DUA BOM YANG MENGGEMPARKAN

0 comments
PENGALAMAN PERISTIWA PENEMUAN BOM YANG MENGGEMPARKAN

Di usia menjangkau separuh abad dalam menceritakan pengalaman peristiwa penemuan bom bolehlah Tun Sheikh umpamakan seperti peristiwa seseorang yang bertemu hantu. Orang yang bertemu hantu tidak begitu gairah untuk bercerita kecuali sepatah dua kata-kata yang perlu kerana masih terasa kengerian dan ketakutan atau tidak tahu untuk menggambarkannya bagaimana kerana tidak pernah bertemu sebelum itu dan tidak tahu bahayanya. Tetapi cerita dari sepatah dua kata itu diolah oleh pembawa atau pembuat berita seolah-olah dia yang menemui hantu yang diceritakan itu dengan segala tokok tambah hingga menjadi sebuah berita bohong yang menarik. Akhirnya apabila pengolahan cerita itu sampai ke tahap tidak logik maka mangsa yang dianggap pembohong atau penipu ialah orang yang benar-benar bertemu hantu tadi. Manakala pembawa cerita yang mengolah pembohongan selamat dari tuduhan menipu.

Ini adalah pengalaman Tun Sheikh yang telah menyaksikan penemuan dua biji bom roket di dua lokasi dan masa yang berlainan. Satu peristiwa ialah semasa berusia 6 tahun di hujung kampung Tun Sheikh ketika seorang apek (Cina tua) menjumpai dua biji bom sebesar 2 kaki setiap satu terbenam di halaman rumahnya ketika beliau sedang menggali tanah untuk membuat kolam menternak itek. Berduyun-duyun orang datang untuk melihat sendiri dan pelbagai bentuk cerita yang Tun Sheikh dengar. Entah macam mana boleh menjadi andaian dan spekulasi melalut-lalut tidaklah Tun Sheikh tahu tetapi apabila Tun Sheikh cuba menceritakan apa yang Tun Sheikh lihat dan dengar dari kata-kata apek itu sendiri, tiada yang percaya kerana Tun Sheikh hanya seorang kanak-kanak.

Polis telah mengesahkan bahawa itu memanglah 2 biji bom yang digugurkan dari kapalterbang British masa perang Jepun dan apabila pihak tentera datang memeriksa, mereka telah mengesahkan bahawa bom itu masih aktif dan mengambilnya untuk pemusnahan. Pelbagai soalan ditanya oleh polis kepada apek tua yang jujur itu sampai terketar-ketar dibuatnya. Sehingga kini masih tergiang-ngiang ditelinga Tun Sheikh teringatkan soalan-soalan gempak dan provokasi polis kepada seorang tua dengan begitu kurang ajar sehingga Tun Sheikh tidak berminat langsung untuk bekerja sebagai polis. Soalan polis yang tidak dapat dilupakan kerana berbunyi keras dan jahat manakala jawapan apek yang ketakutan itu berbunyi lucu.
'Apek elu apa kelija?'
'Kelija itula..latok kenal saya..ali-ali jumpa'
'Ya..itu sikalang, tapi muda-muda, kelija apa? Ada jadi kominiska..?'
'Ta.la saya olang bolo lagi belon kawin sampei sikalang ilup makan tai'.
'Apek kelija angkat tai atau makan tai?'
'Itu makan angkat tai la..?'
'Apa?'
'Saya..lagi muda sampai sikalang makan itu kelija angkat tai.. takla laing'.

Selama lebih kurang 3 bulan cerita penemuan bom di rumah apek kerja mengangkut najis heboh. Ada pulak kata, apek sudah kena tangkap polis sebab dia kominis. Ada yang tambah cerita mendengar kapal terbang Jepun tembak menembak dan terhempas di situ.Ada pulak cerita apek itu tidak kahwin sebab hari-hari makan tahi. Tun Sheikh naik bosan bila dengar orang tua-tua kita bercerita. Hendak menyampuk memang tidak boleh. Entah bila apek kena tangkap entahlah. Pada hal Tun Sheikh dan kawan-kawan sering menyakat apek tua itu masa dia balik kerja. Kami jerit ' apek busuk, apek busuk...larii.. apek angkat tahi' Apek hanya tersenyum saja. Dia mati sakit tua dan hanya diketahui setelah beberapa hari oleh orang kampung, apabila bau busuk datang dari rumahnya. Di kalangan orang tua-tua pula, jika anak nakal, mereka akan menakut -nakutkan anak dengan kata-kata ' aku baling kang dengan bom tai apek...

Peristiwa kedua ialah pada tahun 2002 kalau tidak silap apabila dua orang gadis dari sebuah kampung tersalah menghantar dua biji bom untuk diserahkannya. Mereka celaru samada hendak menghantarnya ke pejabat berita, ke muzium, ke Majlis Bandaaran atau ke balai polis kerana mereka menyangka bom itu hanyalah hiasan rumahnya saja semenjak kecil lagi. Apabila bapanya meninggal dan mendengar berita letupan bom di Indonesia, Thailand, Filiphina, Singapura dan merata tempat berikutan keganasan teroris meletupkan World Trade Center di New York, mereka pun memutuskan untuk menyerahkan kepada kerajaan dan ingin masuk berita dahulu.

Tun Sheikh telah menghubungi pihak berwajib dan dua biji bom sebesar hampir dua kaki itu dibawa pergi. Ketika balik dari kerja macam-macam berita Tun Sheikh dengar kerana orang berasa cemas kawasan dan kompleks pejabat kami dan pejabat-pejabat berdekatan dikepung dan dikawal oleh ratusan polis dan beberapa buah ambulan tanpa kami sedar. Yang kelakarnya, Tun Sheikh mendengar cerita ada orang pengsang, ada orang mengamuk, ada banduan berhampiran terlepas dan yang paling lucu berita angin mengatakan ada teroris bawa bom tetapi tidak tahu pejabat mana. Kami diarah rahsia dan tutup mulut maka tiada berita dan pihak berita juga dilarang polis membuat liputan untuk keselamatan negara.

Sehubungan dengan itu, sukalah Tun Sheikh menasihati para pembaca di sini, sekiranya anda menjumpai bom, segeralah melaporkan kepada polis tanpa menyentuhnya dan bertindaklah senyap-senyap kerana berita mengenai bom itu termasuk cerita pembohongannya tidaklah sama seperti cerita menjumpai peluru malahan letupan beritanya adalah lebih kuat dari bom itu sendiri.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

BUDAYA RASUAH MERUGIKAN NEGARA

0 comments
KELUHAN PENGUSAHA JUJUR

Tun Sheikh baru sahaja didatangi oleh dua orang pengusaha bekas kontraktor binaan. Mereka diperkenalkan oleh sahabat Tun Sheikh untuk mendapat pandangan secara informal. Dari perbualan antara kami, Tun Sheikh yakin mereka adalah orang yang jujur dan juga kecewa dalam bidang yang diceburi mereka. Mereka bukan gagal tetapi sengaja menarik diri kerana tidak tahan dengan kerenah birokrasi samada kerajaan mahupun swasta yang rata-rata terlibat atau terikat dengan budaya rasuah. Mereka tidak sanggup bersubahat lagi lalu meninggalkan bidang berkenaan meskipun mereka berupaya, berkemahiran dan berpengalaman melakukannya. Ini merupakan suatu kerugian kepada bangsa dan negara.

Bahaman adalah seorang anak muda berasal dari negeri Perak, berkelulusan ijazah sarjana dalam multi media dan perhubungan awam dari universiti luar negeri. Beliau baru berusia 42 tahun. Ketika kembali ke tanah air, beliau terus bertugas dengan kerajaan selama 5 tahun dan pada usia 31 beliau telah menceburkan diri dengan mengusahakan syarikat pembinaannya sendiri di Lembah Kelang. Beliau berjaya memperoleh lesen kontraktor klas D pada tahun 2005 dan dibenarkan membuat kerja-kerja bernilai RM500,000.00. Tetapi lesen ini telah tidak digunakan lagi sejak 2008 kerana beliau tidak tahan dengan tekanan amalan rasuah.

Sebelum itu, ketika mencari kerja dengan menggunakan lesen klas F, beliau telah mula mengesan budaya rasuah dan mengampu yang terpaksa ditelannya. Beliau berasa serba salah dan apa yang sangat merunsingkannya ialah terpaksa membayar kos anak-anak ayam (pelacur) yang terpaksa disediakan kepada taukeh-taukeh swasta. Manakala dengan projek-projek kerajaan, terpaksa menyediakan duit kos pelbagai penajaan samada kepentingan pribadi pegawai mahupun arahan menaja program-program UMNO. Beliau kini telah bertukar bidang perniagaan daripada kontraktor binaan kepada restoren kopi tiam di Puchong. Beliau berasa serik dan tidak ingin menceburkan diri dalam pembinaan kerana menganggap budaya rasuah tidak mungkin akan berubah walau bertukar pemerintah kecuali jika semua pegawai dan kakitangan yang terlibat dan sistem sekarang ditukar baru dengan yang lebih amanah dan telus .

Abd Rahim pula telah berusia 59 tahun berasal dari Kuala Lumpur. Beliau telah berhijrah ke Kelantan tempat kelahiran isteri beliau dengan niat untuk menikmati kelainan suasana sekeliling dan membersih diri apabila Kelantan diperintah semula oleh PAS. Beliau telah membawa bersama urusan perniagaannya iaitu sebagai kontraktor binaan kelas B. Malangnya di Kelantan, beliau gagal mendapat pekerjaan kerana dimonopoli oleh agensi Kerajaan Pusat dan projek-projek diuruskan oleh Jabatan Persekutuan atau kawasan Parlimen UMNO. Untuk mencari rezki dan meneruskan kemahiran dalam karier, beliau terpaksa menggunakan lesen kelas F.

Apa yang memeranjatkan beliau, ialah apabila diberi kata dua untuk meletakkan kos membuat sebuah jambatan kampong dengan harga diantara Rm120,000.00 – Rm135,000.00 . Padahal beliau telah membina 5 buah jambatan yang sama spesifikasi dan pelan serupa yang diberi oleh pihak berkuasa negeri dengan kos Rm75,000.00 setiap satu. Hingga ke hari ini beliau hanya berminat memasuki tender dan sebut harga kerajaan negeri pinpinan PAS saja kerana berasa tidak pernah diganggu oleh pihak birokrasi. Kemajuan dan keuntungan syarikatnya tidak pernah dipertikai atau diminta menaja atau memberi sumbangan untuk apa-apa program parti. Kini beliau juga memiliki sebuah restoren di Kota Bahru dan beliau berasa hidupnya lebih berkat daripada di Kuala Lumpur.

Bila ditanya mengapa beralih kepada restoren, mereka berdua mempunyai pandangan yang sama, iaitu banyak keberkatan dan tidak sakit kepala berhadapan dengan orang atau birokrasi pemakan rasuah. Kemudian Tun Sheikh ditanya nasib atau untaian hidup pemakan dan pemberi rasuah. Tun Sheikh hanya mengatakan kedua-duanya diancam ke neraka dan di dunia hidupnya tidak tenang dan banyak musibah. Anak isteri yang diberi makan hasil rasuah akan liat hati mereka dan cenderung kepada perkara-perkara yang batil. Mereka berdua bersetuju dan tersenyum panjang kerana mereka telah berpengalaman mengurus keluarga mereka ketika hasil pendapatan bercampur dengan rasuah dan ketika ini yang bersih dari rasuah. Mereka berasa lebih mudah dan tenang mengurus anak isteri ketika ini jika dibanding dahulu.

Perbualan berakhir dengan sama-sama bersetuju bahawa semangat anti rasuah dan keburukan rasuah mesti diajar dan disemai sejak dibangku sekolah dan di zaman kanak-kanak lagi. Sistem yang menggalak berlaku rasuah sebagaimana hari ini mesti diganti baru. Pemberi dan penerima rasuah dan mereka yang bersubahat sepatutnya tidak diberi peluang pekerjaan sebagaimana kerajaan pusat atau BN buat terhadap mereka yang tidak mahu memberi rasuah kepada mereka. Peluang pekerjaan disekat tetapi hal ini sudah terbalik dan menyalahi adat. Ini akan berterusan selagi sistem dan mereka yang rasuah terus berkuasa. Semua rakyat hendaklah bersungguh-sungguh bersama kerajaan membenteras rasuah. Ini termasuklah rasuah ikan bilis atau rasuah ikan paus.
Akhir sekali, Tun Sheikh berkata bahawa pengusaha, saudagar atau peniaga yang jujur dan amanah janganlah kecewa kerana kedudukan mereka setaraf dengan ulamak di sisi Allah. Berusahalah dan berikhtiar supaya keluar dari kelompok rasuah seperti Bahaman dan Abd Rahim. Insyaallah...hidup kita akan diberkati dan hati akan lembut untuk beriman kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Oleh Tun Sheikh

MENGAPA PENULIS MELAYU TIDAK MAJU

0 comments
PERKEMBANGAN PEMIKIRAN MELAYU KONTEMPORARI LAMBAT KERANA NASIB PENULIS TERABAI

Tun Sheikh masih teringat lagi kata-kata nasihat malah sebagai pengajaran dan tunjuk ajar daripada Allahyarham Cikgu Shaharom Hussein mengenai nasib penulis Melayu. Beliau adalah seorang penulis sepanjang hayat yang mempunyai prinsip di samping sebagai seorang guru (sebenarnya seorang pensyarah bertauliah) memang berasa sedih dan kecewa mengenai hal ini. Dalam satu perbincangan, pernah Tun Sheikh mengutarakan permasalahan atau topik kepada beliau berkenaan mengapa penulis-penulis Melayu tidak maju. Beliau sangat tertarik dan memberi beberapa pandangan kerana beliau sendiri berpengalaman mengenai hal ini.

Cikgu Shaharom banyak berkenalan dengan penulis-penulis barat dan mendapti di sana sungguh berbeza dengan negara kita. Beliau sendiri pernah menerima penghormatan sebagai Penulis Asia Tersohor dari Persatuan Penulis Barat yang berpusat di Britain. Tetapi jika dibanding dengan penulis Barat yang belum dianugerah penghormatan seperti beliau walau hanya telah menghasilkan sebuah buku yang bermutu, mereka lebih bernasib baik dan sentiasa mendapat insentif dan ransangan dari pelbagai agensi dan juga kerajaan.

Cikgu Shaharom berkata, antara sebab penulis kita tidak maju adalah kerana nasib dan kerjaya mereka tidak dibela dengan wajar, sesuai dengan sumbangan keintelektualan mereka. Budaya pembawaan diri, sikap penulis, adat dan akhirnya menjadi kebudayaan warga penulis itu juga tidak ke arah mengangkat martabat mereka. Dengan perkataan lain, budaya kerja penulis Melayu ini tidak dihargai oleh penulis dan masyarakat Melayu sendiri. Pempimpin Melayu pula tidak memberi sokong dan dokongan padu.

Beliau berkata, jika di negara barat, sesebuah penulisan yang didapati baik dan berfaedah kepada masyarakat atau manusia akan diangkat dan diberi nilai yang sangat selesa kepada penulis meskipun hasil penulisannya baru sebuah. Tidak kira penulis itu tidak terkenal atau sudah terkenal asalkan hasil penulisannya yang satu itu dinilai sebagai sangat bermutu dan bermanfaat kepada manusia atau kebudayaan sejagat maka ia akan diangkat. Hasil penulisan atau buku itu akan diperkenalkan dan diiklan serta diberi galakan agar orang membeli dan membacanya.

Nama penulis adalah perkara kedua yang mengikut kemudian dibelakang tajuk buku yang ditulisnya itu. Maksudnya, di barat mereka mengutamakan hasil dan mutu penulisannya. Bukan penulisnya. Dan maksud nilai yang sangat selesa ialah pada kebiasaannya penulis kepada buku berkenaan akan diberi pelbagai insentif bagi menggalakkan lagi beliau terus berkarya. Biasanya hasil penulisan sebuah buku yang terpilih itu boleh menampung kos hidup dengan keperluan asas yang minima selama lima hingga sepuluh tahun tanpa penulis berkenaan perlu bekerja lain. Penulis tidak perlu kerja atau terpaksa membuat kerja-kerja sampingan untuk menampung kos hidup mereka. Bayangkan dengan hanya sebuah karya yang bermutu dan terpilih mereka sudah berasa terjamin dalam hidup dan boleh terus berkarya. Ini bererti mereka akan dapat terus berfikir dan terus berkarya selama lima hingga sepuluh tahun tanpa sebarang gangguan, halangan atau masalah mencari kewangan membiayai keperluan hidup mereka.

Berbanding di sini, karya-karya yang baik, tidak mendapat pengiktirafan selayaknya. Pemimpin negara tidak menyumbang secara serius dalam hal penulisan dan kepengarangan ini. Penulis sendirilah yang bertungkus lumus dan pada amalannya penulis yang telah terkenal sahaja yang diutamakan. Meskipun begitu mereka masih tidak dapat menikmati hidup yang selesa saeperti penulis-penulis Barat yang berhasil menulis walau hanya sebuah karya.

Antara penyebab lain yang mengakibatkan penulis Melayu tidak maju, ialah amalan budaya penulis atau orang yang terlibat dalam bidang penulisan dan kepengarangan itu sendiri. Mereka suka atau bersikap merompak idea orang lain dan mengaku sebagai idea sendiri. Sikap yang tidak jujur ini banyak diamalkan oleh pengarang, penyunting dan penulis Melayu. Mereka membaca kiriman orang yang tidak terkenal tetapi bila mendapati idea itu baik, mereka melambatkan atau tidak menerbitkan langsung tetapi mereka mengolahnya dan mengaku idea yang baik itu adalah idea dirinya.

Satu perkara lagi yang tidak mengangkat penulis Melayu maju ialah sistem atau amalan pembayaran imbuhan. Orang Melayu sangat liat untuk membayar imbuhan atau pembayaran kepada penulis. Kelewatan pembayaran dengan pelbagai alasan, serta berdolak-dalih digunakan apabila dituntut oleh penulis dan ini menyebabkan penulis rasa kecewa dan menganggu pemikiran dan perkaryaan mereka untuk terus mengarang dan menulis.

Banyak lagi yang diperkatakan oleh Cikgu Shaharom dan Tun Sheikh amat bersetuju dengan beliau. Bila kita perhatikan keselesaan hidup seperti Sasterawan Negara, kita akan mendapati mereka terpaksa terus bertungkus lumus bekerja dan pengkaryaan mereka seolah-olah terhasil selepas waktu mereka selesai bekerja iaitu diwaktu senggang atau waktu lapang. Kadang-kadang ada diantara mereka berkarya seperti mengikut arahan pihak berkuasa pula kerana mungkin disebabkan keterikatan dalam sesuatu hal yang mereka sahaja mengetahuinya.

Sehubungan dengan itu, adalah diharap nasib penulis Melayu akan berubah kepada suatu tahap keselesaan hidup yang terjamin dan memberansangkan proses pengkaryaan. Ini dapat dicapai dengan mengubah amalan dan budaya kerja terhadap diri penulis sendiri dahulu dengan mengenepikan sikap bias dan hendaklah menghormati karya dan ilham orang lain walau hanya dari seorang budak kecil. Kerajaan hendaklah juga memberi jaminan keperluan mereka dan segera memasyarakatkan hasil karya mereka yang bermutu serta menggalakkan rakyat memiliki dan membacanya.

Oleh Tun Sheikh

TUN DR MAHATHIR MASIH HIDUP

0 comments
MINDA DESPERADOR

Sabtu kelmarin 20 Mac 2010, Tun Sheikh dihubungi sahabat bernama Khairudin Ismail. Ketika itu Tun Sheikh sedang bercuti rehat di Ulu Langat bersama keluarga sempena cuti persekolahan. Bila sahaja dapat bercakap kerana kawasan rekreasi tersebut agak terpinggir dari kawasan liputan gelombang radio telefon, dia pun terus tekan gear lima.

Khairuddin juga seorang profesional berpendidikan Inggeris berasal dari Perak dan seusia Tun Sheikh.Kami mengenali satu sama lain sejak zaman bujang. Dia adalah ahli UMNO totok tetapi tidak dapat berpolitik dan terlibat secara langsung kerana dia pegawai kerajaan kumpulan profesional. Meskipun begitu dia ada kabel dengan MB Perak Tan Sri Ramli Ngah Talib kerana fahaman politik dan juga pertalian darah seketurunan. Dia agak fanatik dengan reformasi kerana kecewa terhadap pemecatan Dato' Seri Anuar Ibrahim. Dia beritahu Tun Sheikh, dia akan menjadi setiausaha politik seorang menteri dan akan mengendalikan sebuah syarikat gergasi milik UMNO yang didana saham kerajaan apabila Dato' Seri Anuar menjadi PM. Kemudian dia akan bertanding untuk menjadi wakil rakyat dan seterusnya.

Hayalan dan impian sahabat Tun Sheikh ini terkubur apabila Dato' Seri Anuar dipecat. Ketika itu dia sanggup mengambil cuti 2 minggu kerana berehat akibat kesedihan dan kekecewaan disamping berkumpul dengan rakan-rakan seperjuangan yang senasib dengannya. Semasa gelora reformasi dia tidak ketinggalan mendengar ceramah di seluruh Selangor dan Perak. Tun Sheikh sering bertemu dan kadang-kadang bersamanya pergi mendapatkan berita yang kami anggap 1st hand dan tulin atau setidak-tidaknya 70 peratus tepat jika dibanding dengan berita dari media kerajaan.

Apa yang menariknya, ketrampilannya diubah mengikut cara PAS, memakai kupiah putih dan berbaju Melayu tapi akhirnya beliau mengangkat tangan tanda serender sebab tidak boleh komitmen dengan cara PAS. Bila ditanya, katanya dia masih jahil terhadap kesempurnaan agama yang tidak memisahkan ilmu politik atau ilmu sekular dalam Islam itu sendiri. Apabila Parti Keadilan ditubuhkan, dia segera keluar dari PAS dan aktif dalam Keadilan. Tentunya ketrampilan pakaiannya berubah semula. Yang bagusnya dia tidak memperlekeh PAS tetapi menceritakan berpengalaman dan kelemahan dirinya. Dia berasa dirinya sendiri masih jahil dalam agama dan tidak kuat dan serasi mengikut cara PAS yang berprinsipkan agama dalam perjuangan dan pergerakan. Dia mengaku bertungkus lumus membaca bebera kitab agama mengenai politik, sains dan kemanusiaan di samping menghabiskan pembacaan terjemahan quran dan membaca kitab hadis.

Cerita mengenai Khairudin adalah cerita lamanya yang berulang dan ini amat Tun Sheikh fahami. Bila ditanya apa tujuan sebenarnya menghubungi Tun Sheikh setelah agak lama terputus hubungan, dengan pantas dia menjawab dia anti Mahathir sampai bila-bila. Ketika baca komen dalam Blog Chedet Mahathir dia terjumpa 'tunsheikh.blogspot.com' dan yakin blog itu milik Tun Sheikh, sahabatnya. Tepat jangkaannya dan menambah komen bahawa dia tahu pejuang reformasi Sarawak itu adalah sahabat kami Ben Lazim. Dia sokong penuh pandangan Ben Lazim dan minta Tun Sheikh jangan lupa perit-maung reformasi. Dia mengingatkan ketika kami sama-sama berdoa diimami tokoh alim agama supaya Tun Mahathir jangan dikenakan tuhan bala segera terhadap kecelupaarannya tetapi dipanjangkan umurnya supaya dia sendiri dapat melihat hasil tangan dan mindanya yang telah tidak seimbang ketika memiliki kuasa yang hampir mendekati kediktaktoran.Dia masih benci kepada Tun Mahathir dan berdoa supaya orang tua itu cepat nyanyok supaya suara, nasihat dan komennya terhadap segala bidang tidak didengar dan diikuti oleh kroni-kroninya atau orang yang mudah terpengaruh.

Nadanya amat benci dan terlalu geram pada Tun Mahathir. Tun Sheikh mengingatnya bahawa apa yang Tun Sheikh faham ketika bersama-sama berdoa agar Tun Mahathir panjang umur adalah dengan harapan beliau berasa insaf dan dapat bertobat sebelum ajal. Mengenai kekecewaan dia ketika melihat kegagalan dan keburukan hasil tangan dan mindanya itu adalah urusan dia dengan Tuhan. Jika dia sudah nyanyok sekalipun jika dia nasihatkan perkara kebaikan, adalah menjadi kewajiban kita yang sihat agar memikirkan dan melaksanakan buah fikiran yang baik lebih-lebih lagi yang mengikut sunah dan tidak bertentangan dengan syariat. Sebagaimana pepatah pujangga Arab, anjing itu sekalipun dihina tetapi ada juga kebaikannya. Dan dalam ayat al quran ada menegaskan bahawa Allah menjadikan segala sesuatu bukan dengan sia-sia.

Akhir sekali dia memesan dan menegaskan bahawa Tun Dr Mahathir masih hidup dan doa dulu telah dimakbulkan Tuhan. Tun Sheikh jawab, jom jumpa dia supaya apa yang buruk tidak menjadi fitnah dan umpatan dan yang baik dibuat teladan. Dia kata...boleh blaa Tun Mahathir...dia pantau blog Chedet sebab nak tengok orang tua tu melatah lagi. Masa Paklah jadi PM, dia ingat Mahathir akan gila rupa-rupanya bila Najib ambil ambil alih, sihat pula orang tua tu... Tun Sheikh tersenyum aje...dan talian sayup-sayup terputus. Jauh di lubok minda Tun Sheikh, inilah pandangan seorang profesional yang kecewa dan tidak terkejut jika banyak lagi wakil rakyat dari Parti Keadilan atau Pakatan Rakyat mahupun BN akan keluar menjadi wakil rakyat bebas dengan ikon pelacur politik kerana mementingkan diri sendiri........rosak dan aib sekali apabila kita bercerita apa yang kita buat dengan isteri dalam kelambu sendiri....ada pula sibarua mengapi-apikannya. Maka orang yang seperti ini, tidak kira dari parti apa...jangan kita sokong dan pilih lagi.

Oleh Tun Sheikh

Tun

KEBENARAN TETAP BAIK DAN TIMBUL

0 comments
BIARKAN MEREKA SOMBONG

Minggu lepas Tun Sheikh menerima satu panggilan tidak diduga dari sahabat lama yang pernah mejadi bos Tun Sheikh beberapa tahun dahulu. Dia bertanyakan khabar termasuk sahabat-sahabat yang pernah sama-sama duduk berjam-jam 3-4 kali seminggu membincangkan kefanatikan pengikut dan penyokong Tun Dr.Mahathir ketika gerakan reformasi sedang panas. Bagi kami masa itu bukanlah penyokong reformasi yang melampau tetapi penyokong Mahathir yang sangat fanatik. Dia juga bertanya apa yang Tun Sheikh buat sekarang...berkecuali, menyokong reformasi atau kerajaan Dato' Najib yang kelihatannya masih angkuh dan sombong terutama mengenai ISA dan royalti minyak Kelantan dan kes rebutan kuasa yang memualkan di Perak.Dia juga tanya kes Altantunya yang mati diletupkan bom.

Tun Sheikh jawab, pendirian Tun Sheikh macam dulu saja tetap menyokong yang hak dan menolak kebatilan dengan menggunakan panduan agama dan dalam hal ini petunjuk yang menjamin tidak sesat ketika mengharungi fitnah dunia ini ialah al-quran dan hadis. Tun Sheikh masih terus belajar dan menghayati 2 sumber permata hadiah sang Pencipta. Bila ada ilham, Tun Sheikh menulis tetapi tidak lagi di penerbitan tertentu kecuali blog Tun Sheikh sendiri. Dia pun mintak alamat blog Tunsheikh dan memberi beberapa komen berguna. Itulah salah satu ciri sahabat baik yang ada pada dia, sebab ketika itu juga dia melayari internet pada waktu sedang menelefon Tun Sheikh. Kepala dia memang tergolong dari kumpulan bijak sebab dia memang berjawatan profesional dan masa sekolah dan varsiti dulu score memanjang.

Bila Tun Sheikh tanya seronokkah menjadi bos di Perak? Dia jawab okey jugak daripada duduk bawah bos besar di KL yang kelihatan banyak bersekongkol dengan penjilat dan pengampu. Tun Sheikh tanya lagi khabar seniour yang kaki cacat tapi masa reformasi semangatnya berkobar-kobar sampai terlupa dirinya tempang sebab kaki pendek dua inci akibat kemalagan jalan raya masa belajar di varsiti tahun 1970-an. Dia kata, sahabat itu sudah menunaikan haji dan menjadi bos besar di KL tapi sejak jadi bos besar dia tidak mahu bercakap fasal reformasi atau apa-apa yang diperjuangkan oleh parti keadilan. Sebabnya parti keadilan telah mengidentitikan diri seolah-olah mereka sahaja pejuang reformasi. Segala isu reformasi seolah-olah partitu saja yang punya.

Bila Tun Sheikh tanya macam mana pengalamannya di Perak ketika pergolakan. Dia hanya jawab dia juga seperti Tun Sheikh yang yakin bahawa kebenaran akan tetap akan timbul. Walau pun tidak sekarang mungkin esok. Yang bedanya hanyalah samada cepat atau lambat.Tun Sheikh tanya lagi mengenai penyokong dan pemikir profesional masa di Kuching dulu. Dia kata masih berhubungan dan kami tetap seperti dulu memperjuangkan kebenaran dan keadilan tanpa terikat dengan kepartian. Masa Tun Sheikh mengikut kawan Tun Sheikh pergi berkumpul di rumah geng-geng profesional dia di Kuching dulu, Tun Sheikh memang seronok sebab mereka mengupas mengikut kepakaran masing-masing disamping pengetahuan global am yang luas. Tun Sheikh dikenalkan kepada mereka yang terdiri dari para hakim, doktor, pensyarah, koperat perniagaan, jurutera, akitek dan ketua-ketua jabatan kerajaan yang berpendirian serta anti menjilat. Mereka semua sokong reformasi tetapi bukan yang buta semberono.Ada antara sudah meninggal, uzor dan yang sihat semuanya masih aktif.

Lama juga kami berbual di telefon. Sebelum mengakhiri perbualan, dia pesan sekali lagi jangan lupa tulis tentang pendirian golongan seperti dia yang masih wujud sehingga ke hari ini dan tulislah komen dia yang ikhlas terhadap penulisan Tun Sheikh setelah dia baca dengan pantas. Komennya ialah dia harap Tun Sheikh jangan banyak sangat memuji Tun Dr Mahathir atau menjadikan tindakan Tun Mahathir sebagai bench mark yang baik. Sebabnya ialah bagi kelompok atau golongan kumpulannya, keburukan Tun Mahathir sangat banyak sampai dia berani kata bahawa Tun Mahathirlah yang telah melakar banyak peta minda yang menyesatkan kerana terlalu sombong dan bangga dengan pembangunan. Dia kata jangan lupa terhadap penghinaan Mahathir kepada nabi dan ulamak, raja-raja Melayu, para hakim dan sistem perundangan, kepolisan,pendidikan akta kampus, OSA, cetak dan penerbitan, kewangan bank bumiputera dan sangat-sangat memalukan negara ialah pemecatan TPM dengan tuduhan liwat atau sodomi.Jika ada lagi pemimpin seperti Mahathir lahir maka bersedialah kita menjadi rakyat yang akan teraniaya oleh kuasa diktator!

Tun Sheikh akhiri perbualan dengan kata-kata dan sama-sama gelak ketawa bila Tun Sheikh berkata nasib baik Tun Mahathir cepat sedar dan meletak jawatan! Selamat kita......

Oleh Tun Sheikh

INJIN JET HILANG TANDA LEMAH DAN JATUH MARUAH

0 comments
INJIN JET HILANG
Tun Sheikh diminta memberi pandangan terhadapat peristiwa kehilangan 2 injin jet milik kerajaan. Tun Sheikh menasihatkan kepada penanya dan sesiapa yang berminat mengenai hal ini supaya menyerahkan kepada pihak berkuasa sebab masih dalam siasatan dan telah dijadikan kes mahkamah. Apabila telah menjadi kes mahkamah, selagi belum ada keputusan rasmi atau hukum yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah maka kita adalah dilarang memanjangkan berita yang tidak tentu kesahihannya mahupun berita benar yang kita ketahui.

Apa yang Tun Sheikh ingin perkatakan disini sebagai tidak menghampakan penanya ialah iktibar dan kewaspadaan kita. Pelajaran dan mesej yang boleh kita gunakan untuk kefahaman dan sentiasa bersiap siaga dimasa depan. Ini adalah kerana kehilangan injin jet adalah suatu perkara yang besar dan amat serius jika kita mengetahui kepentingan dan kegunaannya kepada sistem keselamatan dan pertahanan kita.

Jika kita meninjau dunia di luar sana kita akan dimaklumkan dengan yakin bahawa angkatan udara sangat memainkan peranan besar dan sangat mustahak dalam sistem pertahanan setiap negara. Sudah tentu negara Amerika Syarikat dan beberapa buah negara eropah yang unggul dalam pengeluaran dan pembesaran angkatan udara atau sistem pengangkutan mahupun keselamatan atau pertahanan udara dilihat telah mendahului negara-negara yang tidak mengutamakannya.

Seterusnya, teknologi pesawat merupakan teknologi tercanggih yang memerlukan bukan sahaja pengetahuan atau ilmu teknologi tinggi tetapi juga kepakaran yang tinggi kualitinya. Ini hanya terhasil dari para cendekiawan dan pemikir yang tajam akal fikiran berhubung dengan sains dan teknologi. Apa-apa penciptaan memang untuk kebaikan dan keuntungan dan falsafah ini tidak terkecuali dalam hal kekuasaan antara manusia dengan manusia. Sesiapa yang mempunyai akal fikiran yang genius dan ramai pula rakyatnya dan ahli sainsnya yang berupaya berfikir dan mencipta peralatan dan pelbagai barang keperluan dan kegunaan samada dari sekecil-kecil barangan kepada sebesar-besarnya seperti bangunan atau mesin jentera di bumi, di laut atau udara maka merekalah yang menerajui atau mengungguli orang lain.

Di masa ini teknologi di udara mahupun angkasa dianggap teknologi yang paling kedepan dan tercanggih mendahului yang lain. Bagi memudahkan gambaran kita boleh menggunakan perumpamaan orang-orang tua kita dahulu ketika mempelajari ilmu tauhid untuk mengenal Allah. Guru yang mengajar memberi perumpaan bahawa orang yang berusaha mempelajari ilmu tauhid untuk mengenal Allah akan mengambil 1 antara 3 jalan iaitu melalui jalan darat, jalan laut dan jalan udara. Dalam 3 jalan tersebut terdapat pula pelbagai jenis kenderaan misalnya di jalan darat ada yang berjalan kaki, berbasikal, bermotor, kereta, keretapi, bus dan sebagainya. Begitu juga yang menggunakan jalan laut ada yang berenang, memakai pelampung, rakit, perahut, bot, kapal dan sebagainya. Manakala yang menggunakan jalan udara pun begitu juga. Ada yang naik lelayangan, kapal terbang kecil, helicopter, kapal terbang, jet, roket dan sebagainya.

Secara rengkas dan cepat difahami bahawa orang yang ingin bergerak ke suatu tempat yang menggunakan jalan udara adalah orang yang memiliki peralatan dan kemajuan yang jauh lebih baik daripada mereka yang menggunakan jalan darat dan jalan laut. Yang paling pasti orang yang menggunakan jalan udara boleh pula melihat destinasinya dengan mudah disamping dapat memantau orang yang menggunakan jalan darat dan jalan laut. Itulah keistimewaan teknologi udara yang serba pantas dan canggih.

Daripada perumpamaan itu tergambarlah dengan jelas di pemikiran kita betapa sangat penting dan istimewanya teknologi pesawat diudara. Bermacam kegunaannya dan sangat berkesan digunakan sebagai salah satu sistem pertahanan dan keselamatan mahupun dalam teknologi peperangan. Kita pula telah lama mengetahui dengan yakin bahawa negara-negara barat yang mempunyai pesawat dan teknologi udara yang canggih berupaya mempengaruhi dan ada yang menguasai negara-negara yang tidak mempunyai keistimewaan itu.

Jadi di manakah kedudukan negara kita yang sejak dahulu tidak pernah berupaya mengeluarkan atau mencipta ciptaan di udara. Lebih malang apabila kehilangan injin jet segaligus menggambarkan betapa lemahnya sistem pertahanan udara kita hingga sampai ketahap tidak dapat diterima akal atau mustahil boleh terjadi kerana pelbagai faktor. Ini adalah disebabkan kita mengetahui bahawa injin itu sangat berharga dan canggih dan hanya orang yang berkemahiran sahaja tahu mengendalikannya dan orang yang bertanggongjawab ke atasnya pula bukanlah ramai.

Bertambah malang apabila diketahui injin jet yang hilang telah berada ditangan negara asing di luar sana. Bererti pelaku dan orang yang bertanggongjawab itu juga terdiri orang yang berakal besar atau cerdik tetapi mengapa mereka sanggup melakukannya. Mereka telah pecah amanah kerana kepimpinan yang lemah dan rasuah. Itu adalah andaian spontan kepada semua rakyat yang mengetahui bahawa semua urusan mengenai angkasa atau udara ditangani oleh mereka yang bijak pandai bukan sebarangan orang yang mengambil jalan darat dan laut dalam perumpaan mencari tauhid yang tersebut di atas.
Oleh Tun Sheikh

Tidur Yang Jaga

0 comments
Tidur Yang Jaga Tetap Leka

Katakan Yang Kebenaran Walau Satu Perkataan
Rahsiakan Hubungan Jiwamu Dengan Pencipta Dengan Berdiam


Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Tun Sheikh menerima banyak sms, panggilan telefon dan e-mel selain percakapan lisan daripada sahabat handai, saudara mara dan kenalan mahupun pembaca yang tidak dikenali bertanyakan kemana Tun Sheikh pergi lebih dua bulan menyepi diri. Sampai ada yang berkata, diri Tun Sheikh jika tidak jumpa dan gaib entah dimana pun tidak apa tetapi penulisan mestilah berterusan kerana kini alam siber, di mana-mana boleh melakukannya. Ada yang menegur, menasihati atau sekadar bertanya khabar tetapi ada juga yang marah-marah kerana menganggap anugerah menulis adalah amanah Tuhan dan setiap insan mempunyai peranan masing-masing dalam pakej kehidupan di bumi Allah ini.


Tersentap hati sanubari Tun Sheikh bila mengenang pengalaman ini tetapi amat bersyukur kerana inilah tanda nikmat berkawan dengan penjual minyak wangi. Walaupun kita tidak membeli atau dia tidak memberi tetapi bau wanginya sekurang-kurangnya terhidu oleh kita secara percuma. Tun Sheikh ucapkan terima kasih kepada anda sekalian yang perihatin. Mudah-mudahan Allah permudahkan urusan kita dan diredhai Allah.


Tun Sheikh menerima semua teguran positif dengan lapang dada tapi memang dasar manusia, alasan atau penjelasan tidak boleh dikesampingkan kerana fitnah musuh akan terus membara jika sebab musabab tidak dikemukakan. Ini perlu kerana sekurang-kurangnya ia boleh mengimbang perasaan diri yang ditunjuk itu. Al maklum, kadang-kadang kita tidak mengetahui siapa itu teman dan siapa itu lawan. Syaitan dicipta dalam keadaan gaib yang tidak kita nampak tetapi mereka nampak kita dari berbagai sudut. Nabi saw ada berpesan supaya kita berhati-hati dengan sahabat handai atau kenalan mahupun orang yang masih jauh hubungan dengan kita yang suka memuji berlebihan. Teman yang baik itu adalah yang menegur atau menasihati kita terhadap perbuatan kita yang tidak elok dan bercanggah dengan syariat. Teman yang elok tidak memuji secara berlebihan dan kita terasa dia mengasihi kita bukan kerana terhutang budi kepada kita tetapi kerana akhlak agama.


Dua bul
an Tun Sheikh dianggap tidur, menyepi atau menghilangkan diri dalam dunia siber ini. Sebenarnya Tun Sheikh terlalai kerana melayan pelbagai rupa sms, emel dan perbualan telefon mengenai soal kehidupan harian. Tun Sheikh disibukkan dengan mengurus dan menjadi orang tengah dan penasihat kepada pergolakan 5 pasang rumahtangga dan pernikahan 2 pasang pengantin yang terdiri dari keluarga terdekat dan sahabat handai. Isyaallah Tun Sheikh akan menulisnya dalam kolum Ajaran Hidup blog ini. Tun Sheikh juga tidak dapat mengelakkan diri untuk membalas e-mel. Kepada teman dan taulan yang masih belum menerima balasan, Tun Sheikh susun jari sepuluh minta maaf. Insyaallah Tun Sheikh akan jawab apabila berkesempatan.


Banyak juga Tun Sheikh merespon samada bertanya dan memberi pandangan atau pendapat mahupun idea kalau boleh dikatakan sebagai idea di blog-blog bloger lain. Ini juga mungkin telah mencuri fokus Tun Sheikh terhadap blog sendiri. Dan banyak masa juga Tun Sheikh pergunakan untuk membaca buku kerana Tun Sheikh memang gairah membaca. Jika pergi kedai buku janganlah ikut Tun Sheikh jika tidak berminat membaca sebab akan bosan manakala Tun Sheikh boleh berjam-jam di situ. Dari satu segi dan sudut lain, boleh dianggap kelemahan agaknya kepada orang lain yang melihat dari sudut yang lain.


Tidak apalah, Tun Sheikh tetap menerima teguran mengenainya secara terbuka sebab kadang-kadang Tun Sheikh sendiri sering pening (bukan sakit kepala) apabila berada dalam kedai buku atau pepustakaan sebab terlalu seronok hingga terasa begitu rugi dan bodoh jika tidak mengambil kesempatan apabila telah sampai di situ. Lubuk alam minda menghantar mesej malah menyakinkan Tun Sheikh bahawa begitu bodoh, lemah, cetek ilmu dan pengetahuan, ketinggalan masa dan jahil serta kerdil apabila semakin ditambah waktu atau membaca. Terasa jika hidup 50 tahun lagipun, tidak akan habis dan berkesempatan untuk memenuhkan dan menghabiskan membaca buku-buku yang terpampang di mata.


Betapa rugi dan sayunya di perasaan dan hati Tun Sheikh. Tepat dan betul sungguh sebagaimana Allah swt mengingatkan kita bahawa demi masa manusia itu adalah dalam kerugian.....Allah...Allah...ampunkanlah hambamu yang jahil dan kerdil ini ya Allah. Tun Sheikh sering rasa gementar dan tidak selesa jika tidak dapat menyelesaikan pembacaan buku mengikut target yang Tun Sheikh tetapkan. Contohnya Tun Sheikh terasa terkial-kial untuk menghabiskan pembacaan sebuah buku sejarah tamaddun Islam terdiri dari dua jilid yang ditulis oleh Prof. Masudul Hassan dalam vesi Inggeris. Patutnya sudah habis tetapi baru 3/4 Jilid I. Aduh..gelisahnya...manakala masa berlari begitu pantas. Dari Oktober ke Disember 2009 Tun Sheikh target membaca 9 buah buku tentang tamaddun Islam termasuk mengulang membaca terjemahan al quran tetapi hanya baru selesai 7. Syaitan sering membisik agar berhenti saja dari membuat kerja bodoh ini. Lagipun Tun Sheikh bukanlah fast reader. Allah...A uzubillah himinasyaiton nirajim! Berilah aku kekuatan dalam menghadapi musuhMu ini ya Allah.


Tun Sheikh bertambah teruja apabila periswtiwa-peristiwa dan isu-isu semasa sangat mencabar minda. Isu injin jet hilang, isu kalimah Allah oleh Kristian Malaysia, isu pergolakan kepimpinan kerajaan mahupun pembangkang, penyelewengan dan rasuah ikan jerong dan lain-lain sangat-sangat mencabar untuk membuat kita sekurang-kurangnya melatah. Mengapa? Ini adalah kerana kita peka kepaada diri sendiri dan keadaan sekeliling, kita mempunyai kebudayaan dan kepercaan dan keyakinan dalam penghidupan ini. Disamping itu kita juga tercipta dengan fitrah kebaikan dan kesempurnaan.


Duduk mendiamkan diri merenunginya seolah tiada penghujung dalam menikmati kepuasannya tetapi mengadu dan bersedih tentang keadaan sekeliling yang kelihatan bertambah celaru ini biarlah dirahsiakan saja kerana anda sekalian pastinya mempunyai pengalaman yang tersendiri. Teruskanlah berdoa dan bermunajat. Namun begitu Tun Sheikh juga ingin nukilkan kerana tersentap diri ini dari tidur yang jaga dan tidur yang jaga itu adalah juga kelekaan dan kelalaian jika buahnya tidak disumbangkan kepada masyarakat luar. Wasalam.


 
Copyright 2009 Blog Tun Sheikh
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere