HUDUD UMNO, HUDUD PAS DAN PERKEMBANGAN PERSEPSI GENERASI BARU


HUDUD UMNO, HUDUD PAS DAN PERKEMBANGAN PERSEPSI GENERASI BARU

Setiap kali musim pilihanraya, isu Hudud akan dimanipulasikan sepenuhnya bagi menggambarkan hudud yang diperjuangkan oleh PAS ialah hudud  yang diselewengkan dan tidak di terima khususnya oleh orang Melayu sendiri  dan orang Islam Malaysia pada umumnya. Hudud yang dikemukakan oleh PAS dinamakan Hudud PAS dan diuar-uarkan oleh UMNO sebagai hudud ciptaan Parti PAS bukan hudud yang tulen. Lebih jauh daripada itu, PAS dituduh sebagai Parti Islam tidak serupa bikin, tidak layak membicarakan Islam sebenar yang tulen dan serentak dengan itu isu PAS mengkafirkan orang Melayu lain yang tidak menjadi ahli dan tidak menyokong PAS diperbesar-besar dan diulang-ulang. Hasil daripada kempen fitnah UMNO ini begitu positif sehingga berjaya mendapat sokongan pengundi Melayu dan menang majoriti  setiap kali dalam pilihanraya. 

Sejak dari awal penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946, mereka berhempas pulas memerah otak berfikir bagaimana mempengaruhi dan menguasai orang Melayu. Dari dulu sehingga sekarang mereka dibantu dan dididik oleh penjajah bagaimana menangani orang Melayu. Dulu secara langsung oleh penjajah tetapi sekarang diambil pakar-pakar berfikiran secular penjajah sebagai penasihat professional yang dikatakan bertaraf atau diiktiraf dunia. Ironi sekali apabila UMNOBN juga mengambil penasihat daripada kalangan syarikat Yahudi. Hasilnya, kepimpinan UMNOBN  sejak merdeka menganggap telah berjaya memajukan Negara menerusi pelbagai projek pembagunan.

Ketika ini UMNO seolah-olah tidak percaya bahawa pengaruh mereka semakin merosot setiap hari. Mereka menuduh anak-anak Melayu yang berpendidikan hasil dari perancangan dan penentuan dasar-dasar yang mereka wujudkan seolah-olah tidak tahu membalas budi atau telah lupa daratan macam  bidalan “seperti kacang lupakan kulit’. Generasi muda Melayu dituduh tidak mengenang jasa. Sebenarnya kepimpinan Melayu UMNO sudah lupa terhadap kelalaian yang disengajakan mereka yang telah mengenepikan budaya pendidikan agama Islam dari peringkat bawah hingga tertinggi kepada orang Melayu. Pengetahuan dan keilmuan Islam seolah-olah tidak relevan untuk membangun negara yang dirancang akan menguasai  permodenan dalam serba serbi melalui bidang sains dan teknologi.

Kepimpinan Melayu UMNO mengaku telah memerah otak membuat perancangan bagaimana untuk mentadbir dan berkuasa. Mereka tidak yakin bahawa Allah SWT juga merancang dan perancangan Allah SWT adalah lebih baik dan sempurna. Ini dapat dilihat kepada pelajar-pelajar Melayu yang diberi peluang melanjutkan pelajaran di dalam dan di luar negeri dalam pelbagai bidang sejak era 1970-an sehingga tahun 2000. Pada era itu, majority mereka tidak yakin lagi dengan keilmuan Islam kerana dasar pelajaran yang dibuat oleh UMNO terpaksa mereka ikuti.  Hasil daripada itu maka lahirlah generasi Melayu terpelajar dan mahir dalam pelbagai bidang. Mereka telah menjana pembangunan dan kemajuan tetapi mereka berhadapan dengan masalah sosial yang berpunca dari pegangan dan pengetahuan agama yang tipis dan longgar.

Jika dikaji selidek ketika ini mereka telah menjadi generasi tua yang masih produktif dan baru menjadi datuk muda kepada cucu yang belum mencecah 15 tahun.  Pengetahuan, pengalaman dan keupayaan mereka berfikir dan melihat keadaan sekeliling telah mendorong mereka dengan sukarela atau pilihan sendiri tanpa berasa bimbang dan khuatir mendedahkan anak-anak mereka menimba ilmu yang berteraskan agama kerana mereka tidak mahu anak-anak mereka menjadi seperti mereka yang tidak fahami agama secara mendalam. Mereka juga tidak mahu diri mereka diabai dan tidak dipedulikan oleh anak cucu atau generasi muda yang mewarisi mereka nanti sebagaimana yang telah dan sedang berlaku di Eropah dan di negara-negara yang dianggap telah maju seperti Jepun, Australia dan Amerika. Di negara tersebut, orang tua dianggap liabiliti dan dihantar ke rumah orang tua atau dibiarkan merempat ke mana mereka suka. Bagi mengelak dari menerima nasib yang sama, mereka telah mencita-citakan pewaris yang berilmu dan berakhlak mulia. Kini majoriti anak-anak muda berusia bawah 35 tahun yang berpendidikan tinggi mempunyai asas dan dasar pengetahuan agama yang baik. Mereka berakhlak mulia dan mudah melihat perbuatan salah tingkah atau penyelewengan yang berlaku.


Pada waktu yang sama, kepimpinan orang Melayu yang sedang berkuasa dari kumpulan generasi tua masih tidak berubah dengan dasar-dasar yang memperlekeh kemuliaan agama dan berterusan memaksakan dasar lama kepada pemimpin-pemimpin muda politik. Ini adalah kerana kuasa dan kemewahan yang dikecapi mereka telah menjadikan mereka begitu yakin akan dapat melakukan segalanya kerana mempunyai kuasa wang. Kuasa duit dan pangkat dalam politik telah menjadikan mereka begitu angkuh dan menolak pandangan kemanusiaan yang tidak bergantung kepada kewangan. Akibatnya, dasar-dasar yang disangka baru oleh mereka sering tidak mempunyai nilai atau bertentangan dengan nilai sejagat atau universal dan ini diketahui oleh generasi peganti pada masa ini.

 Percambahan pandangan dengan benting ego dan emosi ini telah membuatkan generasi baru atau muda ketika ini cenderung untuk memberontak atau menentang secara halus. Kepada generasi yang terdidik dengan nilai terpuji agama dan nilai sejagat yang murni maka mereka akan lebih cenderung untuk berkecuali atau terus melibatkan diri dalam persatuan-persatuan, parti-parti dan kumpulan yang bertentangan fahaman dengan kumpulan pemimpin yang sedang berkuasa.

Sehubungan itu, terpaparlah corak pemikiran dan warna-warni dan gaya sosial yang sebenarnya begitu liberal pada hari ini. Mereka anti pemikiran yang jumud dan tidak tertarik kepada orang seperti pemimpin UMNO yang menggunakan kuasa seolah-olah secara paksa, licik atau veto mahupun yang berkuku besi. Tidaklah hairan dan pelik ketika Hudud UMNO dicadangkan, generasi muda menganggap UMNO sudah begitu ketandusan idea dan lebih malang ada yang berani mengatakan UMNO telah dan sedang berada dalam kesesatan kerana semua orang tahu bahawa UMNO selama ini  telah mengelirukan orang mengenai Islam serta memperlekeh dan menggunakan isu agama hanya untuk kepentingan politik saja.

“Selamat Hari Raya Aidil Fitri 2012, Maaf Zahir Bathin.”

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Wangsa Maju KL 25.8.2012

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Blog Tun Sheikh
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere