NASIB PARA KARYAWAN DAN PENGKRITIK POSITIF MALAYSIA

NASIB PENGKARYA DAN PARA KOMENTAR KRITIS MALAYSIA

Ketika ini amat terasa kebebasan menulis, berbicara, memberi pandangan atau komentar sudah tidak sebebas lagi mengikut etika kewartawanan dan disipilin badan-badan penulisan. Ini adalah kerana bahan atau hasil penulisan begitu mudah dimanipulasikan oleh kuasa atau individu yang berkepentingan bagi menutup aib atau kesilapan mahupun tindakan zalim yang pernah dilakukan. Mereka seolah-olah terlindung dari diperkatakan mengikut saluran perundangan melalui saman-saman yang memihak kepada mereka. Individu, badan dan kesatuan penulis pula biasanya tidak mampu membayar saman yang dituntut. Begitu juga kepada para penerbit dan pemilik mesin percetakan yang banyak terpaksa ditutup dan diumumkan bankerap kerana tidak mampu membayar tuntutan saman yang melampau dan sah dari mahkamah.

Isu ini sehingga ke hari ini tidak memihak kepada pengusaha dan pengkarya atau para penulis. Mereka seperti terpaksa mengikut arus yang dikehendaki dan disenangi oleh pihak yang berkuasa sama ada dalam politik atau para pemodal besar. Akibat yang amat ketara ialah sepinya komentar dan pandangan mahupun teguran membina dari mereka kerana tidak mahu mendapat kesusahan dan berdepan dengan titik bengit masalah harian akibat kena saman dan sebagainya. Apabila tiada komentar dan pandangan kritis secara terbuka maka rakyat tidak menerima berita dan maklumat yang tepat. Keadaan ini memberi kelebihan yang optima kepada pihak berkuasa untuk mempengaruhi rakyat dengan agenda mereka.

Isu segala penyelewengan dan pecah amanah yang terperinci dan tepat amat susah didapati di dada akhbar dan media massa. Maklumat dan berita hanya boleh didapati menerusi perbahasan di Parlimen dan itu pun juga terhad kerana para ahli yang berhormat juga tidak terkecuali daripada ugutan saman. Berita dari sumber penerbit yang berkecuali dan penerbitan milik pembangkang juga dikawal dan disekat. Ketelusan dan kemudahan yang boleh didapati melalui internet pula sering terganggu dengan digodam hacker, virus dan aktiviti divert ke URL yang tidak dikehendaki.

Ketika ini berita-berita sensasi bukan lagi milik orang ramai tetapi adalah milik pihak berkuasa. Jika berita yang tersebar menguntungkan pihak yang berkepentingan maka berita itu diusahakan menjadi candu kepada para pembaca atau rakyat. Jika berita itu membongkar keburukan atau kejahatan mahupun penyelewengan mereka yang berkuasa maka berita itu sendiri diselewengkan faktanya malah ditegah daripada diterbitkan.

Para penulis akan dituduh sebagai penghasut, penyebar fitnah, pencetus suasana gelisah dan yang lebih berat lagi ialah sebagai pencetus porak peranda secara minda mahupun fizikal. Mereka boleh ditahan di bawah akta ISA (dimasukkan ke dalam tahanan tanpa perbicaraan dan keputusan mahkamah keadilan). Hal sama ada tindakan dan penggunaan akta ISA sebagai zalim dan menafikan hak budi kemanusian bukanlah dianggap penting dan menjadi utama. Apa yang utama dan penting ialah kuasa dan politik yang berkuasa terselamat daripada jatuh dan hilang. Untuk itu mereka sering salah menggunakan kuasa untuk memberi tekanan kepada mereka yang terlihat dan mengesan kecurangan dan penyelewengan yang dilakukan.

Berbalik kepada isu ketidakbebasan berkarya terutamanya di bidang penulisan mahupun kesenian, maka halatuju dan perkembangan kebudayaan bangsa Malaysia ketika ini adalah berbalik ke belakang atau ketinggalan. Sekatan terhadap karya-karya yang kreatif, kritis dan sensitif sebenarnya membunuh perkembangan sihat alam kreativiti minda yang menghasilkan budaya kehidupan manusia. Apalah ertinya jika hasil karya melalui lukisan kartun, nyanyian, novel, cerpen yang berobjektif hiburan atau mengurangkan ketegangan disalahertikan, disaman dan disekat seolah-olah hasil karya penulisan mahupun bakat seni mereka adalah peraturan atau realiti kehidupan yang mesti dirujuk dan diikuti.

Pada hakikatnya, pihak-pihak yang mengambil tindakan menyekat dan menyaman ini adalah lemah dan tidak lagi bijak dan tidak pantas memimpin manusia. Mereka mengambil dan menggunakan jalan mudah untuk menyelamatkan diri mereka yang curang dan tidak amanah. Pada awalnya mereka juga merupakan kelompok manusia yang berpikiran positif. Apabila berkuasa dan tercandu dengan kesenangan dan kemewahan, mereka menjadi lupa daratan dan otak yang tajam menjadi lemah. Keadaan pemikiran mereka bertambah buruk apabila kehidupan mereka diselubungi dan terhasil dari daya usaha penyelewengan dan curang tidak amanah.

Hasil atau produksi para pengkarya dan para komentar yang kritis sebenarnya mengimbangi kencenderungan para pemecah amanah dalam segala bidang kehidupan daripada terus menyeleweng. Malangnya ugutan dan perlindungan rasmi yang menyebelahi pihak berkuasa melalui perundangan menyebabkan akan berlaku kepupusan pengkarya kritis dan para komentar yang positif. Para pengamal rasuah dan segala kebejatan pihak berkuasa dan berwibawa tidak terdedah. Akhirnya merekalah yang sebenar-benarnya perosak bangsa kerana amalan dan semaian kehidupan harian mereka akan menyebar, mencorak dan menghasilkan budaya songsang.

Para pengkarya dan para komentar seni budaya yang lahir dari telunjuk mereka tidak akan berani menyuarakan kebejatan yang diamalkan. Mereka berasa diri mereka gah tetapi sebenarnya mereka sedang berbalik ke belakang menuju kehancuran.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Blog Tun Sheikh
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere