Penulisan Kepengarangan
Lebih Berkesan Daripada Media Pesanan Ringkas Untuk Kemajuan Budaya
Hari ini genap satu tahun enam bulan Tun Sheikh bertindak
pasif dalam blog setelah saudara mara terdekat dalam semua parti politik dan
juga yang bekerja dengan kerajaan dan
NGO menasihatkan Tun Sheikh bertukar wadah buat sementara. Ini adalah kerana
tindakan tolol orang yang berkuasa membabi buta memaksakan kelulusan sebuah
akta yang memberi kuasa penuh kepada kerajaan bagi menahan seseorang walau
dengan perkara yang remeh temeh dengan tuduhan menghasut atau membahayakan
keselamatan Negara. Apa yang tersirat sebenarnya adalah untuk menjaga
kepentingan mereka mengekalkan kuasa dan sebagai pelindungan dari kelihatan
bersalah melakukan penyelewengan. Akta ini telah diluluskan di parlimen dan
serentak dengan itu satu operasi besar-besaran telah dilakukan dengan maksud
bahawa kerajaan kononnya amat serius
menjaga keamanan Negara dan keselamatan rakyat diutamakan.
Disebabkan selama ini sumber berita ‘first hand news’ banyak
daripada mereka, Tun Sheikh akur dengan nasihat mereka. Tun Sheikh aktif dengan
akaun baru dalam wathsapp atau wasap, telegram, twitter dan facebook yang
memakai pelbagai nama pena. Memang responnya cepat tetapi di dalam facebook
terasa Tun Sheikh dipantau terus oleh hantu-hantu yang
cari makan melalui upahan membuat komen-komen bodoh yang bertungkus lumus
berusaha untuk menyekat minda orang atau rakyat yang nampak penyelewengan yang
sedang menjadi budaya. Manakala melalui wasap, telegram dan twitter responnya
memang cepat malah boleh berinteraksi dengan tokoh mahupun pemimpin ternama yang mempunyai
akaun serupa, tetapi nilai pengajaran
dan pembelajarannya agak kurang kerana pada kebiasaannya orang yang menggunakan
wadah itu telah mempunyai keputusan sendiri. Wadah berkenaan seolah-olah
digunakan untuk menguji pasaran pandangan dirinya saja.
Selama dalam tempuh jangka waktu tersebut Tun Sheikh berasa
amat terkekang kerana aktiviti dalam wasap, telegram, twitter dll adalah terhad
dan terasa tidak berupaya disimpan dalam arkib atau boleh dirujuk secara
intelektual. Maksudnya semua urusan bicara kita dalam wadah tersebut hanya
untuk respon segera sebagai hiburan mahupun makluman segera sahaja. Namun masa
yang diambil sebenarnya lebih kurang sama dengan menulis di blog. Bedanya hanya
tulis dalam twitter, wasap atau telegram dll itu tidak perlu menggunakan bahasa
yang meleret atau formal. Meskipun begitu kita tetap akan leka jika kita terus
mengikuti dan menggunakannya sehingga boleh dikatakan akan mencuri masa kita
atau mengganggu waktu kita yang kita peruntukkan untuk program lain.
Sepanjang tempoh setahun setengah itu
Tun Sheikh berasa terlalu banyak topik,peristiwa penting, berita menarik dan
pelbagai isu yang boleh dikongsi bersama jika dikupas atau disalurkan dalam
blog berbanding apparatus lain. Sayang sekali para pemimpin kita masa ini lebih
mementingkan kepentingan diri, kedudukan diri dan kehormatan peribadi daripada
matlamat mereka dipilih sebagai pemimpin untuk menjaga kepentingan rakyat.
Penulis mahupun pemerhati yang kritis dituduh pengkhianat atau penghasut. Dan
lebih berat sebagai pengancam keselamatan dan pengancam keamanan. Mereka
disusahkan dan pandangan serta tegoran mereka tidak diambil peduli. Mereka tidak dilayan
sebagai suatu golongan yang positif. Penulis dan pengkritik selalu dianggap
sebagai penyibuk, penghasut dan pengacau.
Tun Sheikh berasa amat tertekan
dengan perkembangan mutahir ini. Tun Sheikh berazam untuk menulis semula dalam
blog dan berharap ini sebagai suatu kebaikan dari niat yang murni. Namun
nasihat kaum kerabat yang risau terhadap kezaliman pihak berkuasa terhadap
penulis kerdil seperti Tun Sheikh telah memaksakan Tun Sheikh menggunakan
kata-kata dan istilah sindiran dengan harapan pembaca mengerti dan faham. Tun
Sheikh amat yakin akan sampai juga suatu
masa nanti di mana kebenaran adalah yang hak dan keintelektualan tidak disekat
atau dizalimi kerana memelihara budaya yang buruk.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
K.Lumpur,1 Ramadhan/18 Jun 2015