Dato’ Sri Najib Perdana Menteri Kita

0 comments
Dato’ Sri Najib Perdana Menteri Kita

Melayu Sebenarnya Sebuah Bangsa Bertamadun Tinggi Dunia Sejak Kurun-Kurun Sebelum Masihi


Najib ialah anak kepada Perdana Menteri Kedua Malaysia. Budaya mewarisi kepimpinan bapa atau keluarga masih diyakini oleh masyarakat Melayu kita. Letak siapa saja asal ada hubungan waris yang pernah menjadi pemimpin Melayu, maka anak atau keturunan mereka akan diterima baik oleh orang Melayu. Kadang-kadang mereka menerimanya tanpa menilik lagi kepada perangai atau pembawaan tokoh itu. Asal ada kelulusan minima yang ditetapkan maka biasanya tokoh yang ada kaitan dengan bekas pemimpin akan diterima baik. Di negara ini jika dikaji dengan catatan fakta maka boleh disimpulkan bahawa 80% barisan kabinet atau menteri kabinet kita ada hubungkait dengan keluarga yang pernah menjadi menteri suatu ketika dulu. Jika dikaji secara terperinci, mungkin kebanyakan mereka sebenarnya tidak memiliki nilai atau standard kualiti sebagai pemimpin yang benar-benar tulen.

Bolehkah kita mempertikaikan kebolehan Dato’Sri Najib? Tentunya kita berasa yakin beliau seorang yang berkebolehan kerana beliau telah berpengalaman lama menjadi menteri. Tetapi mengapa bayang-bayang kebaikan bapanya masih menjadi imejnya? Mungkin ini adalah kerana bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak adalah seorang tokoh yang begitu ikhlas dan jujur kepada bangsanya. Dato’Sri Najib sendiri sebenarnya dianugerah raut wajah yang tenang dan sejuk mata memandang dan sekaligus membawa tanggapan positif kerana wajahnya memperlihatkan imej yang baik dan prihatin. Mungkin disebabkan rekod-rekod gosip buruk seperti rasuah ketika menjadi menteri pertahanan dan pembunuhan gadis Monggolia itu yang telah mengurangkan tarikan kepada dirinya. Perlakuan isterinya yang berlebih-lebih sebagai Wanita Pertama juga telah banyak menghitamkan imejnya yang baik. Ini belum lagi dinilai dengan penglibatan penasihatnya yang dituduh sebagai agen Yahudi.

Kini rakyat bertambah risau dan tertanya-tanya adakah pandangan dan pemikirannya adalah benar-benar datang dari dirinya. Diantara ideanya telah menjadi dasar negara ketika ini tetapi rakyat seolah-olah tidak yakin itu datang darinya. Contohnya dasar 1 Malaysia dan dasar pembagunan negara dirasakan mengarah ke suatu matlamat yang merugikan rakyat marhein Melayu. Dengan perkataan lain, rakyat terasa seperti ada kelompok tertentu yang sedang mencucuk hidung Perdana Menteri yang dikasihi itu. Rakyat sangat bimbang jika akhirnya negara ini hanya menjadi belaci kepada sesuatu kelompok kapitalis atau kuasa luar yang berlagak kekasih tetapi sebenarnya adalah musuh bagai gunting dalam lipatan.

Perkara ini menjadi isu dan polimik dalam pemikiran orang Melayu kerana terkejut dengan ucapan beliau ketika memberi amanat di tahun baru 2011. Dato’ Najib telah menegaskan betapa perlu dan pentingnya kesatuan dan perpaduan serta usaha pembagunan negara bagi memastikan negara ini sentiasa bergerak maju dan tidak ketinggalan dalam segala bidang. Meskipun ucapan ini tidak dirasakan sesuatu yang baru dan rakyat dapat menerimanya tetapi apa yang menjadi kontra ialah nasihat atau peringatan beliau agar rakyat jangan coba-coba berfikir atau ingin mencoba-coba menukar rentak atau sistem atau lebih tepat sekali menukar pemerintahan atau kerajaan daripada BN kepada yang baru.

Dato’ Najib selaku Perdana Menteri sebenarnya tidak wajar mengutarakan soal itu kerana tentu sekali ia mengambarkan kedangkalan pemikiran dan seolah-olah menambahkan keyakinan kepada rakyat bawa beliau adalah pemimpin yang dicucuk hidung atau ada tangan-tangan gaib yang mencengkam tengkoknya. Seharusnya beliau peka dengan kesetiaan rakyat terutama orang-orang Melayu kepada kepimpinannya tetapi ucapan atau kemahuannya itu telah menipiskan keyakinan Melayu kepada beliau. Beliau sepatutnya tidak mempersoalkan kebebasan minda rakyat khususnya orang Melayu kerana beliau pernah menggalakkan rakyat berfikran global dan glokal.

Ketika Revolusi atau Reformasi Mesir sedang di puncak pergolakan, sekali lagi ucapan Dato’ Najib telah memerangkap atau menonjolkan siapakah tangan besi atau pengendali kuasa di belakang beliau apabila dia memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak meniru cara rakyat Mesir menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak. Buah ucapannya sangat mengejutkan dan amat bertentangan dengan kefahaman dan amalan demokrasi. Beliau sepatutnya memfokuskan nilai-nilai keamanan dan keadilan yang dilaksanakannya bagi mengelakkan huruhara atau peristiwa sepertimana berlaku di Mesir itu. Rakyat masih terngiur-ngiur dengan amaran beliau yang boleh dikatakan tidak relevan semasa memberi amanat tahun baru 2011. Belum genap sebulan, beliau meledakkan pula isu revolusi Mesir yang dianggap ganas dan tidak wajar tanpa beliau meneliti ertikata demokrasi dan sistem atau corak pemerintahan mengikut kehendak suara rakyat itu. Sebenarnya adalah lebih baik PM memikirkan suatu nilai perubahan kepada sistem pemerintahannya sebelum ditolak rakyat dengan cara meniru rakyat Mesir.

Kelmarin, 22 Februari 2011, sekali lagi orang Melayu terkejut dengan ucapan pengakuan Dato’ Sri Najib mengatakan bahawa beliau seorang yang rasional, sabar, berpengalaman lebih 30 tahun dalam politik dan sebagainya jadi tidak perlu rakyat memikirkan kekurangannya hingga perlu mengadakan reformasi atau revolusi seperti Mesir. Beliau seolah-olah dikejar bayang hitamnya sendiri kerana perkembangan di Timur-Tengah menggambarkan suatu kebangkitan rakyat secara menyeluruh dan menular dari sebuah negara ke sebuah negara. Dari Tunisia ke Mesir dan kini di Libya, Magribi dan seterusnya terutama di benua Afrika Utara itu.

Sebenarnya apa yang berlaku bukanlah suatu pergolakan atau keburukan kecuali kebangkitan rakyat yang dinafikan hak dan kebebasan mereka mengikut prinsip demokrasi mahu pun mengikut pedomen Islam yang betul. Mereka berasa kerajaan telah mengabaikan mereka kerana terlalu mengikut telunjuk dunia Barat atau Yahudi disamping mengecapi kekayaan negara yang dinikmati oleh hanya kumpulan birokarasi pemerintah atau yang pro kerajaan. Hal ini memang ada persamaannya dengan matlamat reformasi di Malaysia yang sebenarnya masih belum muktamat. Maka kerana itulah diperkirakan mengapa Dato’Sri Najib seperti dikejar bayang-bayang hitamnya sendiri. PM tidak perlu menggempak rakyat jika benar beliau terasa begitu. Rakyat berasakan itu bukanlah dari pemikiran beliau sendiri kerana jiwa-jiwa Melayu masih menyayangi beliau dan masih mengenal keluarga dan jatidiri beliau sendiri. Orang Melayu yang perasa dan sensitif berasa itu semua adalah bersumber dari pakar penasihat-penasihat asing beliau. Yang terpenting, beliau mesti segera berubah dan terbuka sebelum pengaruh revolusi di Timur-Tengah menular ke negara ini. BN masih belum terlambat jika mereka benar-benar ikhlas dan jujur mentadbir untuk rakyat Malaysia.

Sehubungan dengan itu, kepimpinan Melayu dan semua orang Melayu termasuk UMNO adalah diseru agar segeralah kembali semula ke asal perjuangan untuk agama bangsa dan negara. Ketepikan kepentingan diri dan janganlah sombong dan membanggakan diri walau menang disetiap pilihanraya kecil. Bangsa Melayu pada hakikatnya bukanlah baru lahir sejak merdeka 1957 tetapi telah wujud berabad-abad sebelum tahun masihi dengan peradaban dan tamadun yang tinggi.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara.

Rasuah Di Arkib Negara

0 comments
RASUAH DI ARKIB NEGARA

Arkib Boleh Dikata Rasuah Jika Tidak Netral Dalam Profesionnya

Pernah heboh seketika cerita tentang rasuah di Arkib Negara. Hal ini terjadi sekitar 2005 – 2010. Tetapi tidaklah merebak ke seluruh pelusuk Negara kecuali di Kuala Lumpur saja. Perkara ini berlaku ketika Ketua Pengarahnya diterajui oleh seorang lelaki bergelar dato’. Apabila ramai orang mula memasang telinga, rupa-rupanya ada segelintir manusia yang suka mengambil kesempatan. Cerita hitam boleh menjadi putih dan sebaliknya. Sentimen ketika itu seolah-olah dikuasai oleh pengaruh politik. Maka jika sesebuah jabatan yang berjaya dan cemerlang dan jabatan itu ada kaitannya dengan seseorang menteri atau tokoh politik yanag tidak disenangi, maka berita yang kecil dan tidak penting disensasikan. Ada juga jabatan lain yang berasa iri. Maka tersebarlah cerita mengarut dan fitnah.

Ketika itu Arkib Negara banyak mengendalikan pelbagai projek mendirikan bangunan yang bernilai jutaan ringgit. Hal sebenar apa yang berlaku ialah pada waktu yang sama banyak jabatan ternama lain gagal mengurus peruntukan kewangan yang ditetapkan iaitu 85% target perbelanjaan. Arkib Negara tidak pernah gagal mengurus dan membelanja peruntukan kewangan mengikut apa yang dirancang hingga terdapat rekod perbelanjaan mencapai 90% setiap tahun berturut-turut. Kerana peruntukan pembangunannya dan mengurusnya berjumlah berjuta ringgit, maka ia disangsikan. Itulah manusia Melayu atau minda yang dipupuk UMNO. Kerana trend berita ketika itu dan sampai ke hari ini seolah-olah terpaksa mengikut telunjuk orang yang berkepentingan dalam politik. Mereka menggunakan segala kemudahan untuk menikam teman seperjuangan sendiri dalam arena politik cantas mencantas.

Pada bulan November 2010, apabila ketua pengarah jabatan ini bertukar tangan, dengan segera beliau memanggil Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah datang membuat taklimat dan dirakam untuk suatu acara TV 1 yang popular. Ketua Pengarah Suruhanjaya itu telah menjelaskan isu rasuah yang dipertanggongjawabkan kepada beliau dan ramai bloger dijemput hadir. Beliau telah memberi penjelasan berkenaan laporan rasuah dan kes yang boleh dan yang tidak boleh diketengahkan atau diambil tindakan. Lebih teruk jika media memainkan peranan yang salah dan lebih buruk jika sesuatu kes rasuah dipolitikkan oleh orang politik.

Dalam taklimatnya, beliau mengelakkan diri menjawab soalan sensitif seperti kes seorang pembantu tokoh politik pembangkang yang mati disyaki dihumban oleh pegawai penyiasat beliau di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah. Walau bagaimanapun hujah dan penjelasan beliau boleh dikatakan dapat diterima kerana beliau kelihatan begitu ikhlas dan berjaya menyampaikan maksud, fungsi dan objektif serta peranan Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPR) dengan jelas meskipun secara bersahaja .

Rakyat memang mengharapkan ketulusan beliau kerana beliau baru saja menerajui SPR dan beliau mengakui bahawa tugas dan tanggongjawab beliau adalah amat berat. Rakyat akan melihat beliau seolah-olah bias kerana tindakan beliau terkongkong dengan tangan gaib pihak atasan di samping batasan perundangan yang terhad. Beliau juga terpaksa mengutamakan ketenteraman awam dan terpaksa berhati-hati ketika menjalankan penyiasatan supaya keselamatan maklumat, bahan-bahan bukti kes terjamin dan kerahsiaan terpelihara bagi mengelakkan daripada disabotaj dan sebagainya. Kurangnya kuasa penyetoran, penyimpanan dan kawalan keselamatan dari segi undang-undang sering menyebabkan bahan bukti yang terkumpul hilang dan keselamatan individu sebagai saksi utama tidak terjamin mengakibatkan kes-kes yang disiasat menjadi longgar dan sering ditolak oleh Peguam Negara.

Ramai para bloger yang dijemput hadir di Auditorium Arkib Negara di Jalan Duta kelihatan begitu berminat untuk mendapatkan first hand news. Para bloger sebenarnya memang menjadi sasaran utama dalam taklimat SPR ini kerana para bloger lebih mendahului media utama dalam menyibarkan berita ketika ini. Rakyat pula ketika ini memang cenderung untuk mendapatkan berita daripada para bloger daripada akhbar-akhbar perdana kerana akhbar-akhbar tersebut terlalu bias kepada kerajaan sehingga berita yang ditonjolkan kelihatan begitu tempang, menyimpang dan ada yang meloyakan.

Apabila Tun Sheikh bertanya kepada para bloger apakah yang diharapkan dalam pertemuan dengan ketua SPR itu, mereka berpuashati kerana mengerti dan faham peranan dan tanggongjawab yang dimainkan oleh SPR. Mereka juga berpuas hati dengan berita Jabatan Arkib Negara yang rasuah itu kerana mereka kini mengerti bahawa dalam linkungan jabatan-jabatan kerajaan ada juga watak-watak pedengki dan taksub kepada seseorang tokoh politik atau menteri. Mereka berani melabel naunsa ini adalah hasil keboborokan pemimpin UMNO yang tidak cerdik. Ini adalah kerana tiada rasuah atau salah guna kuasa di Jabatan Arkib Negara ketika menguruskan perbelanjaan peruntukan jutaan ringgit yang diberikan kepada jabatan ini untuk membangun bangunan fizikalnya dan memajukan pengurusan kearkiban yang dirancang. Mereka cekap dan mereka berjaya membelanjakan peruntukan kewangan sebagaimana ditetapkan.

Berkaitan dengan kuasa SPR pula, rata-rata para bloger tidak bersetuju SPR diletakkan dibawah kuasa Perdana Menteri. Mereka mencadangkan agar institusi SPR lebih berkecuali seperti di bawah Parlimen atau Majlis Raja-raja. Dan apabila Tun Sheikh sendiri ditanya oleh mereka, Tun Sheikh berpendapat selagi badan yang mengawal dan menguatkuasakan undang-undang seperti SPR tidak berasal dari orang yang berpengetahuan agama dan tidak menggunakan perundangan Islam maka apa yang diperkatakan oleh Ketua SPR itu hanya retorik sahaja. Ini adalah suara hati Tun Sheikh sendiri kerana begitu terpegun dengan mukadimahnya membaca ayat-ayat suci Al-Quran berkenaan rasuah dan penyelewengan. Bertambah menarik apabila beliau memuji-muji kesempurnaan perundangan Islam tetapi beliau sendiri tidak berani mengesyorkan agar undang-undang sedia ada ditukar kepada perundangan Islam. Jadi jika beliau sebagai orang besar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah sudah mengenal pasti kelemahan, kuasa dan perundangan SPR yang tidak baik tetapi tidak berani menyarankan sesuatu yang diyakini lebih baik…maka beliau serupa sahaja seperti burung kakak tua. Cuma, mungkin beliau dari spisis bulu yang berwarna warni dan begitu menarik serta berkesan untuk dipergunakan….

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

NASIB PARA KARYAWAN DAN PENGKRITIK POSITIF MALAYSIA

0 comments
NASIB PENGKARYA DAN PARA KOMENTAR KRITIS MALAYSIA

Ketika ini amat terasa kebebasan menulis, berbicara, memberi pandangan atau komentar sudah tidak sebebas lagi mengikut etika kewartawanan dan disipilin badan-badan penulisan. Ini adalah kerana bahan atau hasil penulisan begitu mudah dimanipulasikan oleh kuasa atau individu yang berkepentingan bagi menutup aib atau kesilapan mahupun tindakan zalim yang pernah dilakukan. Mereka seolah-olah terlindung dari diperkatakan mengikut saluran perundangan melalui saman-saman yang memihak kepada mereka. Individu, badan dan kesatuan penulis pula biasanya tidak mampu membayar saman yang dituntut. Begitu juga kepada para penerbit dan pemilik mesin percetakan yang banyak terpaksa ditutup dan diumumkan bankerap kerana tidak mampu membayar tuntutan saman yang melampau dan sah dari mahkamah.

Isu ini sehingga ke hari ini tidak memihak kepada pengusaha dan pengkarya atau para penulis. Mereka seperti terpaksa mengikut arus yang dikehendaki dan disenangi oleh pihak yang berkuasa sama ada dalam politik atau para pemodal besar. Akibat yang amat ketara ialah sepinya komentar dan pandangan mahupun teguran membina dari mereka kerana tidak mahu mendapat kesusahan dan berdepan dengan titik bengit masalah harian akibat kena saman dan sebagainya. Apabila tiada komentar dan pandangan kritis secara terbuka maka rakyat tidak menerima berita dan maklumat yang tepat. Keadaan ini memberi kelebihan yang optima kepada pihak berkuasa untuk mempengaruhi rakyat dengan agenda mereka.

Isu segala penyelewengan dan pecah amanah yang terperinci dan tepat amat susah didapati di dada akhbar dan media massa. Maklumat dan berita hanya boleh didapati menerusi perbahasan di Parlimen dan itu pun juga terhad kerana para ahli yang berhormat juga tidak terkecuali daripada ugutan saman. Berita dari sumber penerbit yang berkecuali dan penerbitan milik pembangkang juga dikawal dan disekat. Ketelusan dan kemudahan yang boleh didapati melalui internet pula sering terganggu dengan digodam hacker, virus dan aktiviti divert ke URL yang tidak dikehendaki.

Ketika ini berita-berita sensasi bukan lagi milik orang ramai tetapi adalah milik pihak berkuasa. Jika berita yang tersebar menguntungkan pihak yang berkepentingan maka berita itu diusahakan menjadi candu kepada para pembaca atau rakyat. Jika berita itu membongkar keburukan atau kejahatan mahupun penyelewengan mereka yang berkuasa maka berita itu sendiri diselewengkan faktanya malah ditegah daripada diterbitkan.

Para penulis akan dituduh sebagai penghasut, penyebar fitnah, pencetus suasana gelisah dan yang lebih berat lagi ialah sebagai pencetus porak peranda secara minda mahupun fizikal. Mereka boleh ditahan di bawah akta ISA (dimasukkan ke dalam tahanan tanpa perbicaraan dan keputusan mahkamah keadilan). Hal sama ada tindakan dan penggunaan akta ISA sebagai zalim dan menafikan hak budi kemanusian bukanlah dianggap penting dan menjadi utama. Apa yang utama dan penting ialah kuasa dan politik yang berkuasa terselamat daripada jatuh dan hilang. Untuk itu mereka sering salah menggunakan kuasa untuk memberi tekanan kepada mereka yang terlihat dan mengesan kecurangan dan penyelewengan yang dilakukan.

Berbalik kepada isu ketidakbebasan berkarya terutamanya di bidang penulisan mahupun kesenian, maka halatuju dan perkembangan kebudayaan bangsa Malaysia ketika ini adalah berbalik ke belakang atau ketinggalan. Sekatan terhadap karya-karya yang kreatif, kritis dan sensitif sebenarnya membunuh perkembangan sihat alam kreativiti minda yang menghasilkan budaya kehidupan manusia. Apalah ertinya jika hasil karya melalui lukisan kartun, nyanyian, novel, cerpen yang berobjektif hiburan atau mengurangkan ketegangan disalahertikan, disaman dan disekat seolah-olah hasil karya penulisan mahupun bakat seni mereka adalah peraturan atau realiti kehidupan yang mesti dirujuk dan diikuti.

Pada hakikatnya, pihak-pihak yang mengambil tindakan menyekat dan menyaman ini adalah lemah dan tidak lagi bijak dan tidak pantas memimpin manusia. Mereka mengambil dan menggunakan jalan mudah untuk menyelamatkan diri mereka yang curang dan tidak amanah. Pada awalnya mereka juga merupakan kelompok manusia yang berpikiran positif. Apabila berkuasa dan tercandu dengan kesenangan dan kemewahan, mereka menjadi lupa daratan dan otak yang tajam menjadi lemah. Keadaan pemikiran mereka bertambah buruk apabila kehidupan mereka diselubungi dan terhasil dari daya usaha penyelewengan dan curang tidak amanah.

Hasil atau produksi para pengkarya dan para komentar yang kritis sebenarnya mengimbangi kencenderungan para pemecah amanah dalam segala bidang kehidupan daripada terus menyeleweng. Malangnya ugutan dan perlindungan rasmi yang menyebelahi pihak berkuasa melalui perundangan menyebabkan akan berlaku kepupusan pengkarya kritis dan para komentar yang positif. Para pengamal rasuah dan segala kebejatan pihak berkuasa dan berwibawa tidak terdedah. Akhirnya merekalah yang sebenar-benarnya perosak bangsa kerana amalan dan semaian kehidupan harian mereka akan menyebar, mencorak dan menghasilkan budaya songsang.

Para pengkarya dan para komentar seni budaya yang lahir dari telunjuk mereka tidak akan berani menyuarakan kebejatan yang diamalkan. Mereka berasa diri mereka gah tetapi sebenarnya mereka sedang berbalik ke belakang menuju kehancuran.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

SAMAN EKOR YANG MENGANIAYA

0 comments
Saman Ekor Yang Menganiaya

Polimik mengenai saman ekor di bulan puasa 2010 tempuh hari banyak membuka mata dan kesadaran kepada pengguna jalan raya yang selama ini teraniaya tetapi tiada pembelaan. Tun Sheikh sangat bersetuju dan berpendapat sistem merakam kesalahan dan secara otomatis dikenakan saman yang dikenali sebagai saman ekor tanpa penahanan dan pemakluman serta pengakuan pengguna jalan raya itu memang berat sebelah dan membebankan. Hal ini bertambah bercelaru apabila pemilik kenderaan tidak memandu atau tiada di tempat yang dirakamkan kesalahan jalan raya itu dikenakan pendakwaan kerana dianggap bertanggongjawab terhadap kenderaannya. Hal ini melahirkan pelbagai masalah kerana ada pemilik kenderaan yang telah terjual lama tetapi masih belum bertukar nama menjadi mangsa. Begitu juga terhadap pemilik yang berada di luar negeri mahupun pemilik yang tidak menyedari keretanya dilarikan anak atau saudara mara ketika terlepas pandang atau tidur dan sebagainya.

Cerita penganiayaan saman ekor ini serta merta mendapat sambutan rakyat dan menjadi perjuangan parti pembangkang. Walau pun kerajaan menganggap parti pembangkang mengambil kesempatan dan menjadikan ia sebagai isu politik demi kepentingan parti pembangkang tetapi sangat dipersetujui dan disenangi rakyat. Rakyat menganggap perkara ini dianggap remeh dan kecil oleh kerajaan kerana kerajaan sibuk dengan projek mega dan tidak menghiraukan kebajikan rakyat biasa. Pada waktu yang sama kerajaan dianggap menganiaya kerana mengaut untung dari saman yang dikenakan melalui sistem ugutan itu. Suasana kepekaan dan mesra rakyat ini telah menusuk di hati rakyat bahawa parti pembangkang memang benar-benar prihatin dan memperjuangkan nasib rakyat.

Apabila parti pembangkang memperjelaskan kedudukannya kepada awam dan mereka yang kena saman ekor tidak perlu membayar denda, barulah kerajaan melonggarkan sedikit mengikut budi bicara mereka dengan menangguhkan pembayaran saman dan membuka atau memutihkan sementara nama-nama pemilik kenderaan yang disenarai hitamkan. Hal ini bertambah membuka mata rakyat terhadap penganiayaan kerajaan selama ini kerana berkuasa untuk menekan, mengugut dan melonggarkan sesuka hati. Padahal apa-apa yang berkaitan kewangan mestilah telus dan mempunyai sistem yang tiada siapa boleh merubahnya kecuali keputusan parlimen. Dengan perkataan lain mestilah mengikut atau mempunyai akta tertentu.

Rakyat juga telah sadar tindak tanduk kerajaan mencari wang untuk belanja pilihanraya. Apabila kerajaan akan mengadakan pilihanraya maka pelbagai agen penguatkuasa akan diarah menggandakan kerja-kerja mencari kesalahan dan menyaman rakyat. Agensi yang mempunyai kuasa dan akta membolehkan saman, akan dikerah sepenuhnya sehingga agensi yang bertimbang rasa dan tidak berjaya mengutip saman atau denda cukai yang diharapkan pernah dihadiahkan penyapu.

Pada waktu yang sama kerajaan di peringkat pusat pula akan meluluskan pelbagai projek mega dan tender-tender dikerah dibuka segera. Sebenarnya apabila banyak projek diluluskan maka banyaklah duit kroni mahupun duit sumbangan akan masuk atau berlakon sebagai penaja pelbagai aktiviti parti kerajaan. Secara tidak langsung, politik wang dan budaya rasuah pun subur.

Tun Sheikh masih teringat di awal tahun 1990-an dulu kerajaan pernah memberi kuasa kepada pegawai awam dari kumpulan A atau professional membuat laporan kesalahan pengguna jalan raya kepada JPJ. Akibatnya pernah berlaku pegawai polis dan pegawai awam yang berjiran bermusuhan kerana kuasa liar ini. Polis dengan kuasa menjaga keamanan 24 jam telah salah guna kuasa dan begitu juga pegawai awam yang membalas dendam pegawai polis yang tidak mahu membantunya melepaskan kes saudara mara dengan membuat laporan kesalahan jalan raya yang telah menyusahkan kedua belah pihak. Berikutan dari itu kuasa kepada pegawai awam ini ditarik balik dan Tun Sheikh sangat bersetuju keputusan memberi kuasa kepada pegawai awam yang tidak relevan adalah keputusan dangkal pemimpin politik UMNO ketika itu.

Begitu juga dengan arahan memasang lampu lori dan lampu motosikal di siang hari atas dasar keselamatan yang ditiru dari sebuah negara eropah. Ironinya kerajaan tidak mengambil tahu apabila terdapat sungutan dan laporan kenaikan harga mentol lampu kenderaan berkenaan kerana pembekal kehabisan setok berikutan permintaan berlipat kali ganda dari pelanggan atau pengguna. Apabila persatuan pengguna menyiasatnya, mereka mendapati memang berlaku kehabisan setok kerana kenderaan yang diwajibkan memasang lampu siang hari cepat rosak dan menjadi beban pemiliknya. Kerajaan seolah-olah malu untuk menarik balik arahan yang tidak bijak itu dan sehingga ke hari ini hal itu senyap begitu sahaja.

Berbalik kepada saman ekor, Tun Sheikh amat teruja apabila terkena batang hidung sendiri. Memang Tun Sheikh berterima kasih kepada PAS yang mengangkat kes saman ekor ini ke peringkat nasional dan terasa PAS memang telah berjasa kepada rakyat biasa. Pada hujung Julai lepas kereta isteri Tun Sheikh telah tamat cukai jalan. Kereta ini digunakan seharian pergi mengajar selaku pegawai pendidikan atau guru sekolah pada istilah yang mudah. Jika pangkat besar tentunya ada disediakan kenderaan khas kerajaan tapi kita ini rakyat biasa. Seminggu sebelum tamat tempuh cukai jalan, Tun Sheikh telah membayar wang pembaharuan cukai jalan dan insuran kepada pihak bank yang menyimpan buku daftar kenderaan kerana membeli kereta menggunakan pinjaman bank untuk menguruskannya.

Malangnya seminggu setelah tamat tarikh cukai jalan, pihak bank memaklumkan cukai jalan kereta isteri Tun Sheikh tidak boleh diperbaharui kerana disekat JPJ. Isteri di Johor Bahru setiap hari menalifon Tun Sheikh yang bekerja di Kuala Lumpur kerana risau kereta yang terpaksa dipandu ke sekolah tiada cukai jalan. Apabila Tun Sheikh menghubungi JPJ, rupa-rupanya gara-gara saman ekor yang dikeluarkan pada tahun 2008. Pelik, sebab selama ini tiada makluman dan tiada sekatan pada tahun 2009 dan 2010. Pihak bank tidak boleh berbuat apa-apa kecuali setelah Tun Sheikh membayar saman ekor. Nasib menyebelahi Tun Sheikh apabila pada waktu yang sama Parti PAS membuat beberapa demontrasi jalanan mendakwa saman ekor adalah tidak wajar kepada dunia yang moden dan bertamaddun kerana ia bersifat draconian atau penindasan.

Apabila kerajaan melonggarkan tempuh bayaran denda saman ekor, secara otomatis cukai jalan kereta isteri Tun Sheikh dapat diperbaharui oleh pihak bank setelah tiga minggu tergantung kelewatan. Tun Sheikh juga tidak berpuashati terhadap tarikh, masa, tempat dan tahun kena saman ekor kerana masa itu kereta itu bukan dalam tangan kami tetapi dipakai saudara. Untuk menyiasat perkara yang sudah lama di kalangan saudara juga adalah sensitif hingga boleh menyebabkan pergaduhan atau putus sirahturahim. Ini semua mestilah difikirkan oleh kerajaan yang mengaku bijaksana yang kini berikrar mula sadar diri, berkhidmat untuk rakyat. Jangan retorik saja kerana rakyat majoritinya sudah pandai tidak seperti dulu yang mudah ditipu pemimpin.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

KASIHAN -MINDA VETEREN RAKYAT JOHOR DI TAKUK LAMA

0 comments
MINDA SUBSIDI DAN KAYA CEPAT ORANG LAMA JOHOR

Hari Kemerdekaan 31 Ogos 2010 boleh dikatakan disambut dengan begitu dingin di seluruh negara. Gimik dalam berita perdana kerajaan indah khabar dari rupa. Atau memang betul sebagai alat penyiaran dan penerangan bolehlah dikatakan mass media telah berfungsi dan memainkan peranannya dengan begitu baik. Cuma penerimaan rakyat yang dingin. Apabila ditanya terutama di kalangan generasi muda di Johor, mereka mengatakan berasa bosan dengan barisan kepimpinan BN sekarang kerana bias dan hipokrit dan tidak bertenaga. Masa dan tenaga terlalu banyak habis bagi menyelesaikan isu rasuah dalaman BN. Pelbagai rasuah termasuk kuasa, kewangan, penggunaan jentera kerajaan, sosial dan juga rasuah politik atau pemikiran politik berleluasa berlaku. Dan yang amat parah apabila tokoh politik kelihatan sibuk mengurus kepentingan diri.

Cuti hari kemerdekaan telah Tun Sheikh habiskan dengan menziarah sanak saudara di Johor. Tun Sheikh telah ke Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Johor Bahru, Pontian, Batu Pahat dan Muar. Orang Johor masih ada mengamalkan budaya menjemput saudara-mara terdekat berbuka bersama. Selama 4 hari Tun Sheikh berbuka dan bersahur di berlainan tempat dan pada siangnya Tun Sheikh duduk bersembang-sembang dengan jiran-jiran saudara mara Tun Sheikh. Oleh kerana boleh dikatakan semuanya aktif dalam politik, maka rancaklah perbualan Tun Sheikh dengan mereka dan dapatlah banyak berita dari akar umbi terhadap pandangan mereka secara keseluruhan mengenai arus politik semasa.

Orang Johor memang telah matang dengan politik. Namun, kematangan berpolitik telah menebalkan semangat partisan mereka sehingga susah untuk menerima sesuatu perubahan baik yang dibawa oleh parti lawan atau parti pembangkang. Ini adalah kerana minda mereka telah dipengaruhi oleh semangat kemelayuan dan juga keegoan kerana sejarah politik Melayu moden bermula di Johor. Justeru kebanyakan pandangan politik terutamanya di kalangan generasi tua begitu fanatik dengan UMNO. Kebanyakan mereka berpelajaran dan bekas pendidik, boleh dikatakan sebagai golongan yang berpengaruh kerana mereka merupakan aktivis politik ketika mereka muda dahulu. Mereka berjaya mempengaruhi atau merubah minda rakyat hingga menjadikan Johor begitu kuat dengan aliran politik UMNO.

Kini, mereka sudah tua dan rata-rata minda orang yang telah berusia 50 tahun ke atas masih ortodok dengan politik UMNO mereka. Tetapi tanpa mereka sedari, hal ini tidak diwarisi oleh anak-anak mereka. Kebanyakan anak-anak mereka atau generasi muda yang berusia di bawah 50 tahun kelihatan seolah-olah tidak bertembung atau bertentangan pendapat berkenaan politik dengan golongan tua. Tetapi setelah diajak bersembang secara santai, suasana tidak ambil pusing atau tidak menunjukkan berlainan pendirian itu adalah kerana tidak mahu mewujudkan suasana yang tegang atau sengaja dijaga agar tidak kelihatan hilang hormat terhadap generasi tua.

Generasi muda Johor masih menyayangi UMNO tetapi mereka meluat dengan perangai dan penampilan pemimpin-pemimpin UMNO Johor termasuk semua yang aktif dalam politik dari golongan muda kerana mereka menggambarkan kemewahan dan kehebatan diri atau gambaran lebih menonjol dan mementingkan diri. Pandangan mereka kurang bernas kecuali jika berkisar tentang bagaimana untuk mendapatkan bahagian dalam projek pembangunan, bagaimana hendak cari duit dalam politik dan bagimana menggunakan duit untuk mengabui dan mempengaruhi rakyat bawahan.

Satu kes yang menarik ialah tindakan kerajaan Johor meruntuhkan rumah rakyat dan rumah setinggan yang banyak dilindungi oleh tokoh politik veteren yang telah meninggal dunia. Contohnya Taman dan Kampung Rahmat di Tampoi Johor Bahru, telah dirobohkan dengan pandangan negatif rakyat bawahan. Ini adalah kerana pembangunan yang diuar-uarkan kerajaan atau pemaju bukan untuk mereka tetapi untuk orang yang berada. Mereka nampak bahawa kerajaan tidak mementingkan mereka yang berpendapatan rendah kerana kerajaan sangat berbangga dengan pembangunan. Pembangunan bererti duit dan mereka tahu kerajaan bererti tokoh-tokoh politik UMNO, dapat bahagian masing-masing melalui pelbagai cara atas nama syarikat-syarikat, kontraktor-kontraktor mahupun yayasan.

Kerajaan Johor sepatutnya risau kerana para setingan di Johor bukan orang luar tetapi adalah anak Johor sendiri. Sekiranya rakyat Johor mengetahuinya dan ada golongan pejuang untuk membela nasib mereka, tentu sekali keadaan politik UMNO di Johor akan bergoyang. Pengalaman anak Johor menerajui pembelaan nasib penghuni Felda sepatutnya dijadikan iktibar. PAS berjaya menjadikannya sebagai isu nasional dan tidak mustahil kealpaan kepimpinan Johor untuk membela rakyat marhaen akan mengangkat isu ini ke seluruh negara. Lebih-lebih lagi pekebun-pekebun kecil atau rakyat Johor yang memiliki tanah pertanian yang kurang 4 ekar telah mula berasa bebanan inflasi dan diabaikan. Ada pula yang sudah berani mendedahkan bahawa subsidi milik kebun mereka tidak sampai semuanya kerana hilang di tangan pengurusan. Penguran, termasuk JKK kampung dan pejabat yang menguruskan hal kebun mereka dan juga UMNO di kawasan mereka.

Generasi tua Johor berani memanjangkan berita-berita sensasi tanpa usul periksa kerana terlalu taksub kepada UMNO. Mereka membuta tuli memburuk-burukkan pembangkang dalam isu pembakaran surau, ceramah bukan islam dalam masjid, isu baling botol arak, isu babi dalam masjid, isu kepala lembu, isu pembakaran gereja,isu curi pasir dan pelbagai isu yang kelihatan seperti berpunca dari parti pembangkang. Apabila akhirnya rakyat mengetahui bahawa semua itu adalah kerja pendakyah yang dimainkan oleh penyokong parti UMNO atau kerajaan, mereka buat tidak peduli dan terus memburuk-burukkan pembangkang . Tetapi mereka tidak perasan bahawa generasi muda lebih bermaklumat dari mereka kerana generasi muda Johor tidak bergantung 100% kepada media perdana yang dianggap sentiasa mengaburi dan mempengaruhi rakyat untuk kepentingan politik kerajaan.

Veteren Johor juga tidak terfikir bahawa generasi muda mereka telah tidak menganggap kerajaan ialah UMNO. Lebih-lebih lagi telah banyak kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang dan dasar pentadbiran mereka adalah lebih baik dari BN walau pun dalam suasana disekat dan diperlekehkan oleh kerajaan pusat yang diterajui oleh UMNO-BN. Generasi muda sangat yakin jika pembangkang mempunyai kemudahan kewangan dan mendapat kerjasama yang baik tanpa sabotaj kerajaan pusat, sudah pasti rakyat yang kurang bernasib baik akan lebih terbela. Mereka sangat berharap kepimpinan BN memfokuskan isu penting ini tetapi kelihatan terabai kecuali asyik sibuk merebut bahagian kek diri untuk mereka sendiri seolah-olah mereka akan tersungkur dan tidak berpeluang lagi untuk mengumpul kekayaan ketika sedang berkuasa.

Apabila ditanya apakah mereka yakin bahawa pembangkang akan menguasai Johor. Mereka secara terbuka mengatakan bahawa mereka masih menyayangi UMNO dan tidak yakin pembangkang akan berjaya menawan Johor. Mereka sangat yakin bahawa kebaikan yang ditunjukkan pembangkang sangat disenangi ramai dan mereka percaya pembangkang hanya akan berjaya di Johor jika mereka menyertai parti pembangkang. Ini adalah kerana barisan kepimpinan pembangkang di Johor masih belum terdiri dari ahli teknikal dan profesional. Tetapi mereka juga yakin jika generasi muda Johor yang telah mula meluat dengan aktivis UMNO ramai-ramai memberikan undi mereka kepada barisan pembangkang seperti yang berlaku di Muar maka tidak mustahil UMNO Johor akan hanya tinggal dalam lipatan sejarah.

Ini dilihat dari kejayaan Johor mengeluarkan angkatan muda berpendidikan sains Islam ketika ini. Dan jika dibandingkan dengan dahulu, dimana tokoh-tokoh politik Johor mempunyai pengetahuan agama kerana dasar pendidikan agama Johor yang terkenal itu, maka tidak mustahil Johor akan membekalkan para pemimpin yang Islamik dan profesional di masa akan datang. Ironinya mungkin mereka tidak menyebelahi atau berpihak kepada UMNO jika UMNO berterusan memperlekeh dan hanya menggunakan agama untuk politik UMNO sebagaimana yang diamalkan ketika ini.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Ketua Yang Sedar Diri Kebaikannya Diteladani

0 comments
Kemajuan Melayu Harus Diteladani & Sikap PHD Mesti Disingkirkan

Sudah sebulan Tun Sheikh sibuk membantu membuat penyelidikan sejarah untuk sebuah agensi berikutan idea dan inisiatif seorang menteri yang sangat mementingkan sejarah dan budaya. Jika tiada halangan projek ini akan berterusan sehingga Disember 2010 dan dapatlah upah sara hidup yang lumayan juga dan waktu serta pekerjaan yang halal dan penuh keberkatan. Pekerjaan ini juga telah memaksa Tun Sheikh berulang-alik di sebuah jabatan yang menguruskan rekod kerajaan di Jalan Duta dan menemubual bekas tokoh-tokoh birokrasi atau pentadbir negara. Yang pasti mereka telah dianugerah dengan gelaran dato' dan tan sri oleh kerajaan sebagai mengenang jasa yang disumbangkan ketika mereka dalam perkhidmatan dahulu. Tun Sheikh berasa amat seronok bertemu dengan mereka kerana bertambah sumber pandangan dan pendapat yang boleh dicerna dari mereka. Insyaallah jika ada kesempatan akan Tun Sheikh rakamkan idea dan pandangan mereka di blog ini untuk tatapan pembaca.

Pada hari Selasa lepas 10 Ogos setelah penat membuat penyelidikan Tun Sheikh telah keluar pergi ke kafetaria sekitar jam 2.15 petang kerana waktu itu semua pegawai dan kakitangan telah masuk menyambung tugas dan kafe agak tenang. Ketika Tun Sheikh sedang menjamu selera tidak sangka seorang kenalan lama sebaya Tun Sheikh menepuk bahu dari belakang dan bertanya khabar. Tun Sheikh baik-baik saja manakala dia pula sudah menjadi orang besar di jabatan itu. Walaupun Tun Sheikh sebenarnya telah hampir habis menjamu selera atau makan tengahari tetapi terpaksalah menenmaninya. Lagipun dia kawan lama dan berpangkat di sini. Tidak wajar jika meninggalkan dia makan keseorangan.

Lama juga kami bersembang dan dia begitu mesra. Dia berasal dari Kuala Lumpur dari kawasan setingan. Tun Sheikh mengenalinya sejak bujang lagi. Tidak banyak berubah walau telah berpangkat tinggi. Masih merendah diri dan tidak memilih kawan berdasarkan pangkat atau pelajaran. Itulah kelebihannya dan dia disukai ramai. Seorang yang sungguh bijak dan tinggi budi bicara dan sangat bertolerensi. Beliau tidak sedikit pun membawa pengaruh atau menggambarkan pengaruh peradababan kehidupan setingan yang banyak kekurangan dalam perwatakan dirinya meskipun beliau membesar di kawasan itu. Dan yang lebih unik pada keperibadian beliau ialah kepekaannya terhadap nilai-nilai agama dan kehidupan sosial.

Sebenarnya dia adalah seorang yang memiliki akal yang genius. Jika didengar dan mengikut realitinya orang yang membesar seperti dirinya iaitu yang membesar di kawasan setingan yang teruk di Kuala Lumpur ini, tiada yang berjaya seperti dia. Sedikit pun budaya negatif penghidupan setingan tiada malah tidak langsung tergambar pada dirinya meskipun beliau berpengalaman mengharunginya. Namun begitu beliau sangat setuju bahawa penghidupan di kawasan setingan sangat banyak masalah dan terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran.Beliau sungguh bersyukur kerana Tuhan telah memelihara dirinya dan yang sangat penting kerana beliau berasa Tuhan telah mengurniakannya akal yang baik. Dia mengakui pengalaman hidup di kawasan setingan adalah penuh dengan keserabutan. Tetapi beliau bersyukur kerana akal yang baik telah menyebabkan beliau berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran meskipun pergaulannya sama-sama sahabat sebaya tidak ada batasannya.

Beliau bercerita bahawa dirinya begitu teruja ketika membesar di kawasan setingan. Sama-sama nakal dengan mandi lombong, melepak dan membuat kerja-kerja yang tidak berfaedah kecuali hanya untuk suka-suka sebagai satu eskapism terhadap kehidupan harian.Beliau amat beryukur walau pun beliau terpengaruh dengan anak-anak muda lain yang tidak berminat untuk membaca dan belajar tetapi beliau dikurniakan dengan ingatan yang baik dan dapat menjawab dengan baik di dalam setiap kali peperiksaan.Bila ditanya mungkinkah ada peluang beliau menjadi ketua pengarah... dia dengan rendah diri mengatakan bahawa jika mengikut kekananan dan usianya yang baru 50 itu maka peluang memang ada tetapi biarlah keadaan dan ketetapan Tuhan yang menentukannya sebab beliau tidak tergila-gila atau mengangan-angankan jawatan itu.Beliau juga menceritakan suasana dan aura di jabatannya agak rencam sebaik saja ketua pengarah mengumumkan tidak akan menyambung perkhidmatan dalam perhimpunan bulanan jabatan. Banyak juga yang suka dan banyak juga yang berduka. Yang suka ialah mereka yang akan naik pangkat. Bertambah cerah air muka mereka tetapi ada juga yang jalannya bertambah mendada.

Sambil sembang sambil makan dan makan sambil bersembang hinggalah hampir habis tetapi baru sahaja kami berkira-kira untuk beredar datang pula dato' ketua pengarah menyertai kami. Tun Sheikh terpaksa menunggu kerana itulah bahasanya. Dia juga mengenali Tun Sheikh dan bertanya khabar. Dialah orangnya yang pernah Tun Sheikh ceritakan di blog ini ketika Tun Sheikh bertemunya di Masjid Wilayah Persekutuan. Orang Yop Peraklah... Kerana tulisan Tun Sheikh ikhlas maka agaknya Tuhan ketemukan dengan lebih dekat lagi sampai semua tahi lalat yang menyerikan wajahnya juga dapat Tun Sheikh perhatikan. Tahi lalat juga ada memperjelaskan firasat tapi biarlah hati Tun Sheikh sahaja yang tersenyum sendiri. Apakah tidaknya kalau dia makan semeja dan jaraknya terlalu dekat. Mulanya malu juga Tun Sheikh sebab maklumlah dia adalah seorang dato' yang masih menyumbang perkhidmatan. Masih relevan kata orang.Sangat mesra juga hingga tidak sedar terpacul perkataan dari mulut gatal Tun Sheikh ini . Padahal sebelum itu Tun Sheikh hanya berdiam dan senyum saja. Dia saja yang banyak berbicara kerana dia orang nombor satu di situ.

Nasib baik pertanyaan Tun Sheikh seolah-olah dalam bentuk gurauan dan dia dapat menerimanya. Jika tidak malu juga Tun Sheikh tetapi ini adalah kebiasaan orang yang berhemah tinggi kerana dia tidak menjadikan pangkat dan gelaran sebagai batas dan mengongkong diri dari bermesra dalam perhubungan atau ketika bersosial. Walaupun terkeluar pertanyaan Tun Sheikh dalam bentuk gurauan, dia tetap menjawab secara spontan sebagai petunjuk ikhlas darinya juga. Tun Sheikh tanya tidak kekokkah makan di kafetaria bersama orang bawahan sampai pangkat terendah pun ada yang jarang dilakukan oleh ketua pengarah lain lebih-lebih bergelar dato'? Selamba saja dia menjawab, ini lah saya dari dulu sampai sekarang macam biasa. Kamu saja yang memandang lain.Saya sudah sampai ke penghujung dan memegang jawatan tertinggi dan saya bercadang tidak menyambung kontrak perkhidmatan walau pun diminta oleh menteri kerana saya rasa adalah lebih baik saya berundur diketika sedang berada di puncak dalam situasi yang berjaya dan disukai ramai. Jika berundur dalam situasi kemerosotan, silap-silap akan banyak orang memfitnah dan mengambil kesempatan menyalahkan diri saya. Tergamam bila mendengar dia berkata begitu sambil gelak-gelak.

Dia benar-benar seorang yang happy go lucky dan happy ending. Macam dia tahu atau baca pulak apa yang Tun Sheikh tulis dalam blog. Padahal beribu blog dan Tun Sheikh tidak fikir dia akan baca atau ada masa untuk membaca blog Tun Sheikh. Lagi pun bukannya dia tahu Tun Sheikh ada blog. Tapi begitulah orang yang berbudi pekerti tinggi. Apa yang dibuat dan diperkatakan seperti sudah diketahuinya seolah-olah mereka sudah mengenali kita atau apa saja pekerjaan yang dilaksanakannya. Dia meneruskan sembang-sembangnya dengan mengatakan beliau pernah dianiaya atau dibuat bos menahan pangkat dia tetapi dia bersyukur dan tidak berdendam kerana ketika itu beliau masih muda dan yakin pada suatu hari beliau juga berpeluang menjadi ketua pengarah. Kini masanya sudah sampai dan beliau telah sampai pula ke puncaknya. Beliau pesan kepada Tun Sheikh dan sahabat Tun Sheikh tadi mudah-mudahan jasanya akan terus dikenang dan diteladani dan sikap PHD Melayu hendaklah dibuang jauh-jauh. Kemudian kami bersalaman dan masing-masing bergegas untuk menyambung kerja manakala dato' terus menaiki kereta yang telah menunggunya untuk hadiri mesyuarat dengan menteri di kementerian.

Dalam benak dan sanubari Tun Sheikh, terfikir malah terasa alangkah manisnya di hari tua atau ketika sedang pencen sementara menanti ajal, kerana sudah tidak kuat untuk berusaha dan bekerja, kita terkenang semula hari-hari manis muda kita yang banyak tergambar dengan hal-hal atau perbuatan yang baik dan jasa-jasa yang murni daripada kenangan hitam hasil dari PHD.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

DUA BOS LAMA DENGAN DUA WAJAH

1 comments
2 BOS LAMA 1 MUKA HITAM 1 MUKA PUTIH

Jumaat lepas, 16 Julai 2010 entah macam mana Tun Sheikh tergerak hendak solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Jalan Duta. Sampai di sana jam 1.10 tengah hari tetapi terpaksa dua kali berpusing jalan mengelilingi bangunan Kompleks Kerajaan mencari tempat letak kereta sebab jalan ke Masjid Wilayah sesak dan sudah penuh. Orang berniaga di bahu jalan pun sudah banyak tidak macam dulu. Akhirnya terpaksalah Tun Sheikh ikut-ikut orang lain parking berlapis dengan niat lepas solat kena keluar cepat supaya tidak menyusahkan orang lain.

Bila sampai di tangga masjid setelah berjalan agak jauh, Tun Sheikh dapati orang datang sembahyang pada hari itu juga begitu ramai. Penuh masjid. Kalau di lain hari tidak tahu pula Tun Sheikh. Tiga tahun dulu masjid ini begitu lengang. Hati Tun Sheikh rasa gembira walau kepenatan memanjat tangga. Bila sudah masuk dari pintu belakang dan nampak sedikit ruang terus solat sunat tahyatul masjid sebelum boleh duduk. Setelah selesai solat, macam rasa tidak selesa pula kerana tidak biasa di saf belakang. Ketika sedang tinjau-tinjau dengan anak mata kalau-kalau boleh ke hadapan sikit sementara belum azan masuk waktu, terpandang Tun Sheikh bos lama. Tiga lat di sebelah kanannya ada kosong tetapi berat pula rasanya hendak ke situ kerana secara sepontan tergerak hendak tengok dia dari jauh sahaja.

Dia lengkap berbaju Melayu dengan samping macam pengantin baru. Keris saja yang tiada. Lama Tun Sheikh belek, dia memang tidak perasan sebab Tun Sheikh 4 baris di belakangnya. Tun Sheikh perhati juga kalau geng-geng atau anak buah atau body guard atau pegawai-pegawai favouritenya ada di sebelah atau di sekeliling dia tetapi sorang pun tiada. Dia begitu khusyuk dan sungguh sopan duduknya. Tidak goyang-goyang atau mata melingas ke sana sini seperti biasa di lakukan oleh orang yang berpangkat tinggi atau orang-orang besar yang suka memperlekeh orang lain.

Kalau dikira, bos lama Tun Sheikh sudah jadi orang besar juga. Sangat besar, badan pun besar, suara besar (aura suara dia memang hebat), dengar khabar sudah dapat gelaran Dato’. Pastilah besar kuasa dan juga jasa dia.Patutnya dia sudah pencen tetapi sebab dia cemerlang dan menteri pun suka, sudah banyak tahun kontrak perkhidmatannya disambung. Dengar-dengar ada juga orang lemas dengan dia, tapi kalau Tun Sheikh jadi dirinya, apalah hendak dipedulikan sangat. Kalau kita baik pada suatu hari cahaya kebaikan akan tetap kelihatan. Malu pulak rasanya kalau Tun Sheikh hendak jumpa dia.

Dulu masa muda-muda, dia jadi bos main bola bersama Tun Sheikh. Dia memang hebat dan masa ini pun kelihatan dia masih tegap.Tapi sekkarang tidak bermain bola sepak lagi kecuali golf yang sesuai dengan umur dan pangkat besarnya. Uban belum banyak berbanding Tun Sheikh yang lebih muda 10 tahun dari dia, sudah putih rambut tetapi belum seluruh kepala. Uban Tun Sheikh tidak akan penuh seluruh kepala selama-lamanya. Bukan apa…sebab Tun Sheikh sudah botak tengah kepala dan kena pakai kupiah atau serban atau topi. Dapatlah pahala 2 dalam 1.

Bos lama Tun Sheikh selalu saja masuk atau keluar gambar dan beritanya di suratkhabar dan tv. Masih hensem dan belum botak lagi. Ada kawan-kawan lama dia pernah cakap dengan Tun Sheikh dulu, kalaulah dia masuk polis atau tentera, tentunya sekarang dia sudah lama jadi Panglima Tentera atau Ketua Polis Negara. Tapi bagi Tun Sheikhlah…dia ni memang happy endinglah sebab masa mudanya memang rencam.Garang pun ya jugak. Muka dan kulitnya hitam Melayu asli berasal Perak walau tidak macam crook tapi gentar jugak kita walau belum dia gertak atau gempak . Orang Yopla...Yang manisnya dia memang hitam manis.Dan manis bagi Tun Sheikh darinya ialah kelihatan ada cahaya kemanisan di wajah dan di aura dirinya ketika Tun Sheikh melihat dia di masjid itu.

Lepas solat, Tun Sheikh terus bergegas keluar sebab seperti sudah Tun Sheikh sebutkan tadi, jika kita suka meletak kereta sesuka hati sehingga menyusahkan atau menghalang laluan orang lain, hukumnya haram dan berdosa. Lepas cepat-cepat mengubah kereta Tun Sheikh singgah di sebuah kafetaria di sebuah jabatan berdekatan. Entah macam mana tersua pula seorang lagi bos lama. Dengar khabar dia sudah jadi orang nombor 2 di sebuah jabatan yang besar di Jalan Duta ni.

Sebab dia perempuan dan kelihatan sedang sibuk berbual dengan kawan-kawannya, Tun Sheikh hanya senyum saja. Tapi dia buat tidak nampak saja dan Tun Sheikh tidak sedikit pun berkecil hati kerana dia seorang perempuan. Lagipun dia masih anak dara walau pun telah beumur dan sudah hendak pencen pun. Dia memang lebih tua usianya dengan Tun Sheikh dan Tun Sheikh mengenalinya sejak zaman bujang lagi. Dia orangnya kecil dan comel dan dulu memang terkenal dengan kecantikannya. Cuma bekas-bekas jerawatnya saja yang mungkin mengurangkan tarikan kepada seseorang yang bernama lelaki jika ada niat atau ingin mengenali dengan lebih dekat.

Disebabkan Tun Sheikh sampai dulu maka ternampaklah gaya dia berjalan. Jahat juga hati Tun Sheikh kerana seolah-olah terdengar bisikan syaitan yang berkata-kata. Gaya dia berjalan sungguh keras dan mendada. Dulu tidak macam itu mungkin sebab dulu dia sentiasa bertumit tinggi lambang kegadisan dan juga mencari ketinggian seperti Tun Sheikh pakai kupiah bertujuan 2 dalam 1. Dia sejak dulu dan sakarang pun begitu cantik berkulit putih tetapi mengapa Tun Sheikh terperasan hitam saja seri dan auranya? Cepat-cepat Tun Sheikh berisytifar dan memujuk hati dengan menerima hakikat bahawa dia memang pantas begitu kerana telah berusia, matang dan lebih-lebih lagi sudah menjadi bos besar. Yang tidak sedapnya mengapa sampai sekarang perasaan hati Tun Sheikh static tidak mahu berubah dan tidak juga boleh lupakan seketika teringat.

Apakah mungkin kerana tiga hari selepas itu Tun Sheikh berjumpa dengan seorang berpangkat kakak kenalan lama yang mengatakan dia pernah dianiaya oleh beliau dan pernah mendoakan di Mekah dan di Madinah, agar Tuhan membalasnya jika benar-benar perbuatannya itu sebagai aniaya yang disengajakan?? Malah kata kakak itu ramai pegawai dan kakitangannya berdoa dan berharap supaya dia jangan jadi bos nombor 1. Bila ditanya kenapa pula macam itu? Kakak itu berkias dengan Tun Sheikh macam menyindir Tun Sheikh pula…katanya, takkanlah Tun Sheikh tidak tahu bahawa semua nabi terdedah dengan pekerjaan mengembala kambing dan lembu atau unta dan sebagainya sebelum Tuhan mendedahkan mereka mengendalikan urusan manusia…nabi-nabi bekeluarga dan seorang lelaki yang berwibawa. Dia itu seorang perempuan dan dara pula, tentu tidak tahu melayan suami dan keluarga maka suka-suka dia sajalah dia nanti, sampai tidak dapat membedakan antara kuasa dan aniaya……..

Tun Sheikh cuma angguk dan rasa macam setuju dan macam ada juga betulnya. Marilah sama-sama kita mengambil pengajaran dan ingatan dari hal 2 bos lama Tun Sheikh ini. Yang 1 hitam tapi putih dan yang putih kelihatan hitam. Semoga mereka berdua malah kita juga akan bertambah bercahaya daripada terus menjadi hitam legam sebab dosa bahana kuasa dan kerana jadi orang besar.


Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
 
Copyright 2009 Blog Tun Sheikh
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere