemuda dan orang dewasa ahli UMNO yang tidak berpelajaran tinggi dipergunakan oleh pemimpin mereka untuk memprovokasi perasaan rakyat agar keamanan yang sedang dikecapi bertukar menjadi huru hara. Mereka berselindung dengan alasan bahawa suasana akan bertambah kacau dan keamanan tidak akan terjamin jika rakyat tidak menyokong UMNOBN.

Pemikiran sebegini sebenarnya adalah pemikiran orang yang sesat budaya. Mereka terhijab dengan suasana yang disangka harmoni tetapi penuh dengan penindasan minda dari pihak yang berkuasa. Keamanan dan keharmonian diuar-uarkan adalah hasil dari usaha dan tindakan mereka. Pada waktu yang sama mereka menindas rakyat dengan pelbagai tekanan samada melalui kebebasan pemikiran, ekonomi dan juga kemasyarakatan.

Mereka mengaku bekerja demi untuk faedah rakyat tetapi sebenarnya adalah untuk kepentingan diri sendiri dan para kroni. Jika boleh diberi nilai 10, rakyat sebenarnya hanya mengecapi 1/10 manakala mereka menikmati 9/10. Dengan segala kuasa politik dan wang yang dikuasai,  mereka menanam dan mempengaruhi minda rakyat supaya terus terpengaruh dengan objektif mereka. Mereka menutup rahsia sesama mereka. Mereka benar-benar  telah lupa bahawa penyelewengan dan penindasan mereka tidak disukai oleh Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Rakyat adalah diseru supaya jangan menyebelahi mereka. Ini adalah kerana, ternyata mereka adalah golongan yang melakukan kemungkaran. Mereka menindas dengan begitu halus melalui pelbagai akta dan peraturan. Paling mudah untuk mengenal kebejatan mereka adalah melalui tindakan mereka sendiri. Mereka bertindak ganas membaling batu dan memperovok pergaduhan. Pergaduhan adalah suatu perlakuan yang tidak baik. Pergaduhan akan mencetuskan huru-hara. Mereka memaksakan yang hitam dianggap putih dan yang putih dikatakan hitam.

Kepada umat Islam dan rakyat yang mencintai keamanan,  keamanan dan keharmonian terlahir dari usaha dan ikhtiar yang datang dari hati dan jiwa yang ikhlas. Keharmonian mencipta ketenangan dan kebebasan. Ketenangan tidak lahir dari kezaliman dan penganiayaan. Sekiranya telah jelas diri dizalimi dan dianiaya oleh UMNOBN, maka ada hadiah dari Tuhan Yang Maha Esa untuk dijadikan senjata yang begitu ampuh, berkesan dan istimewa. Itulah solat dan doa. Bersolat dan berdoalah kerana Tuhan berjanji bahawa solat dan doa orang yang dizalimi terus diterima. Permintaan dalam doa akan terus dimakbul dan janji Tuhan tidak pernah bohong.

Ikutlah contoh Sultan dan Menteri Besar Kelantan yang sanggup bersolat dan berdoa di mana sahaja yang tidak bercanggah dengan syariat. Ini adalah kerana bumi ini telah dianugerahkan Allah kepada umat Muhammad SAW sebagai masjid. Dan umat Muhammad SAW adalah tiada perantaraan dengan Tuhan Yang Maha Kuasa. Nilai makbul adalah bergantung kepada suasana kezaliman dan penganiayaan yang dilakukan. Berdoalah dan jangan takut dan jangan menghiraukan ugutan dan tuduhan orang yang fasik. Hendaklah yakin walaupun terjadi sama-sama berdoa dan sama-sama solat dan sama-sama seagama, Tuhan itu Maha adil dan Tuhan akan makbulkan doa orang yang teraniaya. Malah meskipun kita Islam tetapi jika zalim terhadap binatang dan makhluk lain atau orang kafir, maka doa mereka menuntut balasan daripada Tuhan terhadap kezaliman kita juga tidak berhijab dan akan termakbul.

Biarlah UMNOBN coba mengelirukan kefahaman rakyat tetapi jika kita yakin dan kezaliman mereka adalah nyata maka ketahuilah bahawa doa kita adalah didengar oleh Tuhan daripada doa mereka. Doa kita yang dizalimi dan dianiaya oleh UMNOBN akan cepat makbul tanpa hijab berbanding dengan doa mereka yang juga mengaku Islam tetapi berlaku zalim dan melakukan penganiayaan. Solat  dan doa adalah senjata orang mukmin dan usahlah malu atau enggan menggunakan senjata ampuh hadiah istimewa daripada Tuhan sekalian alam ini.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Damansara 10.12.2012

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Blog Tun Sheikh
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere