Senjata Ampuh Orang Islam Adalah Solat Dan Doa

0 comments

Senjata Ampuh Orang Islam Adalah Solat Dan Doa

Setiap hari kelihatan UMNOBN terus mengukuhkan tentera sesat mereka dengan semangat  samseng yang berkobar-kobar. Orang yang berpelajaran tinggi lebih-lebih lagi yang mempunyai latar belakang pendidikan agama, kelihatan mengangkat tangan dan tidak mahu campur. Mereka berasa kesal  dan sanggup mengakui sebagai orang di atas pagar apabila pemuda dan orang dewasa ahli UMNO yang tidak berpelajaran tinggi dipergunakan oleh pemimpin mereka untuk memprovokasi perasaan rakyat agar keamanan yang sedang dikecapi bertukar menjadi huru hara. Mereka berselindung dengan alasan bahawa suasana akan bertambah kacau dan keamanan tidak akan terjamin jika rakyat tidak menyokong UMNOBN.

Pemikiran sebegini sebenarnya adalah pemikiran orang yang sesat budaya. Mereka terhijab dengan suasana yang disangka harmoni tetapi penuh dengan penindasan minda dari pihak yang berkuasa. Keamanan dan keharmonian diuar-uarkan adalah hasil dari usaha dan tindakan mereka. Pada waktu yang sama mereka menindas rakyat dengan pelbagai tekanan samada melalui kebebasan pemikiran, ekonomi dan juga kemasyarakatan.

Mereka mengaku bekerja demi untuk faedah rakyat tetapi sebenarnya adalah untuk kepentingan diri sendiri dan para kroni. Jika boleh diberi nilai 10, rakyat sebenarnya hanya mengecapi 1/10 manakala mereka menikmati 9/10. Dengan segala kuasa politik dan wang yang dikuasai,  mereka menanam dan mempengaruhi minda rakyat supaya terus terpengaruh dengan objektif mereka. Mereka menutup rahsia sesama mereka. Mereka benar-benar  telah lupa bahawa penyelewengan dan penindasan mereka tidak disukai oleh Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Rakyat adalah diseru supaya jangan menyebelahi mereka. Ini adalah kerana, ternyata mereka adalah golongan yang melakukan kemungkaran. Mereka menindas dengan begitu halus melalui pelbagai akta dan peraturan. Paling mudah untuk mengenal kebejatan mereka adalah melalui tindakan mereka sendiri. Mereka bertindak ganas membaling batu dan memperovok pergaduhan. Pergaduhan adalah suatu perlakuan yang tidak baik. Pergaduhan akan mencetuskan huru-hara. Mereka memaksakan yang hitam dianggap putih dan yang putih dikatakan hitam.

Kepada umat Islam dan rakyat yang mencintai keamanan,  keamanan dan keharmonian terlahir dari usaha dan ikhtiar yang datang dari hati dan jiwa yang ikhlas. Keharmonian mencipta ketenangan dan kebebasan. Ketenangan tidak lahir dari kezaliman dan penganiayaan. Sekiranya telah jelas diri dizalimi dan dianiaya oleh UMNOBN, maka ada hadiah dari Tuhan Yang Maha Esa untuk dijadikan senjata yang begitu ampuh, berkesan dan istimewa. Itulah solat dan doa. Bersolat dan berdoalah kerana Tuhan berjanji bahawa solat dan doa orang yang dizalimi terus diterima. Permintaan dalam doa akan terus dimakbul dan janji Tuhan tidak pernah bohong.

Ikutlah contoh Sultan dan Menteri Besar Kelantan yang sanggup bersolat dan berdoa di mana sahaja yang tidak bercanggah dengan syariat. Ini adalah kerana bumi ini telah dianugerahkan Allah kepada umat Muhammad SAW sebagai masjid. Dan umat Muhammad SAW adalah tiada perantaraan dengan Tuhan Yang Maha Kuasa. Nilai makbul adalah bergantung kepada suasana kezaliman dan penganiayaan yang dilakukan. Berdoalah dan jangan takut dan jangan menghiraukan ugutan dan tuduhan orang yang fasik. Hendaklah yakin walaupun terjadi sama-sama berdoa dan sama-sama solat dan sama-sama seagama, Tuhan itu Maha adil dan Tuhan akan makbulkan doa orang yang teraniaya. Malah meskipun kita Islam tetapi jika zalim terhadap binatang dan makhluk lain atau orang kafir, maka doa mereka menuntut balasan daripada Tuhan terhadap kezaliman kita juga tidak berhijab dan akan termakbul.

Biarlah UMNOBN coba mengelirukan kefahaman rakyat tetapi jika kita yakin dan kezaliman mereka adalah nyata maka ketahuilah bahawa doa kita adalah didengar oleh Tuhan daripada doa mereka. Doa kita yang dizalimi dan dianiaya oleh UMNOBN akan cepat makbul tanpa hijab berbanding dengan doa mereka yang juga mengaku Islam tetapi berlaku zalim dan melakukan penganiayaan. Solat  dan doa adalah senjata orang mukmin dan usahlah malu atau enggan menggunakan senjata ampuh hadiah istimewa daripada Tuhan sekalian alam ini.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Damansara 10.12.2012

Sama Saja Cerita Air, Unisel, Sampah, Pasir Dll Adalah Penyelewengan Dan Pecah Amanah?

0 comments

Sama Saja Cerita Air, Unisel, Sampah, Pasir Dll Adalah Penyelewengan Dan Pecah Amanah?

Cerita, berita, maklumat atau hal-hal yang dihebahkan oleh media arus perdana yang kita baca, dengar atau terima jika tidak diikuti dengan sumber skunder yang berkecuali maka kita akan menerimanya sebagai berita sahih. Kita mudah dipengaruhi dan mempercayai tomahan-tomahan yang dipaparkan kerana dirancang sebegitu rupa. Kes pasir di Selangor contohnya, dengan segera mudah diterima oleh rakyat di luar mahupun di Selangor dengan persepsi yang telah diacuankan sebagai bukan sahaja menerima dan mengesahkan malah diri pembaca atau pendengar akan mudah menyebelahi kehendak tersirat penulis atau pemberita.

Di dalam fikiran atau minda rakyat  umum atau orang awam yang merupakan dari kumpulan majoriti , kamus untuk menyiasat atau meneliti dengan terperinci tiada pada mereka. Orang awam memang mudah menjadi mangsa retorik, propaganda dan menjadi pengikut politik  arus perdana meskipun hala tujunya negatif. Dalam kes pasir di negeri Selangor contohnya, di peringkat kefahaman awam, terasa sangat bahawa kerajaan negeri Selangor (dari parti pembangkang) yang baru menerajui tampuk kerajaan kelihatan begitu buas dan jahat seolah-olah melakukan penyelewengan untuk kepentingan pribadi sendiri sehingga merugikan rakyat dan khazanah negeri.

Penyelewengan memang benar-benar berlaku tetapi rupa-rupanya tindakan kerajaan pembangkang yang baru itu adalah dalam usaha membersihkan budaya rasuah dan penyelewengan kerajaan dahulu telah diputar belitkan sehingga rakyat tersalah faham dan salah tanggapan. Mujurlah masih ramai  rakyat yang masih celik kepada nilai-nilai murni sejagat dan nilai-nilai murni budaya bangsa. Maka terbongkarlah konsesi pasir Selangor diberi kepada kroni dengan harga yang sangat jauh dan rendah daripada harga pasaran semasa. Bukan itu sahaja, rekod kuantiti lori yang mengangkut keluar masuk pasir dari lombong tidak kemas dan tidak tepat dan berlaku ketirisan yang sangat besar. Sebagai contoh, lori keluar sebanyak 500 sehari hanya dicatat 100 dan berat lori 6 ton hanya dicatat 3 ton. Hari bercuti yang tidak dibenarkan melombong atau mengangkut pasir keluar sering menjadi seperti hari kerja biasa.

Amat jelas, cukai atau laba yang ditetapkan tentunya sedikit yang dibayar kepada kerajaan negeri Selangor berbanding kuantiti sebenar yang diangkut keluar. Tetapi oleh kerana syarikat yang diberi konsesi adalah milik kroni politik parti memerintah maka pihak berkuasa memandang sebelah mata sahaja atau buat-buat buta. Penyelewengan ini bukan baru tetapi sejak 1970 kerana kerajaan yang berasal dari parti Melayu yang memerintah ketika itu memang tidak berduit dan terus mengharapkan ihsan parti gabungan dan sekutunya. Apabila parti bukan Melayu sekutunya terus menjadi kaya raya, parti Melayu yang berkuasa telah mula mempelajari bagaimana untuk membuat duit. Tapi sayang seribu kali sayang, usaha pembangunan dan ikhtiar pembangunan ekonomi dalam Dasar Ekonomi Baru telah segaja diseleweng kerana ingin cepat kaya dan adalah sangat parah apabila diri-diri individu ahli politik Melayu terus karam dan tengelam dengan kemewahan hasil daripada penyelewengan dan pecah amanah daripada menumpuk harta dan wang untuk parti kepada diri sendiri.

Maka rasuah dirasa seolah-olah halal dan wajar dan pada hari hari ini budaya rasuah sudah membengkak dan bernanah. Malah ada yang telah pecah mengeluarkan bau busuk yang amat sangat tetapi oleh kerana ia telah membudaya, perangai kepimpinan orang Melayu yang terlibat dengan rasuah dan penyelewengan ini kelihatan seperti manusia bangang yang sanggup menjilat nanah yang pecah itu. Mereka dilihat dengan  selamba sahaja meneruskan budaya busuk itu kerana beranggapan peluang hanya sekali iaitu ketika berkuasa. Mereka sangat yakin apabila hilang kuasa, kemewahan dan kesenangan akan berakhir. Sehubungan itu mereka berlumba-lumba mengikis harta rakyat yang diamanahkan untuk dijadikan bekal ketika tidak berpeluang dan tidak berkuasa lagi.

Maka wujudlah seperti cerita konsesi UNISEL, Syarikat Air dan Projek Air Langat dan banyak lagi dimana perjanjian yang dibuat memang segaja dicipta untuk keuntungan syarikat bukan pihak kerajaan atau rakyat. Cerita yang sama juga berlaku dalam pemberian kontrak mengangkut sampah di Selangor dan berbagai urus niaga lain yang kononnya mengikut dasar kebangsaan iaitu daripada idea pengswastaan yang dilaksanakan secara besar-besaran ketika zaman Dr Mahathir. Alasan wajar ialah untuk melahirkan seberapa banyak jutawan dan pengusaha bumiputera bagi mengimbangkan kemajuan ekonomi dan status professional dalam ekonomi dan teknologi yang dikuasai oleh bukan Melayu.

Apa yang tersirat sebenarnya adalah untuk kepentingan diri dan kroni. Kroni-kroni diberi peluang yang terbuka diatas pelan dan perancangan menjadi kaya raya dengan mudah tanpa memakan masa yang lama dan tanpa bekerja keras dengan berselindung disebalik dasar-dasar Negara yang disuapkan kepaada rakyat dengan paksaan bagi menghalalkan cara atau memperlihatkan kewajarannya supaya tidak kelihatan penyelewengan dan pecah amanah yang dilakukan. Rakyat sebenarnya tertindas dan tertipu disebalik bayangan kemajuan pembagunan fizikal. Status hidup yang tinggi sebenarnya hanya dinikmati oleh para pemimpin dalam barisan kerajaaan dan para kroni yang menjadi boneka perlaksana dasar-dasar dalam segala perusahaan yang diceburi. Peratus yang betul-betul berkemahiran dan berwibawa dari kalangan pengusaha atau peniaga bumiputera tetap seperti takuk lama. Apa yang kelihatan sebenarnya adalah hasil pekerjaan ali baba yang kini telah dihalalkan apabila kerajaan menggetahui rakyat telah mula memahami konspirasi yang dilakukan mereka. Rakyat banyak terus tersepit dengan kuasa beli yang terus mengecil saban hari.

Adakah wajar apabila kerajaan memperuntukan dan meluluskan berbilion ringgit kepada sesebuah projek yang mengikut pasaran semasa adalah jauh lebih rendah? Dan kemudian nanti beban dan kos segala pengembangan dan penyeliaan akan ditanggungkan ke bahu rakyat melalui tarif dan bil-bil yang akan terus naik mengikut perjanjian yang telah ditandatangani oleh kerajaan. Perkiraan mudah sebagai contoh perbandingan ialah,  kerajaan membayar RM10 bilion untuk projek membekal air pada hal harga sebenar pasaran untuk projek tersebut hanya berharga RM1 bilion. Kerana RM10 bilion maka kerajaan meminjam wang dari institusi kewangan dan apabila projek itu siap nanti hutang piutang itu akan dibayar dari hasil pungutan air yang digunakan rakyat. Selagi tidak untung dan dapat kos yang telah dibelanjakan iaitu RM10 bilion dan kos-kos penyeliaan maka selagi itulah syarikat yang diberi konsesi membuat penyeliaan berkuasa mengutip dan mengenakan bil penggunaan air kepada rakyat dan mereka berkuasa menaikkan tarif dan kadar harga air mengikut kelulusan yang telah dipersetujui oleh kerajaan dalam perjanjian yang telah ditandatangani. Rakyat menjadi mangsa dan adalah sangat misteri ke mana perginya RM9 bilion?

Andaikata kita mempunyai minda futuristic yang terang, kita akan menanggap bahawa pemimpin yang meluluskan dan menandatangani projek tersebut telah tiada atau tidak berkuasa lagi pada masa hadapan ketika rakyat terbeban dengan tariff air yang tinggi yang terpaksa dibayar oleh mereka. Rakyat akan terbelenggu dengan kenyataan atau reality hidup bahawa jika tidak sanggup atau tidak mampu bayar maka jangan menggunakan air atau terpaksa berjimat cermat atau mencatu keperluan sendiri mengikut kemampuan untuk membayar. Pemimpin yang terlibat sudah tidak relevan ketika itu dan yang misterinya….mereka telah kaya raya dengan habuan perkongsian bersama sebanyak RM9 bilion yang telah dibagi-bagi ketika intitusi kewangan membayar pinjaman RM10 bilion. Bagaimana mereka dapat pembahagian RM9 bilion… itu kenalah kita fikirkan kerana syarikat yang diberi konsesi itu adalah syarikat kroni mereka juga. Dan itulah penyebab utama projek ini beriya-ia benar akan dilaksanakan meskipun dapat tentangan. Harap-harap kita tidak seperti mereka yang telah pecah amanah apabila berpeluang dan berkesempatan sebegini. Ingatlah bahawa hasil dan pendapatan yang haram akan membutakan mata hati seketurunan yang hidup mendarah daging dengan hasil itu. Kita dan keturunan kita akan buta kepada unsur-unsur kebaikan sejagat, iman dan tidak akan mengenal Tuhan…… Maka jadilah kita dan keturunan kita sebagai golongan yang cenderung kepada kefasikan, kejahatan, sesat  dan engkar kepada Tuhan SWT….

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
KLCCT Sepang 28.9.2012

HUDUD UMNO, HUDUD PAS DAN PERKEMBANGAN PERSEPSI GENERASI BARU

0 comments

HUDUD UMNO, HUDUD PAS DAN PERKEMBANGAN PERSEPSI GENERASI BARU

Setiap kali musim pilihanraya, isu Hudud akan dimanipulasikan sepenuhnya bagi menggambarkan hudud yang diperjuangkan oleh PAS ialah hudud  yang diselewengkan dan tidak di terima khususnya oleh orang Melayu sendiri  dan orang Islam Malaysia pada umumnya. Hudud yang dikemukakan oleh PAS dinamakan Hudud PAS dan diuar-uarkan oleh UMNO sebagai hudud ciptaan Parti PAS bukan hudud yang tulen. Lebih jauh daripada itu, PAS dituduh sebagai Parti Islam tidak serupa bikin, tidak layak membicarakan Islam sebenar yang tulen dan serentak dengan itu isu PAS mengkafirkan orang Melayu lain yang tidak menjadi ahli dan tidak menyokong PAS diperbesar-besar dan diulang-ulang. Hasil daripada kempen fitnah UMNO ini begitu positif sehingga berjaya mendapat sokongan pengundi Melayu dan menang majoriti  setiap kali dalam pilihanraya. 

Sejak dari awal penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946, mereka berhempas pulas memerah otak berfikir bagaimana mempengaruhi dan menguasai orang Melayu. Dari dulu sehingga sekarang mereka dibantu dan dididik oleh penjajah bagaimana menangani orang Melayu. Dulu secara langsung oleh penjajah tetapi sekarang diambil pakar-pakar berfikiran secular penjajah sebagai penasihat professional yang dikatakan bertaraf atau diiktiraf dunia. Ironi sekali apabila UMNOBN juga mengambil penasihat daripada kalangan syarikat Yahudi. Hasilnya, kepimpinan UMNOBN  sejak merdeka menganggap telah berjaya memajukan Negara menerusi pelbagai projek pembagunan.

Ketika ini UMNO seolah-olah tidak percaya bahawa pengaruh mereka semakin merosot setiap hari. Mereka menuduh anak-anak Melayu yang berpendidikan hasil dari perancangan dan penentuan dasar-dasar yang mereka wujudkan seolah-olah tidak tahu membalas budi atau telah lupa daratan macam  bidalan “seperti kacang lupakan kulit’. Generasi muda Melayu dituduh tidak mengenang jasa. Sebenarnya kepimpinan Melayu UMNO sudah lupa terhadap kelalaian yang disengajakan mereka yang telah mengenepikan budaya pendidikan agama Islam dari peringkat bawah hingga tertinggi kepada orang Melayu. Pengetahuan dan keilmuan Islam seolah-olah tidak relevan untuk membangun negara yang dirancang akan menguasai  permodenan dalam serba serbi melalui bidang sains dan teknologi.

Kepimpinan Melayu UMNO mengaku telah memerah otak membuat perancangan bagaimana untuk mentadbir dan berkuasa. Mereka tidak yakin bahawa Allah SWT juga merancang dan perancangan Allah SWT adalah lebih baik dan sempurna. Ini dapat dilihat kepada pelajar-pelajar Melayu yang diberi peluang melanjutkan pelajaran di dalam dan di luar negeri dalam pelbagai bidang sejak era 1970-an sehingga tahun 2000. Pada era itu, majority mereka tidak yakin lagi dengan keilmuan Islam kerana dasar pelajaran yang dibuat oleh UMNO terpaksa mereka ikuti.  Hasil daripada itu maka lahirlah generasi Melayu terpelajar dan mahir dalam pelbagai bidang. Mereka telah menjana pembangunan dan kemajuan tetapi mereka berhadapan dengan masalah sosial yang berpunca dari pegangan dan pengetahuan agama yang tipis dan longgar.

Jika dikaji selidek ketika ini mereka telah menjadi generasi tua yang masih produktif dan baru menjadi datuk muda kepada cucu yang belum mencecah 15 tahun.  Pengetahuan, pengalaman dan keupayaan mereka berfikir dan melihat keadaan sekeliling telah mendorong mereka dengan sukarela atau pilihan sendiri tanpa berasa bimbang dan khuatir mendedahkan anak-anak mereka menimba ilmu yang berteraskan agama kerana mereka tidak mahu anak-anak mereka menjadi seperti mereka yang tidak fahami agama secara mendalam. Mereka juga tidak mahu diri mereka diabai dan tidak dipedulikan oleh anak cucu atau generasi muda yang mewarisi mereka nanti sebagaimana yang telah dan sedang berlaku di Eropah dan di negara-negara yang dianggap telah maju seperti Jepun, Australia dan Amerika. Di negara tersebut, orang tua dianggap liabiliti dan dihantar ke rumah orang tua atau dibiarkan merempat ke mana mereka suka. Bagi mengelak dari menerima nasib yang sama, mereka telah mencita-citakan pewaris yang berilmu dan berakhlak mulia. Kini majoriti anak-anak muda berusia bawah 35 tahun yang berpendidikan tinggi mempunyai asas dan dasar pengetahuan agama yang baik. Mereka berakhlak mulia dan mudah melihat perbuatan salah tingkah atau penyelewengan yang berlaku.


Pada waktu yang sama, kepimpinan orang Melayu yang sedang berkuasa dari kumpulan generasi tua masih tidak berubah dengan dasar-dasar yang memperlekeh kemuliaan agama dan berterusan memaksakan dasar lama kepada pemimpin-pemimpin muda politik. Ini adalah kerana kuasa dan kemewahan yang dikecapi mereka telah menjadikan mereka begitu yakin akan dapat melakukan segalanya kerana mempunyai kuasa wang. Kuasa duit dan pangkat dalam politik telah menjadikan mereka begitu angkuh dan menolak pandangan kemanusiaan yang tidak bergantung kepada kewangan. Akibatnya, dasar-dasar yang disangka baru oleh mereka sering tidak mempunyai nilai atau bertentangan dengan nilai sejagat atau universal dan ini diketahui oleh generasi peganti pada masa ini.

 Percambahan pandangan dengan benting ego dan emosi ini telah membuatkan generasi baru atau muda ketika ini cenderung untuk memberontak atau menentang secara halus. Kepada generasi yang terdidik dengan nilai terpuji agama dan nilai sejagat yang murni maka mereka akan lebih cenderung untuk berkecuali atau terus melibatkan diri dalam persatuan-persatuan, parti-parti dan kumpulan yang bertentangan fahaman dengan kumpulan pemimpin yang sedang berkuasa.

Sehubungan itu, terpaparlah corak pemikiran dan warna-warni dan gaya sosial yang sebenarnya begitu liberal pada hari ini. Mereka anti pemikiran yang jumud dan tidak tertarik kepada orang seperti pemimpin UMNO yang menggunakan kuasa seolah-olah secara paksa, licik atau veto mahupun yang berkuku besi. Tidaklah hairan dan pelik ketika Hudud UMNO dicadangkan, generasi muda menganggap UMNO sudah begitu ketandusan idea dan lebih malang ada yang berani mengatakan UMNO telah dan sedang berada dalam kesesatan kerana semua orang tahu bahawa UMNO selama ini  telah mengelirukan orang mengenai Islam serta memperlekeh dan menggunakan isu agama hanya untuk kepentingan politik saja.

“Selamat Hari Raya Aidil Fitri 2012, Maaf Zahir Bathin.”

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Wangsa Maju KL 25.8.2012

Antara Haji 2012 & Pemikiran Jahat PR 13

0 comments

Antara Haji 2012 & Pemikiran Jahat PR 13

Ada beberapa cara untuk menutup isu kebimbangan bakal para Jemaah haji 2012. Termudah ialah dengan pengumuman rasmi BN tidak akan mengadakan PR 13 dimusim haji. BN tidak boleh berdiam dan membiarkan isu ini dimainkan sama ada orang politik atau sesiapa sahaja yang suka  isu ini diutamakan. BN adalah kerajaan yang masih berkuasa dan mesti  bertanggongjawab menamatkan keresahan ini. Jika BN berfikir akan mendapat keuntungan dengan membiarkan isu ini menjadi  tokak dan akhirnya   coba  membukti  atau memperlekeh orang yang mendakwa PR13 diadakan pada musim haji tidak benar,  maka ketika itu sudah terlambat.

 Bakal  Jemaah yang telah membatalkan pemergian akan membenci UMNOBN seumur hidup termasuk saudara mara dan anak cucu mereka. Perkara ini amat serius dan sama ada UMNOBN mengadakan PR13 pada musim haji atau melambatkan pengumuman rasmi   tidak mengadakan PR13  pada musim  haji adalah satu tindakan atau keputusan yang pincang dan tidak di landasan betul. UMNOBN mesti mengambil kesempatatan ini secara gentlemen atau berhikmah dengan membuat  pengumuman rasmi tidak akan mengadakan PR 13 dan berharap para jemaah boleh membuat persiapan dengan tenang. Pengumuman ini adalah sebagai jaminan dan ini akan memberi kredit kepada UMNOBN di masa akan datang meskipun jika mereka terpaksa membarisi  barisan pembangkang di parlimen.

 Pengumuman rasmi ini sangat perlu walaupun perisikan mengatakan 60% bakal jemaah adalah penyokong PR. Apa yang penting ialah persepsi terhadap UMNOBN untuk jangka panjang kerana rekod UMNO dalam hal agama telah terlalu buruk dan kotor. Adalah wajar isu agama ini diutamakan dan dipantau dengan serius kerana pengaruh agamalah yang sebenarnya telah memenangkan UMNO di setiap kali pilihanraya. UMNOBN mestilah berkeyakinan bahawa kuasa yang ada pada mereka tidak lagi ditakuti oleh rakyat yang telah mudah terdedah dengan dunia maklumat dari langit terbuka. Mereka mengetahui siapa yang menguasai Tabung Haji dan semua agensi kerajaan. Sehubungan itu UMNOBN bukan sahaja dengan mudah boleh mendapat maklumat malah boleh merancang sesuatu untuk kepentingan UMNOBN sama ada secara hemah atau secara jahat.

 Melalui perisikan, kerajaan boleh mengetahui siapa yang akan menjadi calon dalam PR 13 dan mengetahui sama ada calon ada atau tidak memohon untuk menunaikan haji. Dengan mudah mereka boleh ditawarkan meskipun tidak cukup syarat seperti  belum cukup tabungan atau belum sampai giliran. Dan andaian ini termasuk juga kepada petugas-petugas pilihanraya parti atau sesiapa saja yang diketahui berupaya memainkan peranan dalam pilihanraya. Rakyat tahu UMNOBN berkuasa malah diberi amanah membuat tindakan dan keputusan tetapi jika mereka berterusan  tidak adil , berat sebelah dan hanya mementingkan parti sendiri, mereka akan hilang pengaruh dan ditolak.

 Ketika ini UMNOBN telah terbukti  telah pecah amanah sama ada telah terbukti dan  terhukum di peringkat mahkamah, dalam kes pertuduhan, laporan dan kenyataan parlimen, laporan tahunan jabatan, norma dan budaya semasa mahu pun gossip dan perbualan rakyat telah tidak dapat dinafikan lagi. Mereka sepatutnya tidak perlu membuang banyak masa untuk menafikannya atau membalas tuduhan mulut tetapi sebaliknya mestilah segera berubah dan memperbetulkan amalan buruk yang tidak menyenangkan itu  sebelum hilang kuasa dan terlambat . Mereka mesti segera bertindak dan berkorban tanpa malu membuat kebajikan dan menunjukkan kebaikan kerana ikon pecah amanah yang dilihat pada diri mereka bukan lagi kerana kepentingan parti tetapi peribadi.

Isu PR 13 di musim haji dengan mudah di atasi seperti  saranan di atas. Jika UMNOBN berkeras juga untuk mengadakannya  ketika Jemaah  Malaysia seramai 30 ribu orang  sedang menununaikan ibadah haji, kerajaan mestilah bersedia membenarkan mereka mengundi pos dengan fasiliti mudah, telus dan berintergriti. Ini termasuklah membenarkan calon-calon yang sedang beribadah itu menjadi  calon dan diwakilkan. Jika berfikiran wajar dan tidak berniat jahat maka semua ini boleh dilakukan oleh kerajaan demi kebaikan dan kebajikan rakyat. Jika UMNOBN berfikiran mereka beruntung kerana berjaya menidakkan hak mengundi para Jemaah dan sanggup mengorbankan 40% penyokongnya, maka perkiraan ini adalah kesilapan besar dan lapuk serta memberi impak buruk jangka panjang  kepada masa depan UMNOBN.

Akan lebih ironis lagi jika PAS yang semakin canggih itu akan membuat pengumuman bahawa semua bakal haji yang ditawarkan ke Mekah oleh Tabung Haji pada tahun ini tetapi menunda pemergian mereka kerana mengutamakan pilihanraya yang lebih utama dari segi perjuangan menegakkan syariat Allah daripada kepentingan peribadi atau fardhu ain Jemaah lebih utama dari fardhu ain diri, akan terus ditawar dan diutamakan pada tahun hadapan atau pada tahun PR berkuasa, maka ketika itu bukan sahaja 60% penyokong agama akan sanggup menundakan pemergian mereka malah kewajaran ini juga akan menggembirakan semua rakyat beragama Islam. UMNOBN pula akan dilihat sebagai parti Melayu yang jahat dan sentiasa salah tingkah kerana mementingkan nafsu serakah memecah amanah merompak kekayaan Negara untuk diri sendiri.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Gombak KL 15.6.2012
 
Copyright 2009 Blog Tun Sheikh
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere