INJIN JET HILANG TANDA LEMAH DAN JATUH MARUAH

0 comments
INJIN JET HILANG
Tun Sheikh diminta memberi pandangan terhadapat peristiwa kehilangan 2 injin jet milik kerajaan. Tun Sheikh menasihatkan kepada penanya dan sesiapa yang berminat mengenai hal ini supaya menyerahkan kepada pihak berkuasa sebab masih dalam siasatan dan telah dijadikan kes mahkamah. Apabila telah menjadi kes mahkamah, selagi belum ada keputusan rasmi atau hukum yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah maka kita adalah dilarang memanjangkan berita yang tidak tentu kesahihannya mahupun berita benar yang kita ketahui.

Apa yang Tun Sheikh ingin perkatakan disini sebagai tidak menghampakan penanya ialah iktibar dan kewaspadaan kita. Pelajaran dan mesej yang boleh kita gunakan untuk kefahaman dan sentiasa bersiap siaga dimasa depan. Ini adalah kerana kehilangan injin jet adalah suatu perkara yang besar dan amat serius jika kita mengetahui kepentingan dan kegunaannya kepada sistem keselamatan dan pertahanan kita.

Jika kita meninjau dunia di luar sana kita akan dimaklumkan dengan yakin bahawa angkatan udara sangat memainkan peranan besar dan sangat mustahak dalam sistem pertahanan setiap negara. Sudah tentu negara Amerika Syarikat dan beberapa buah negara eropah yang unggul dalam pengeluaran dan pembesaran angkatan udara atau sistem pengangkutan mahupun keselamatan atau pertahanan udara dilihat telah mendahului negara-negara yang tidak mengutamakannya.

Seterusnya, teknologi pesawat merupakan teknologi tercanggih yang memerlukan bukan sahaja pengetahuan atau ilmu teknologi tinggi tetapi juga kepakaran yang tinggi kualitinya. Ini hanya terhasil dari para cendekiawan dan pemikir yang tajam akal fikiran berhubung dengan sains dan teknologi. Apa-apa penciptaan memang untuk kebaikan dan keuntungan dan falsafah ini tidak terkecuali dalam hal kekuasaan antara manusia dengan manusia. Sesiapa yang mempunyai akal fikiran yang genius dan ramai pula rakyatnya dan ahli sainsnya yang berupaya berfikir dan mencipta peralatan dan pelbagai barang keperluan dan kegunaan samada dari sekecil-kecil barangan kepada sebesar-besarnya seperti bangunan atau mesin jentera di bumi, di laut atau udara maka merekalah yang menerajui atau mengungguli orang lain.

Di masa ini teknologi di udara mahupun angkasa dianggap teknologi yang paling kedepan dan tercanggih mendahului yang lain. Bagi memudahkan gambaran kita boleh menggunakan perumpamaan orang-orang tua kita dahulu ketika mempelajari ilmu tauhid untuk mengenal Allah. Guru yang mengajar memberi perumpaan bahawa orang yang berusaha mempelajari ilmu tauhid untuk mengenal Allah akan mengambil 1 antara 3 jalan iaitu melalui jalan darat, jalan laut dan jalan udara. Dalam 3 jalan tersebut terdapat pula pelbagai jenis kenderaan misalnya di jalan darat ada yang berjalan kaki, berbasikal, bermotor, kereta, keretapi, bus dan sebagainya. Begitu juga yang menggunakan jalan laut ada yang berenang, memakai pelampung, rakit, perahut, bot, kapal dan sebagainya. Manakala yang menggunakan jalan udara pun begitu juga. Ada yang naik lelayangan, kapal terbang kecil, helicopter, kapal terbang, jet, roket dan sebagainya.

Secara rengkas dan cepat difahami bahawa orang yang ingin bergerak ke suatu tempat yang menggunakan jalan udara adalah orang yang memiliki peralatan dan kemajuan yang jauh lebih baik daripada mereka yang menggunakan jalan darat dan jalan laut. Yang paling pasti orang yang menggunakan jalan udara boleh pula melihat destinasinya dengan mudah disamping dapat memantau orang yang menggunakan jalan darat dan jalan laut. Itulah keistimewaan teknologi udara yang serba pantas dan canggih.

Daripada perumpamaan itu tergambarlah dengan jelas di pemikiran kita betapa sangat penting dan istimewanya teknologi pesawat diudara. Bermacam kegunaannya dan sangat berkesan digunakan sebagai salah satu sistem pertahanan dan keselamatan mahupun dalam teknologi peperangan. Kita pula telah lama mengetahui dengan yakin bahawa negara-negara barat yang mempunyai pesawat dan teknologi udara yang canggih berupaya mempengaruhi dan ada yang menguasai negara-negara yang tidak mempunyai keistimewaan itu.

Jadi di manakah kedudukan negara kita yang sejak dahulu tidak pernah berupaya mengeluarkan atau mencipta ciptaan di udara. Lebih malang apabila kehilangan injin jet segaligus menggambarkan betapa lemahnya sistem pertahanan udara kita hingga sampai ketahap tidak dapat diterima akal atau mustahil boleh terjadi kerana pelbagai faktor. Ini adalah disebabkan kita mengetahui bahawa injin itu sangat berharga dan canggih dan hanya orang yang berkemahiran sahaja tahu mengendalikannya dan orang yang bertanggongjawab ke atasnya pula bukanlah ramai.

Bertambah malang apabila diketahui injin jet yang hilang telah berada ditangan negara asing di luar sana. Bererti pelaku dan orang yang bertanggongjawab itu juga terdiri orang yang berakal besar atau cerdik tetapi mengapa mereka sanggup melakukannya. Mereka telah pecah amanah kerana kepimpinan yang lemah dan rasuah. Itu adalah andaian spontan kepada semua rakyat yang mengetahui bahawa semua urusan mengenai angkasa atau udara ditangani oleh mereka yang bijak pandai bukan sebarangan orang yang mengambil jalan darat dan laut dalam perumpaan mencari tauhid yang tersebut di atas.
Oleh Tun Sheikh
 
Copyright 2009 Blog Tun Sheikh
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere